Tanggungjawab Acryl Sani Tubuh Siasatan Bebas Berhubung Banduan Mati Dalam Tahanan Kata Anwar
Anwar Ibrahim (kiri) berkata Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani perlu segera membuat siasatan bebas bagi merungkai kes kematian banduan di penjara yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani membuat siasatan bebas dengan segera bagi merungkai kes kematian banduan di penjara yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini, sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat.
Presiden PKR itu berkata kematian tahanan ketika berada dalam pemantauan polis tidak seharusnya dijadikan isu perkauman dan timbul persepsi ramai yang maut adalah dari kaum India sedangkan jumlah banduan Melayu yang meninggal dunia lebih ramai.
“Buat siasatan awal, jangan buat kesimpulan awal samseng ini salah. Mulakan babak baharu… jika ada perkara baru berlaku, buat siasatan bebas untuk meredakan kemarahan dan kekecewaan mana-mana rakyat.
“Saya sendiri pernah jadi mangsa dihentak sampai hendak mati, itu seorang tetapi ratusan polis yang jaga saya ketika berulang ke Sungai Buloh (untuk ke mahkamah sepanjang perbicaraan) semua bagus-bagus,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Presiden PKR secara maya hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui ramai anggota polis menjalankan tugas dengan baik dan tidak seharusnya ada persepsi negatif untuk mengaitkan keseluruhan anggota badan beruniform itu dengan sebarang kejadian “buruk”.
“Ini bagi mengelakkan kita terperangkap dengan isu kezaliman,” katanya.
Pada 3 Jun lalu, seorang pemandu lori meninggal dunia dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, menjadikannya kes ketiga seumpama itu dilaporkan dalam tempoh 15 hari.
Umar Faruq Abdullah, 36, maut selepas terjun dari aras dua balai berkenaan ketika ditahan untuk soal siasat.
Kejadian terbaru itu menyusuli kematian pengawal keselamatan, S Sivabalan di Balai Polis Gombak pada 20 Mei lalu.
Seminggu kemudian, pada 27 Mei, Surendran Shanker dilaporkan mati di Hospital Kluang selepas ditahan di penjara Simpang Renggam, Johor.
Amanat khas presiden parti itu pada awalnya terganggu kira-kira 10 minit selepas bersiaran secara langsung di Facebook Live pada jam 11 pagi ekoran gangguan teknikal.
Program itu bagi menggantikan perasmian Kongres PKR yang sepatutnya berlangsung pagi ini tetapi diarah untuk ditangguhkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
“Minta maaf, line (liputan) teruk… itu pun digeruni, kan aneh,” kata Anwar seperti ingin memberitahu wujud “tangan ghaib” yang cuba sabotaj beliau untuk berucap pagi tadi.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata Majlis Pimpinan Pusat terpaksa bersetuju dengan arahan itu kerana jika gagal menangguhkan Kongres Nasional berkenaan, parti boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat.
Semalam, Pengarah Kongres Nasional PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan memaklumkan PKR telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), masing-masing pada jam 6.21 petang Jumaat yang mengarahkan kongres tersebut ditangguhkan.
Jumaat lalu telah berlangsung persidangan secara maya melibatkan Kongres Nasional Wanita PKR dan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/06/tanggungjawab-acryl-sani-tubuh-siasatan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+