Terowong Pertama Ecrl Di Terengganu Siap 6 Bulan Lebih Awal
Bernama
Kemajuan kerja di Terowong Paka hasil usaha dan komitmen kira-kira 100 kakitangan ECRL dari semua peringkat dan kerja sivil pembinaan terowong itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2022. (Gambar Bernama)DUNGUN: Kerja penggalian Terowong Paka projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), di sini mencapai kemajuan sehingga 98.5% dan siap enam bulan lebih awal daripada dijadualkan, kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, penggalian terowong itu dilakukan dengan pantas dan cekap, meskipun berdepan pelbagai cabaran ketika fasa pembinaan, termasuk rundingan semula kerajaan Malaysia dan China serta penangguhan kerja pembinaan selama sembilan bulan disebabkan Covid-19.
“Pencapaian (sehingga 98.5%) merupakan hasil usaha selama 620,000 jam bekerja dengan pelaksanaan kaedah gerudi dan letup terowong yang berjaya menembusi batuan granit terluluhawa sederhana semasa kerja penggalian bagi Terowong Paka.
“Aktiviti letupan dilakukan pakar letupan tempatan dengan dipantau kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL).
“Lapisan kekal terowong mencapai kemajuan memberangsangkan yang merangkumi 850m dengan ketinggian 11.8m dan kelebaran 12.9m,” katanya selepas merasmikan upacara letupan terakhir Terowong Paka.
Zuki berkata, terowong itu dibina untuk mengelak penebangan terbuka serta memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan pesisiran daerah itu.
Penggalian bermula dari pintu masuk terowong (portal utara) pada April 2018, namun dihentikan pada Julai 2018 kerana penangguhan projek ECRL untuk rundingan semula di antara kedua-dua kerajaan dan ia disambung pada Ogos 2019, selepas pelancaran semula projek ECRL pada 25 Julai 2019.
Zuki, yang juga ketua setiausaha negara berkata, kemajuan kerja di terowong itu adalah hasil usaha dan komitmen kira-kira 100 kakitangan ECRL dari semua peringkat dan kerja sivil pembinaan terowong dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2022.
“Penembusan terowong hari ini hasil kerjasama dan sokongan MRL serta CCC-ECRL yang mempraktikkan teknologi, peralatan, perancangan dan aspek keselamatan bertahap tinggi dalam kejuruteraan serta pembinaan terowong.
“Penglibatan pekerja tempatan dalam pembinaan terowong juga amat membanggakan dengan adanya jurutera dan juruteknik berkemahiran…pengalaman mereka akan dimanfaatkan untuk pembinaan lebih banyak terowong pada masa akan datang,” katanya yang turut menegaskan tiada sebarang penambahan bajet sebagaimana diputuskan sebelum ini.
Zuki berkata, penembusan terowong kedua di Terengganu dijangka dilakukan pertengahan Jun ini, selepas penggalian Terowong Dungun sepanjang 871m yang kini mencapai tahap lebih 760m.
“Pembinaan projek ECRL giat dijalankan dengan pembinaan beberapa terowong yang panjangnya berjumlah 14.9km di Seksyen B (Dungun-Mentakab).
“Kebanyakan terowong mencapai tahap kemajuan optimum bagi kerja penggalian keseluruhan projek yang kini mencapai 21.39% pada Mac 2021.”
Katanya, terdapat 59 terowong dalam projek ECRL dan berharap kejayaan pembinaan terowong Paka akan menjadi dorongan dalam memastikan keseluruhan projek ECRL (kira-kira 61km) dapat disiapkan mengikut jadual.
Projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665km akan merentasi negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung.
ECRL menjimatkan masa perjalanan dan akan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak (ITT) dalam masa 4 jam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/04/terowong-pertama-ecrl-di-terengganu.html