Tambah Aktiviti Dengan Ilmu Dan Bahan Bacaan Menarik
Tambah Aktiviti Dengan Ilmu Dan Bahan Bacaan Menarik. Agak lama akak tak bercerita tentang bahan bacaan yang akak baca. Selama itu jugalah akak tinggalkan sebentar membaca koleksi buku-buku yang ada. Dah lama juga tidak menambah bahan bacaan memandangkan masih banyak lagi yang tak terbaca, cuma berkesempatan membeli buku-buku bacaan untuk dzakwan sahaja. Hujung minggu baru ni, sambil rehat-rehat selepas mengemas, tergerak untuk menghabiskan beberapa buah buku yang sentiasa ada di sisi katil. Seronok sebenarnya membaca, tidak kiralah buku ilmu, buku info mahupun novel. Bila membaca, otak rasa fresh dan seperti mendapat ilmu baru. Membaca itu suatu nikmat sebenarnya !
3 Buah Buku Menarik Untuk DibacaWarung Western Tepi KampungPenulis - Rafiuddin Rabu
Berkisar tentang penat lelah jatuh bangun bangun seorang usahawan muda yang menceburkan diri dalam industri pemakanan. Membuka kedai makan kecil ala western di sisi rumah. Menariknya buku ini, banyak mengajar kita bukan sahaja apa yang perlu buat tapi juga apa yang perlu amal. Usaha dan amal kena seiring supaya rezeki yang dapat halal dan boleh dikongsi dengan yang lain.
Nak bergelar seorang peniaga kedai makan bukannya mudah, tambahan pula di kawasan kampung. Selain daripada kena kreatif untuk tarik pelanggan singgah makan, ada juga halangan hasad dengki yang tak pernah hilang daripada kalangan orang kampung.
Nak menang dalam hidup bukan setakat kau ada duit berkoyan-koyan, harta bertimbun-timbun dan emas berkepuk-kepuk. Tapi definisi menang yang sebenar adalah apabila kau sentiasa berasa cukup dengan apa yang kau ada, hati sentiasa tenang tanpa gundah gulana dan hidup selalu bahagia seceri mentari pagi.
Diagnosis - Kenapa Jadi Doktor?Penulis - Dr Anwar Fazal, Dr Aizzat, Dr Azah
Lebih kepada himpunan kisah-kisah bagaimana kehidupan frontliner terutama para doktor berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit. Kadang-kadang situasi yang sama memang pernah kita tengok sendiri berlaku. Tugas sebagai seorang doktor pada akak adalah tugas yang mulia dalam memantu masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan. Seorang doktor bukan pakar dalam semua penyakit tapi bila kita berjumpa doktor sekurang-kurangnya ada cadangan yang membantu mengurangkan atau membantu sembuh penyakit yang dihidapi dengan izin Allah.
Semenjak anak akak menunjukkan minat dalam bidang perubatan, akak pun sedikit sebanyak cuba mendalami kehidupan seorang doktor. Seorang doktor bukan lagi kepunyaan keluarganya, seorang doktor adalah kepunyaan masyarakat.
"Kalau mahu menjadi doktor sebab mahu kaya, tampak bergaya, glamor atau rasa superior, lupakan sahaja. Kuburkan cita-cita mahu menjadi doktor segera. Masih banyak kerjaya lain yang dapat memberikan kamu itu semua tetapi bukan kerjaya kedoktoran.
Ini kerjaya yang akan membuatkan kamu rasa betapa terbatasnya ilmu manusia dan betapa hebatnya kuasa DIA. Ini kerjaya yang boleh membuatkan kamu lebih menghargai setiap degupan jantung manusia kerana ia mampu berhenti secara tiba-tiba, pada bila-bila masa. Ini kerjaya yang boleh membuatkan kamu terpaksa mengorbankan banyak perkara yang kamu mahu di dunia kerana perlu menyelamatkan nyawa.
Buku ini banyak memberi inspirasi dan pengajaran kepada bukan sahaja yang terlibat dan bakal terlibat dengan dunia perubatan tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat. "
Dia ImamKuPenulis - Siti Rosmizah
Bagi peminat novel mesti tidak asing lagi dengan nama penulis ini. Banyak juga drama adaptasi yang disiarkan hasil daripada novel penulis ini. Buku ni akak tak sempat baca lagi. Tapi ramai yang memberi komen, novel ini menarik. Seperti biasa, noval Siti Rosmizah ni memang tebal-tebal. Bila dah mula baca memang tak mahu berhenti.
Sinopsis novelSombong! Berlagak! Itulah diri Cempaka Humairah. Dia benci dengan cucu angkat neneknya. Amiruddin, lelaki kampung yang tak dipandang sebelah mata. Amiruddin itu kekasih Dahlia, sepupu Humairah. Dahlia ni tak adalah baik mana. Mata duitan. Amiruddin dianiaya oleh pak longnya. Nenek Bunga dapatkan dia kerja sebagai pemandu Humairah. Kesian Amiruddin, hari-hari kena marah, kena maki. Sabar aje dia. Kalau orang lain, dah naik pelempang kat muka. Datin Orkid ibu Humairah, kecewa dengan suaminya, Dato’ Malik kerana menjadi wali pernikahan Lily, anak sulungnya. Demi cinta, Lily sanggup dibuang keluarga. Lily hidup menderita, apatah lagi bila dia disahkan mengidap kanser.
“Lily sakit ma...Lily perlukan restu mama. Tolong Lily, ma. Lily tak nak mati jadi anak derhaka. Lily nak jumpa mama buat terakhir kali.” Dahlia bersubahat dengan Razak mengenakan sepupunya. Amiruddin menyelamatkan Humairah dari niat jahat mereka. Malangnya Rafiq tak percaya. Dia menuduh Humairah curang! Kesucian Humairah dipertikai! Demi maruah Humairah dan keluarga, Amiruddin seikhlas hati menerimanya sebagai isteri.
Humairah hanya pura-pura mencintainya. Rafiq menagih cinta Humairah semula. Amiruddin dibuang dari hidupnya! “Ambik balik cincin awak! Cincin yang layak dicampak dalam longkang aje!” Ya Allah! Remuk hati Amiruddin. Humairah sangka cinta Rafiq, cinta sejati. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Perkara berlaku di luar jangkaan. Saat ini baru Humairah kenal cinta yang sebenar. “Maira mintak ampun bang. Maira berdosa pada abang. Maira betul-betul menyesal. Maafkan Maira, bang.”
“Saya masih lelaki kampung yang sama. Tak ada harta. Lelaki miskin yang tak mampu beri Cik Maira apa-apa. Walaupun secebis cinta.” Ya Allah, panjangkan jodohku dengan suamiku. Dia imamku, dia kekasihku hingga akhir nyawa. Mungkin ke hati Amiruddin sudah mati buatnya?
Cukup 3 buah buku dulu untuk bulan ini. Bulan depan akak cuba share lagi beberapa bahan bacaan yang menarik. Aktiviti tambahan musim PKP ni. Hobi lama yang kadangkala ditinggalkan. Membaca ni tak pernah jemu sebab setiap pembacaan akan menambah satu ilmu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.azirahman.com/2021/01/tambah-aktiviti-dengan-ilmu-dan-bahan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+azirahman/MVSY+(Journey+Of+Life)