Terengganu Lancar Buku Bela Hak Keluarga Tunggal
Buku bela hak keluarga tunggal dilancar - Foto oleh - Ahmad Ezani Razali.KEMAMAN, 2 Mac - Kerajaan Terengganu mengambil langkah proaktif membela nasib keluarga tunggal dengan melancarkan Buku Panduan Hak-Hak dan Tatacara Tuntutan di Mahkamah Syariah hari ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata, inisiatif bersama antara Jabatan Kehakiman Syariah dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) turut berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan perundangan dalam institusi kekeluargaan.
"Ia sangat penting dan memudahkan orang awam untuk memahami beberapa perkara yang melibatkan undang-undang substantif dan prosedur secara ringkas dan padat.
"Buku ini menyentuh dua skop utama penerangan, iaitu hak-hak yang boleh suami serta isteri tuntut dan prosedur-prosedur yang perlu diikuti semasa prosiding kes berjalan," ujarnya di hadapan 3,000 peserta.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Himpunan 'Siti Aisyah : Seutuh Permata Seindah Humaira' di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.
Ustazah Asma' Harun turut memeriahkan program dengan menitipkan beberapa pesanan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.
Tambah Yahaya, Terengganu juga sedang mengorak langkah untuk merangka Dasar Wanita Terengganu bagi melahirkan golongan ibu yang berilmu dan lebih berdaya saing.
"Dasar berkenaan dirangka selari dengan suasana masyarakat Terengganu sendiri berlandaskan al-Quran dan hadis," katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Pengkalan Berangan, Wan Zaitong Wan Nik terharu dengan komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib keluarga tunggal.
Katanya, golongan terbabit sering menghadapi cabaran seperti masalah ekonomi, stigma sosial dan beban peranan dalam kehidupan seharian.
Wan Zaitong (tengah) bersyukur dengan bantuan kerajaan negeri untuk setiap parlimen.
"Namun selepas dibantu, banyak perkembangan positif yang dicapai mereka, contohnya dalam daerah Marang ini ada antara mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan sabun.
"Walaupun baru di peringkat permulaan, sabun daripada madu kelulut itu telah dipilih oleh YPKT untuk dipamerkan di setiap program ibu tunggal, itu kejayaan cukup bermakna," tambah beliau.
Sumber: teganukita.net
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/03/terengganu-lancar-buku-bela-hak.html