Tak Mahu Umno Dipersalahkan Jika Kes Covid 19 Naik Sulaiman
AGENDA DAILY
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak mahu UMNO dipersalahkan sekiranya jangkitan kes Covid-19 meningkat di Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan 20 November ini.
Ketua Menteri Melaka sementara itu menggesa parti-parti politik yang bertanding agar mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia termasuk larangan berhimpun yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.
“Saya juga sarankan semua parti politik yang bersedia untuk bertanding pada PRN, kita patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dipetik laporan BH selepas merasmikan Pintu Gerbang Little India di Jalan Bendahara hari ini.
Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO berkata tidak mahu dipersalahkan sekiranya SOP dilanggar dan mengakibatkan kes baharu Covid-19 meningkat mendadak.
“Kita pun tidak mahu esok ada peningkatan jangkitan Covid-19 dan kita dituduh penyebab utama kepada berlakunya jangkitan jika (kes) naik mendadak,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.
Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Sulaiman.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).
Susulan itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/tak-mahu-umno-dipersalahkan-jika-kes.html