Tambah Koleksi Rantai Loket Dan Subang Telinga Emas 916 Raya
Seminggu selepas hadiah dapat gelang emas, ke Habib Jewels sekali lagi. Kononnya nak beli pendant butterfly yang viral RM100 lebih tu. Tapi saya datang petang, memang dah habis lah cerita dia. Katanya awal-awal pagi dah habis.
Mana taknya, 50 units je. Memang orang serbu awal lah.
Saya rancang kalau tak ada pendant/loket tu nak beli earrings/subang telinga jenis rantai tu. Malas dah nak pakai subang jenis katup tu. Susah nak buka pakai sendiri. Kena ada orang tolong pakaikan sebab tak nampak nak tutup belakangnya. Subang tu simpan dulu, kotlah nak tukar-tukar pakai nanti kan.

Masuk je kedai, saya tanya pasal pendant tu. Dah habis katanya. Lepas tu tunjuk gambar subang yang saya nak pada promoter. Katanya kat sini tak ada stok. Ada stok dekat branch KL je kalau tak silap. Saya fikir kalau tak ada kat Habib, nak beli kat Wah Chan
Alang-alang dah ada kat Habib, nak beli rantai juga. Nak pakai rantai yang panjang sikit. Yang ada sekarang pendek.Bukan nak cari rantai yang tebal besar. Dapat yang kecil pun okay sudah. Saya pilih yang halus emas mesin tu je. Berat 5 gram lebih
Jenis emas mesin ni padu dah tahan lasak. Sesuailah untuk perhiasan pakai harian

Kalau ada modal besar, nak juga pilih yang lebar dan berat sikit. Kena menabung dululah ye. Sekarang kita cuci mata percuma je. Tapi saya kurang minat sangat emas besar-besar tebal begini. Tapi kalau orang beli, kita ambil je. Hiks

Dah pilih rantai. Pilih loket/pendant pula. Tertarik dengan loket ikan ni. Mulanya saya pilih yang infinity tu tapi macam ringan sangat, 0.4 gram macam tu. Tak jadilah. Saya ambil charms bulat yang bawah sekali tu berat 0.6 gram lebih
Berkenan dengan loket yang huruf A tapi emas 999 pula. Promoter tak saran beli kalau nak pakai harian sebab emas 999 ni tak tahan lasak. Mudah kemek gitu sebab dia emas tulen 24 karat tak campur bahan lain. Kalau untuk simpan dan pakai sesekali tu okaylah.

Sementara menunggu buka resit dan pembayaran, kita cuci mata di bahagian lain. Umangaiii bosa golang omeh ni ha...boghek nak membawaknya pun. Kalau emas kosong okay lagi. Jenis padu, tak dayo. Kalau di Habib, yang tag kuning ni design ORO Italia

Jenis macam ni pun nice juga. Simple tapi menarik. Rose gold tu macam menarik bukan? Kalau emas 916 coating rose gold, nanti luntur dia jadi warna emas juga. Tapi tak tahulah penjagaan dia macam mana dan berapa lama tahan coating tu sebab tak pernah beli rose gold. Ada yang tahu? Sila komen

Dapat juga tambah koleksi rantai emas. Ada rezeki lebih kita upgrade lagi. Suka beli di Habib sebab kotak dia sangat exclusive. Menarik sikit kalau nak bagi hadiah atau nak simpan barang kemas tu.

Masa beli rantai dan loket emas 916 ni, 1 gram RM444. Cepat betul harga emas naik kan dalam masa seminggu. Hari-hari memang harga emas naik pun
Total lost, rantai 5.130 gram tambah upah RM56. Charm 0.640 gram tambah upah RM40.
Tolak earrings yang lama lagi satu jenis pin belakang bukan jenis katup 1.950 gram RM717. Dulu beli RM400 ratus lebih je. Sekarang dah jadi harga RM700 lebih. Memang bagus simpan emas ni kan. Harga dia sentiasa naik dan naik je
Dah selesai di Habib Jewels. Jomlah ke Wah Chan pula meneruskan misi mencari chain earrings. Ada banyak pilihan design di Wah Chan. Kita pun jadi rambang mata nak pilih yang mana. Belek punya belek, pilih design star ni.

Suka pakai jenis macam ni senang nak buka pakai. Pakai lilit sekali atau dua kali pun boleh. Biasa lilit 2 kali untuk secure
Jenis macam ni untuk orang yang ada 2 lubang pakai lilit je guna satu je. Tapi kita satu lubang boleh je lilit 2 kali dalam 1 lubang. Faham tak? Camne eh nak terangkan. Nak tunjuk tak boleh. Google je lah
Di Wah Chan, harga emas 916 1 gram RM448, earrings 0.69 gram, upah RM120.88. Saya perasan upah tukang emas di Wah Chan mahal sikit. Di habib kurang dari seratus. Mungkin saya pilih design yang upah murah kot
Kalau beli design yang ORO Italia tu mesti mahal upahnya. Tapi tak dinafikan design di Habib Jewels lebih cantik dan exclusive. Harga mahal sikit. Di Wah Chan banyak pilihan tapi design kurang sikit.
Muka ada sinyum dapat rantai, loket dan subang telinga raya. Beli musim raya dapatlah harga murah sebab ada promosi biasanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.azhafizah.com/2025/04/tambah-koleksi-rantai-loket-dan-subang.html