Tak Sangka Teruja Bertemu Yang Di Pertuan Agong Di Madinah
MADINAH, Rata-rata jemaah haji, pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di Arab Saudi tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini hari ini
Kebanyakan yang ditemui hampir senada menganggap pertemuan yang langsung tidak disangka itu merupakan suatu hadiah yang amat besar untuk mereka, dengan nasihat Seri Paduka supaya terus mengharumkan nama Malaysia, tersemat rapi dalam hati masing-masing.
Jemaah haji Rahimah Mat San, 65, berkata beliau amat gembira dan bersyukur diberikan peluang bertemu dengan Seri Paduka di sini, yang sebelum ini hanya dapat dilihatnya daripada jauh.
Saya orang Temerloh (Pahang), bukan senang nak jumpa Tuanku saya dapat tengok dari jauh sahaja bila Tuanku turun di Temerloh, ini Tuanku berkenan datang ke meja tanya saya dari mana, saya jawablah dari Temerloh.
“Rasa macam nak menangis pun ada, gembira syukur sangat kepada Allah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira sejam berangkat ke Majlis Minum Teh Bersama Rakyat Malaysia di sini yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia di sini.
Jururawat yang bertugas selama enam tahun di sebuah hospital di sini Siti Masyitah Tumin, 31, pula berkata beliau terharu melihat sifat peramah Seri Paduka yang sanggup turun daripada pentas jamuan untuk pergi ke meja-meja hadirin bagi beramah mesra.
“Tuanku memang sangat peramah sangat merendah diri turun ke setiap meja bertanya khabar dan mengambil gambar dengan setiap kami, tentu kami rasa amat gembira dan ini memberikan semangat untuk kami terus berbakti kepada negara,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu berkata Sultan Abdullah bertanya kepada beliau bersama rakan jururawatnya yang hadir ke majlis tentang pekerjaan mereka dan menasihatkan mereka supaya terus berkhidmat dengan baik.
Pelajar Universiti Islam Madinah, Muhammad Al Amin Zulkifle, 22, berkata beliau mulanya agak gementar untuk bertemu dengan Sultan Abdullah, namun perasaan itu terus hilang dengan kemesraan yang ditunjukan Seri Paduka.
Tuanku bertanya, belajar di mana dan belajar apa pada saya dan rakan-rakan, memang saya amat hormati Tuanku dengan kemesraan yang ditunjukkannya,” kata pelajar jurusan Ijazah Syariah itu yang berasal dari Senai, Johor.
Sultan Abdullah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai dalam lawatan khas atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
Seramai 30,200 jemaah haji mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini dibantu 640 petugas TH.
Sumber: Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/07/13/tak-sangka-teruja-bertemu-yang-di-pertuan-agong-di-madinah/