T17k21 Kedah Fa Hancurkan Hati Pemain Pemain
Kegagalan Kedah FA bertanding dalam Piala AFC tahun depan merupakan tamparan hebat kepada pengurusan Kedah FA. Dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Setiausaha FAM Dato Hamidin tempoh hari pasti meranapkan dan menghancurkan hati setiap peminat-peminat Kedah apatah lagi pemain-pemain Kedah sendiri kerana Piala AFC adalah tempat mereka ingin menguji kemampuan diri sendiri dalam pertandingan tertinggi anjuran AFC.
Bola Kedah FA Setelah mengharungi saingan Liga Malaysia yang mencabar dan telah berusaha bersunguh-sungguh untuk mengekalkan prestasi akhirnya bersedih dengan pengumuman yang dibuat FAM. Sudah pastilah mengundang rasa kecewa jurulatih Kedah, Nidzam Adha akibat daripada keculasan dan kecuaian dalam pengurusan pentadbiran Kedah FA kerana gagal menghantar laporan audit kepada FAM.
Inilah gambaran sebenar sikap segelintir pengurusan dalam pentadbiran persatuan bola di negara kita yang hanya pentingkan diri sendiri dan mungkin mereka bukan seikhlas hati untuk memajukan bola sepak negara yang kini berada dalam keadaan tenat. Sepatutnya semua pengurusan perlu mengambil berat tentang audit ini kerana integriti dan akauntabiliti seseorang itu akan dinilai dalam tugasannya.
Namun "nasi sudah menjadi bubur" ini satu pengajaran kepada semua pengurusan pentadbiran persatuan bola sepak negeri dan kelab supaya lebih peka dalam urusan tadbir ini. Sampai bila pengurusan bola sepak kita akan jadi begini sedangkan era professional sudah lama berlalu. Transformasi juga telah dilakukan oleh Presiden FAM, Tunku Ismail untuk membawa perubahan minda dan pengurusan dalam memburu kemajuan dalam bola sepak negara.
Penulis berharap bermula tahun hadapan tidak ada lagi masalah-masalah begini berlaku dan kepada pengurusan pentadbiran yang diamanahkan menjalankan tugas itu perlu meletakan komitment mereka seratus peratus tidak boleh lagi memandang remeh dalam urusan kewangan dan audit.
Sementara itu penulis juga ingin mencadangkan kepada FAM untuk mewujudkan sendiri unit dalaman bahagian audit untuk membuat semakan dan pantauan kepada ahli-ahli gabungannya yang bertujuan untuk mendidik bukan untuk menghukum ahli gabungan sebaliknya untuk memudahkan ahli gabungan pada masa-masa akan datang dalam permohonan lesen kelan daripada FAM sendiri dan AFC amnya.
Kepada pemain-pemain Dan peminat-peminat Kedah bersabarlah dengan apa yang terjadi ini dan jangan patah semangat untuk terus menunjukan prestasi terbaik Kedah sebagaimana yang dipamirkan pada tahun ini. Selamat maju jaya Kedah.
Oleh Hasnizam Uzir pada 21 November 2017 [20171121] di Stadium ASTRO
[Bola Kedah FA]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.interpretzz.com/2017/11/kedah-fa-hancurkan-hati-pemain-pemain.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Interpretzz+%28interpretZZ%29