Tak Ada Pertemuan Langkawi Sama Ada Rasmi Atau Tak
MALAYSIAKINI
Pembantu  Dr Mahathir Mohamad menolak spekulasi kononnya satu pertemuan sulit  diadakan di antara bekas perdana menteri itu dan pemimpin Perikatan  Nasional di Langkawi pada hujung minggu lalu.
Pembantu itu, Adam  Mukhriz Mohd Muhayeddin, berkata, Dr Mahathir tidak berjumpa dengan  Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein seperti yang dilaporkan.
“Memang disahkan oleh pegawai pengiring tak ada pertemuan sama ada rasmi atau tak. 
“Tun (Dr) M pergi Langkawi pun secara last minutes. Spekulasi bahawa Tun M ada plan bercuti dengan Azmin adalah tak benar sama sekali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
 Spekulasi,  tersebar khususnya oleh akaun Facebook yang berkaitan dengan PKR,  susulan gambar  setiausaha politik Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya Aby  dilihat bersalaman dengan Menteri Luar Hishammuddin Hussein di luar  kedai roti The Loaf.
Hantaran itu turut berkongsi dua  gambar lain, pertama gambar Dr Mahathir di kedai roti yang sama dan  gambar kedua adalah rombongan Azmin.
Namun, tidak ada satu pun  gambar yang memaparkan ketiga-tiga lelaki itu bersama. Masa sebenar  gambar berkenan dirakamkan juga tidak dinyatakan.
Spekulasi itu  juga timbul ketika kebuntuan antara Mahathir dan presiden PKR Anwar  Ibrahim mengenai siapa yang harus menjadi perdana menteri berikutnya  sekiranya Pakatan Harapan berjaya mendapatkan kembali kuasa.
Ada  penyokong berhujah bahawa Mahathir lebih cenderung memenangi sokongan  blok Sabah dan Sarawak untuk membentuk majoriti baru di Dewan Rakyat,  sesuatu yang gagal dilakukan  oleh Anwar.
Walau bagaimanapun,  tanpa sokongan PKR, peluang Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali  lagi dan rancangannya untuk merampas kuasa bersama Pakatan Harapan dan  Warisan juga tidak dapat diteruskan.
Anwar turut dilaporkan berjumpa dengan pihak lain, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin Sarawak.
Pemimpin  PKR mempertahankan pertemuan itu, dengan mendakwa bahawa Mahathir juga  telah melakukan perkara yang sama dengan pertemuan bersama Azmin dan  presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Namun, setiausaha agung Bersatu  yang jawatannya dipertikaikan, Marzuki Yahya berkata  bahawa mesyuarat  yang didakwa membabitkan Mahathir itu adalah tidak berasas dan tidak  pernah berlaku.
"(Ia) adalah tidak benar dan ia satu tuduhan yang  tidak berasas malah khabar angin mengenai pertemuan itu sengaja diadakan  untuk menimbulkan spekulasi terhadap Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/tak-ada-pertemuan-langkawi-sama-ada.html