Tak Wajar Kompaun Rm10 000 Salah Tak Pakai Pelitup Muka
Oleh Herman Hamid
Datuk Seri Takiyuddin Hassan./ Gambar FB Jabatan Penerangan Perlis TIDAK pakai pelitup muka atau tidak mengimbas kod MySejahtera bukan kesalahan yang wajar untuk dikompaun maksimum RM10,000 bagi individu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, banyak lagi kesalahan lain yang lebih besar untuk dikenakan kompaun jumlah tersebut.
“Tapi tak apa, oleh kerana ada sedikit kekeliruan (dalam pelaksanaan), esok Jawatankuasa Pengurusan Darurat COVID-19 akan bermesyuarat dan kita akan bincang.
“Kita akan senaraikan jenis kompaun maksimum ikut jenis kesalahan,” katanya kepada pemberita di Kangar hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 ke Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Menurut Takiyuddin, ordinan berkenaan yang meminda Akta 342 bagi membolehkan kompaun maksimum RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk perbadanan akan tetap dikekalkan.
Baca artikel berkaitan:Kompaun RM10,000 bukan muktamad, rayulah -Takiyuddin
Kompaun individu RM10,000, wajarkah dinilai semula?
Cuma katanya, kerajaan memberi jaminan akan menyelesaikan aspek pelaksanaan termasuk pengeluaran saman.
“Ketegasan undang-undang perlu ada tetapi pada masa yang sama budi bicara juga perlu ada bagi mewujudkan keseimbangan di antara kedua-duanya,” katanya.
Beliau juga menegaskan kompaun tersebut bukan bertujuan menghukum sebaliknya berperanan sebagai langkah pencegahan dan pengajaran agar matlamat kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini tercapai.
Takiyuddin pada masa sama sekali lagi menjelaskan mereka yang dikenakan kompaun berkenaan boleh membuat rayuan di mahkamah.
Jumaat lalu, Takiyuddin menjelaskan yang kompaun RM10,000 yang dikenakan akibat ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dalam kejadian tular bukan muktamad.
Sebaliknya kata beliau, nilai kompaun tersebut masih boleh dikurangkan.
Katanya, individu berkenaan mempunyai pilihan untuk memohon dikurangkan jumlahnya sama ada di Pejabat Kesihatan atau ketika kes berkenaan disebut di mahkamah.
“Kompaun RM10,000 itu bukan kena bayar serta-merta, ada tarikhnya sehingga 12 April untuk jelaskan. Boleh pergi Pejabat Kesihatan, jumpa pegawai diberikan kuasa dan bincang dengannya untuk mitigate (kurangkan),” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/tak-wajar-kompaun-rm10000-salah-tak.html