Tiada Bukti Rosmah Minta Terima Rasuah Kata Pembelaan
Rosmah Mansor tidak meminta dan menerima rasuah secara peribadi daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, seterusnya wajar dibebaskan kerana pendakwa gagal membuktikan kes terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu, kata peguamnya semalam.
Dalam hujahan sepanjang 212 muka surat, peguam bela Jagjit Singh, Akberdin Abdul Kadir, dan Azrul Zulkifli Stork berkata, Saidi sebenarnya yang berniat dan menawarkan wang berkenaan sebagai sumbangan politik kepada Rosmah.
“Sumbangan politik itu sepatutnya untuk Najib sebagai ‘tanda berterima kasih’ kerana menyokong permohonan Jepak mendapatkan projek solar dan memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14,” kata hujahan yang difailkan di Mahkamah Tinggi kelmarin, yang dilihat FMT.
Barisan peguam itu berhujah, tiada bukti menunjukkan Rosmah meminta sebarang peratusan nilai kontrak daripada Saidi atau rakan kongsinya ketika itu, Rayyan Radzwill Abdullah, antara Januari hingga April 2016.
“Sumbangan politik itu adalah idea Saidi dan Rayyan,” kata mereka, dan menambah perkara itu disahkan dua lelaki itu dan seorang lagi saksi pendakwa, Rizal Mansor, ketika disoal balas.
Menurut hujahan, Rizal, bekas pembantu Rosmah yang menjadi saksi pendakwa selepas tuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, menggunakan nama tertuduh untuk meminta dan menerima rasuah.
Rosmah dituduh meminta rasuah RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai imbuhan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion, melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.
Beliau turut didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta, iaitu RM1.5 juta daripada Saidi di kediaman peribadinya di Langgak Duta pada 7 Sept 2017, serta RM5 juta lagi menerusi Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016.
Peguam berhujah Rosmah tidak menerima RM1.5 juta berkenaan daripada Saidi kerana tidak pernah ditunjukkan atau diberikan wang itu.
“Keterangan saksi pendakwa langsung tidak menunjukkan tertuduh menerima wang itu,” kata mereka, dan menambah Saidi cuma mengeluarkan RM1.5 juta dari sebuah bank untuk “kegunaan peribadi”.
Selain itu, mereka berhujah, tiada penghantaran wang itu dibuat ke Langgak Duta, dan pendakwa gagal membuktikan dua beg hitam berbelang jingga yang dikatakan mengandungi RM1.5 juta diserahkan secara peribadi kepada Rosmah.
“Saidi tidak pernah menyerahkan beg berkenaan kepada tertuduh secara peribadi. Beliau tidak pernah meletakkan wang tunai itu di atas meja di depannya. Beliau tidak pernah membuka, menunjukkan beg itu, atau mengira wang di dalamnya di depan tertuduh,” hujah mereka.
Mereka berhujah, Rizal, dalam kenyataan saksinya mendakwa Rosmah mengarahkan butler membawa dua beg berkenaan ke biliknya, namun “keterangan ini tidak disokong”.
“Malah, pendakwaan juga tidak memanggil butler berkenaan untuk membuktikan kenyataan Rizal itu,” kata mereka.
Tambahan, mereka berkata tiada keterangan membuktikan Rosmah menerima RM5 juta dalam dua beg pakaian daripada Rizal di Seri Perdana menerusi dua butler.
Mereka berkata, pendakwaan gagal membuktikan wujud perbualan telefon antara Rizal dan Rosmah di Pavilion di Kuala Lumpur, yang mana Rosmah dikatakan mengarah Rizal membawa RM5 juta itu ke Seri Perdana.
“Lebih-lebih lagi, pegawai penyiasat sendiri pun tidak dapat mengesahkan sama ada Rizal membuat sebarang panggilan kepada tertuduh pada tarikh itu,” kata mereka.
Hujah peguam, pendakwaan juga gagal menunjukkan rakaman CCTV atau buku pendaftaran pelawat di Seri Perdana bagi menyokong keterangan Rizal.
“Malah Saidi dan Rayyan juga menyuarakan keraguan sama ada Rizal menyerahkan wang kepada tertuduh,” kata mereka.
Selain itu, mereka berhujah, pendakwaan gagal menunjukkan keterangan yang boleh dipercayai bagi membuktikan tertuduh meminta dan menerima wang rasuah.
“Kebenaran sebenarnya dapat dilihat menerusi keterangan Saidi, Rayyan, dan Rizal yang saling bercanggah.”
Mereka berhujah, tiga lelaki itu sebenarnya merancang dan melaksanakan perancangan mendapatkan projek solar dengan memperdaya serta mempergunakan tertuduh. FMT
Rizal Mansor mengaku lari dari Malaysia lepas BN kalah
The post Tiada bukti Rosmah minta, terima rasuah, kata pembelaan appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/12/30/tiada-bukti-rosmah-minta-terima-rasuah-kata-pembelaan/