Tengah Panas Panas Jangan Basuh Kuali Non Stick Cepat Rosak Makanan Melekat
Salah satu peralatan memasak yang paling banyak ada di dapur adalah kuali anti lekat. Kebanyakan kita sukakan kuali begini kerana mudah untuk buat kuih ketayap, lempeng dan banyak lagi. Kuali begini menjadi pilihan kerana ia tidak melekat dan hasil masakan menjadi cantik.
Penggunaan kuali anti lekat ini pernah diragui kerana dikatakan ia memberi kesan kepada kesihatan. Tambahan pula, kita tidak tahu apakah lapisan yang digunakan pada kuali-kuali begini. Dr Fatimah Salim menjelaskan lebih lanjut tentang hal ini.
Ikuti penerangan penuh manfaat ini.
PERALATAN MEMASAK KALIS LEKAT
Komponen utama peralatan memasak ialah logam besi aka iron (Fe), aluminium (Al) dan kuprum aka tembaga (Cu). Disebabkan sifat fizikal (lembut, ringan, mudah dilentur…) dan kimia (mudah bertindakbalas), logam-logam ini dicampur dengan sedikit logam kromium, nikel, strontium atau molybdenum mengikut peratusan tertentu membentuk aloi. Ini bertujuan untuk menjadikan struktur logam utama ini lebih stabil secara kimia (tidak reaktif atau berkarat) dan tahan lasak.
Antara aloi yang paling popular ialah keluli tahan karat (stainless steel) yang mana dibentuk daripada campuran logam utama besi dan kromium.
Untuk membolehkan kita menggambarkan struktur kimia peralatan memasak ini, berbilion atom logam berkenaan terikat secara metalik. Ikatan metalik ini sangat kuat, boleh dilentur dan pengalir haba yang bagus. Ciri pengalir haba ini sangat perlu untuk memasak agar kuali cepat panas dan makanan masak dengan sekata.
Apakah yang berlaku kepada peralatan memasak ini semasa dipanaskan?
Semasa dipanaskan, logam yang membentuk peralatan memasak ini akan mengembang (tidak dapat dilihat dengan mata kasar) disebabkan oleh tenaga kinetik (pergerakan) elektronnya meningkat. Pengembangan ini akan menghasilkan ruang yang menyebabkan makanan yang dimasak mencelah masuk dan melekat pada permukaan kuali. Ini terutamanya makanan yang bersentuhan secara terus dengan permukaan seperti menggoreng atau memanggang.
Jadi untuk mengurangkan perlekatan ini, ianya ditambahkan dengan minyak yang mana bertujuan menyaluti lapisan permukaan peralatan memasak. Namun, disebabkan kesedaran dalam mengurangkan penggunaan minyak, teknologi menggantikan fungsi minyak ini dibangunkan. Maka, di sinilah konsep penyelaputan (coating) permukaan peralatan memasak diperkenalkan. Dan dinamakan peralatan memasak kalis lekat (non-stick cookware).
Lapisan Selaput Kalis Lekat Pada Peralatan Memasak:
Terdapat beberapa jenis bahan yang digunakan sebagai selaput kalis lekat termasuklah bahan kimia plastik pelincir polytetrafluoroethylene (PTFE), seramik, enamel dan silikon. Mari kita teliti satu-persatu bahan selaput ini untuk lebih jelas.
PTFE
PTFE merupakan bahan pepejal yang memiliki pekali geseran (coefficient of friction) yang sangat kecil atau dengan bahasa mudah, sangat licin. Bahan kimia ini sangat stabil dan tidak berbahaya, maka ianya dijadikan alternatif (buid-in) untuk menggantikan fungsi minyak tadi.
Artikel Lain: [Buat Sabun Cuci Pinggan Guna Minyak Masak Terpakai. Buih Banyak, Kulit Tak Menggelupas]
Apabila peralatan ini dipanaskan melebih 350 degree Celsius ianya berpotensi menghasilkan gas fluorocarbons yang menyebabkan hidung berair (sementara) dan mungkin boleh menyebabkan komplikasi kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan. Pun begitu, suhu ini hanya dicapai apabila kuali dipanaskan sehingga berasap-asap tanpa air atau minyak dan dalam ruang kurang pengudaraan. Fikir logik, asap berlebihan biasa juga boleh memberikan kesan yang sama. Maka, kesan ini tidak signifikan.
Sebenarnya yang merisaukan ramai ialah pengunaan bahan kimia perflurooctanoic acid (PFOA) yang dikaitkan dengan kanser. Bahan kimia ini digunakan untuk meningkatkan keterlarutan (surfactant) PTFE dalam proses pembuatan. Pun, begitu proses rawatan haba tinggi akhir terhadap peralatan ini sebenarnya tidak meninggalkan sedikit pun PFOA. Ianya telah termusnah.
