Tempoh Pkp Ambil Kira Juga Perkembangan Di Luar Negara
ainulillia Bimbang orang ramai tak boleh kawal pergerakan jika PKP dilonggar
BANGI – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan  tidak wajar dilonggarkan buat masa ini, kata Pakar Perubatan Kesihatan  Awam (Epidemiologi dan Biostatik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof  Madya Dr Malina Osman.
Ini kerana,  katanya, sekiranya PKP dilonggarkan secara mendadak, dibimbangi  sebahagian besar masyarakat tidak dapat mengawal perkara ini sehinggakan  larangan untuk mengadakan perhimpunan beramai-ramai tidak dipatuhi. 
Justeru,  katanya, PKP ini sewajarnya diteruskan sehinggalah bilangan kes yang  ideal – tidak ada kes selama 14 hari berturut-turut.
“PKP wajar  dilanjutkan. Memang ada yang harap PKP dilonggarkan. Sebab kita dah  biasa dengan cara hidup bermasyarakat. Masyarakat kita secara umumnya  sangat mesra antara satu sama lain, pasti kita simpan perasan rindu,  mahu berjumpa jadi kita bimbang jika PKP dilonggar keadaan itu tidak  dapat dikawal.
“Bagaimanapun  ada tempoh inkubasi yang perlu diambil kira dan wujud juga di kalangan  rakyat yang dirinya positif tapi belum dapat dikesan atau tidak  mempunyai simptom, menyebabkan kita terpaksa menunggu lebih lama lagi. 
“Mahu tak  mahu kita kena menunggu untuk melihat corak atau pola peningkatan.  Masyarakat kita secara umumnya sangat mesra antara satu sama lain, pasti  kita simpan perasan rindu,” katanya daam Program Pertiwi Eksklusif,  hari ini.
Dalam pada  itu, Dr Malina berkata, buat masa sekarang amat sukar untuk PKP  dilonggarkan kerana kes yang saban hari dicatatkan melebihi dua angka. 
“Oleh itu,  adalah penting untuk kita saling memberikan motivasi antara satu sama  lain. Peranan itu adalah peranan kita, dari segi kesihatan awam kita  adalah anggota barisan hadapan untuk memastikan apa yang diusahakan  kerajaan berjaya. 
“Penglibatan  rakyat adalah penting untuk memastikan kejayaan ini. Situasi ini bukan  macam pakar bedah di mana keberhasilan sesebuah pembedahan itu terletak  pada pakar, tapi kali ini ia bergantung pada semua barisan masyarakat,”  katanya.
Pada masa  sama, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes secara  mendadak di negara ini seperti yang telah dinyatakan Ketua Pengarah  Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini.
Situasi itu  termasuk mereka yang baru pulang dari luar negara dan dibimbangi juga  berlakunya kemasukan kes dari sempadan negara melalui jalan-jalan yang  tidak sah, katanya.
“Kita sedia  maklum apa yang berlaku di negara jiran – Indonesia. Semalam sahaja ada  25 orang doktor meninggal. Ini merisaukan, ia memberikan petunjuk bahawa  sistem kesihatan di sana kritikal untuk membendung wabak sehingga  menyebabkan petugas mereka terjejas. 
“Masyarakat  mereka di sana juga kurang yang telah menjalani saringan, hanya kes  tertentu dan tidak menyeluruh. Ini dapat dilihat dengan kes yang dikesan  rendah berbanding kadar kematian yang tinggi.
“Justeru,  kita bimbang jika ada orang indonesia masuk ke Malaysia dengan jalan  tikus. Jadi tempoh PKP ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan  sekadar konteks di negara kita sahaja,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/tempoh-pkp-ambil-kira-juga-perkembangan.html