Terlanjur Dr Khairuddin Sudah Dilantik Ketuai J Kom Apa Pula Cerita Kes Gangguan Seksual Dr Agus
Semalam telah diumumkan secara rasmi Dr. Khairuddin Othman dilantik sebagai Ketua Pengarah J-Kom yang baru bagi menggantikan tempat Dr Mohd Agus Yusof yang sebelum ini meletakkan jawatan berikutan kontroversi “video Wahab”.
Khairuddin ialah bekas Adun Paya Jaras dan sekarang merupakan Setiausaha PKR Selangor.
Sebelum menyertai PKR, beliau adalah ahli Pas yang memenangi kerusi Dun Paya Jaras buat kali pertama pada PRU13.
Pada PRU14, setelah keluar Pas dan menyertai PKR, beliau sekali lagi berjaya memenangi kerusi tersebut atas tiket PH.
Bagaimanapun dalam PRN Selangor tahun 2023 yang lalu, Khairuddin gagal mempertahankan kerusi Dun Paya Jaras apabila PN melalui calonnya, Ab Halim Tamuri berjaya merampas kerusi tersebut.
Daripada satu segi, dengan Dr Khairuddin yang berkelulusan PhD dalam bidang pengajian media dan perang saraf dilantik mengetuai J-Kom, isu kelemahan media serta komunikasi yang dihadapi kerajaan ketika ini boleh dikira selesai dengan sendirinya.
Sudah tentu Dr Khairuddin dengan kelulusannya itu memiliki kepakaran, pengetahuan, idea dan cara bagaimana untuk menggerakkan J-Kom terlihat lebih berperanan mengungguli perang di alam maya yang ketika ini secara majoritinya kandungan yang anti kerajaan.
Meskipun J-Kom tentunya ada tugas serta peranan lain selain berperanan di media sosial, tetapi haruslah diingat dunia sekarang ialah dunia maya.
Kata orang sekarang, siapa menguasai dunia maya, dialah yang menguasai dunia.
Lagi pun, sejak kebelakangan ini kesian juga melihat Anwar Ibrahim digasak teruk di media-media sosial, terutama berkenaan janji-janji lamanya yang dituntut untuk ditunaikan setelah kuasa kini berada dalam genggamannya.
Maka itu, J-Kom di tangan Dr Khairuddin mesti menguasai dunia maya, terutama dalam mempertahan dan membela Perdana Menteri, termasuk dalam waktu yang sama, beliau sendiri juga mestilah secara automatik menjadikan dirinya sebagai seorang yang paling aktif di pelbagai platform media sosial.
Jika gagal berperanan aktif, sejarah Dr Agus pasti hanya menunggu masa saja untuk menghempapnya nanti.
Selain itu, terlanjur bercakap mengenai perlantikan Dr. Khairuddin mengetuai J-Kom ini, pasti ramai juga ingin tahu, apa sudah jadi kepada kes Dr Agus yang direport polis oleh Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, seorang kakitangan J-Kom sendiri dengan dakwaan bekas Ketua Pengarah J-Kom itu telah melakukan gangguan seksual terhadapnya.
Pada 16 Januari lalu, pihak polis memaklumkan, pihaknya telah selesai melakukan siasatan dan kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Disember 2023.
“Buat masa ini, kertas siasatan itu masih di dalam kajian dan semakan Pejabat Peguam Negara,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin.
Siasatan terhadap Dr Agus dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama iaitu kesalahan melanggar kesopanan.
Sudah lebih dua bulan masa berlalu, kenapa senyap saja di pihak Peguam Negara?
Ada atau tidak ada kes terhadap Dr. Agus, beritahulah segera kepada rakyat jelata yang sekurang-kurang boleh merasa sedikit lega di sebalik beban kehidupan akibat kejatuhan ringgit, kenaikan harga barang dan kenaikan cukai SST daripada 6% kepada 8% bagi perkhimatan terpilih yang bermula semalam.
Lagi pun Jabatan Peguam Negara itu terletak di bawah Perdana Menteri, tak bolehlah mereka “slow” sangat dalam bekerja dan membuat keputusan, sedangkan Anwar sendiri, jangankan bekerjanya pantas, berjalan kaki pun semacam laju berlari. – ShahbudinHusin 02/03/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/03/02/terlanjur-dr-khairuddin-sudah-dilantik-ketuai-j-kom-apa-cerita-kes-gangguan-seksual-dr-agus.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/03/terlanjur-dr-khairuddin-sudah-dilantik.html