Sukan Para Asean Tahun Ini Dibatal Kerana Covid 19
   Bernama

Pembatalan  Sukan Para Asean 2020 bertujuan melindungi dan menjaga keselamatan  atlet, jurulatih, tenaga kerja dan tetamu dari dalam serta luarnegara,  selain untuk membantu kerajaan Filipina membendung penularan Covid-19.KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) secara rasminya  membatalkan temasya Sukan Para Asean 2020 di Filipina pada Oktober ini  berikutan pandemik Covid-19 dan akan memberi tumpuan kepada penganjuran  edisi 2021 di Vietnam.
Keputusan itu dicapai selepas APSF mengadakan mesyuarat Lembaga  Pengelola menerusi persidangan video pada Jumaat lalu yang  dipengerusikan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Filipina,  Michael Barredo dan disertai semua 10 presiden Jawatankuasa Paralimpik  Kebangsaan anggota Asean yang lain.
“Majlis Pengelola menyokong pembatalan itu selepas menerima surat  rasmi yang mengesahkan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Sukan  Filipina (PSC) bertarikh 8 Jun 2020,” kata Presiden APSF, Osoth Bhavilai  dalam kenyataan semalam.
Katanya, surat yang ditandatangani Setiausaha Lembaga Suruhanjaya  Sukan Filipina, IV Julia C Llanto, yang meluluskan secara rasmi  pembatalan edisi ke-10 temasya sukan untuk atlet kelainan upaya rantau  ini bagi melindungi dan menjaga keselamatan atlet serta jurulatih dari  dalam dan luar negara, termasuk tenaga kerja, peserta serta tetamu, di  samping membantu kerajaan Filipina membendung penularan Covid-19.
Bhavilai berkata, lembaga berkenaan mengucapkan terima kasih kepada  kerajaan Filipina dan jawatankuasa penganjur (PHILAPGOC) di atas segala  usaha menganjurkan temasya sukan berkenaan, termasuk penyediaan  sekretariat, dana, venue, logistik, tenaga kerja dan lain-lain keperluan  teknikal.
Beliau berkata, fokus utama sekarang ialah memastikan kelancaran  Sukan Para Asean ke-11 di Hanoi, Vietnam pada Disember 2021 dengan  melakukan persiapan dan koordinasi awal.
Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan Para Asean buat kali kedua  selepas menjadi tuan rumah edisi kedua temasya sukan itu 18 tahun lepas  pada 2003, dengan hanya 5 acara dipertandingkan ketika itu.
Bhavilai, yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Paralimpik  Kebangsaan Thailand, berkata Lembaga Pengelola APSF akan mengadakan  mesyuarat awal pada Disember ini untuk membincang dan menyelaras  penganjuran edisi 2021 bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean  Vietnam serta pihak berkepentingan lain.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/sukan-para-asean-tahun-ini-dibatal.html