Namun disebabkan desakan, pengunaan PFOA ini telah dihentikan sejak tahun 2015, lalu fungsinya digantikan dengan bahan kimia lebih terjamin iaitu perfluoropolyether seperti GenX. Dan desakan ini sebenarnya lebih kepada isu bahaya pendedahan pekerja industri berkenaan semasa proses pembuatan (bukan pada selaput kalis lekat itu sendiri) dan ianya juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Selain daripada itu, lapisan PTFE ini boleh terkopek dan bercampur dalam masakan jika tidak dijaga dengan betul. Namun, ianya tidak bahaya kerana tidak mampu dihadam, lalu dikumuhkan dalam najis. Cuma fungsi kalis lekat itu sudah tiada, malah akan menyebabkan penambahan sifat perlekatan dengan masakan pula. Ada pula jenis yang berkarat, jadi bolehlah dielakkan dengan sapuan sedikit minyak pada bahagian yang calar setelah dikeringkan.
Disebabkan pelbagai ‘pertimbangan’ mengenai PTFE ini, maka para penguasaha datang dengan konsep ‘green’ non-stick cookwares yang berteraskan seramik, enamel dan silikon.
Seramik & Enamel
Saduran seramik dan enamel keduanya berasal daripada asas yang sama iaitu tanah liat yang mengandungi bahan kimia utama SiO2 aka pasir. Yang membezakannya adalah kekuatan suhu yang digunakan pada tanah liat dalam penghasilan kedua komponen ini di mana enamel bersifat fizikal lebih opaque, manakala seramik pula lebih seperti kaca.
Penambahbaikkan mengikut kesesuian kemudiannya dibuat dengan mencampurkan bahan kimia lain dalam pembuatan selaput ini menjadikannya berstruktur kimia hibrid (kacukan) organik-inorganik. Contoh penambahan bahan kimia organoalkoxysilane yang membentuk ikatan kovalen dan ionik yang kuat. Ikatan ini adalah kunci kepada stabiliti kimia dan fizikal saduran seramik dan enamel ini.
Seperti juga PTFE, cara penjagaan yang salah untuk peralatan jenis ini juga boleh menyebabkan selaput seramik dan enamel tertanggal lalu tidak lagi menjalankan fungsi optimum kalis lekat tadi.
Kelemahan kuali kalis lekat PTFE, seramik dan enamel adalah mereka menghilangkan keupayaan kuali untuk mengalirkan haba sepenuhnya ke permukaan makanan yang mana kesan ‘kehangusan’ yang cantik tidak diperolehi. Maka satu lagi alternatif untuk penyelesaian ini ialah dengan menggunakan lapisan silikon.
Silikon
Lapisan silikon diperbuat daripada bahan kimia polysiloxane atau siliconized polyester sama seperti pembuatan hibrid lapisan seramik namun ianya lebih kepada ciri organik. Pun begitu, silikon tidak teguh secara fizikal, maka ianya lebih sesuai digunakan dalam peralatan pastri dibandingkan peralatan memasak biasa.
Seperti yang telah saya terangkan di atas, masalah dalam peralatan yang diselaputi dengan bahan kimia kalis lekat ialah kadar aliran haba yang rendah. Maka, para pengusaha datang pula dengan konsep ‘graniteware’.
Graniteware
Peralatan memasak granite ini sebenarnya TIDAK ada langsung material daripada granite. Nama ini diberikan kerana struktur rupanya adalah seperti granite.
Ianya diperbuat daripada besi karbon (carbon steel) yang diselaputi dengan lapisan porcelain enamel. Jenis yang ini juga selamat digunakan dan lebih tahan lasak, cuma ialah lebih berat kerana konsep pengaliran haba yang baik menjadi keutamaan disamping kalis lekat dan ‘green’.
KESIMPULANNYA kesemua peralatan kalis lekat ini selamat digunakan. Namun pastikan beli daripada pengeluar yang anda yakini dan punya reputasi yang baik. Selebihnya bergantung kepada tujuan dan kemampuan masing-masing.
Artikel Lain: [Guna Garam Untuk Sedapkan Masakan. Tak Kisah Letak Waktu Bila, Asalkan Tak Melebih-Lebih!]
Tips penjagaan peralatan memasak kalis lekat:
• Elakkan mengalirkan air SEJUK (paip) pada peralatan memasak yang mengandungi selaput kalis lekat yang masih lagi PANAS (walaupun bunyi tindakbalas pindaan haba ini ‘sedap’ didengar). Ini kerana ikatan yang membentuk selaput ini akan termusnah (degrades) disebabkan perubahan suhu yang mendadak.
• Elakkan mencuci di dalam dish washer atau mengunakan sabun yang kuat untuk peralatan memasak kalis lekat, kecuali dinyatakan selamat pada produk. Ianya akan merosakkan selaput kalis lekat dan akhirnya rekahan akan berlaku.
• Cuci permukaan kalis lekat ini dengan sabun dan span yang bersesuaian. Sekiranya terdapat makanan melekat, rendamkan dengan air sabun bagi memudahkan proses mencuci. Jangan scrub!
The post Tengah Panas-Panas, Jangan Basuh Kuali Non Stick. Cepat Rosak & Makanan Melekat appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/tengah-panas-panas-jangan-basuh-kuali-non-stick-cepat-rosak-makanan-melekat/