Sudahkah Kita Menjadi Hamba Bertawakal
Diantara sikap yang terpuji yang diajarkan agama kepada umatnya ialah tawakal. Apakah tawakal?
Tawakal ialah berserah diri sepenuhnya kepada Allah dalam menghadapi atau menunggu hasil sesuatu pekerjaan, atau menanti akibat dari sesuatu keadaan.
Banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh tentang sifat tawakal ini, antaranya:
Surah Ali-Imran ayat 159
” Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”
Surah Asy-Syuara ayat 217
“Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani”
Mungkin ramai yang sudah mengetahui tentang tawakal, tetapi kemungkinan masih ramai yang keliru dalam memahami dan melaksanakannya.
Artikel ini akan membahaskan lebih lanjut tentang apakah pemahaman yang betul tentang tawakal dan konsep pelaksanaannya.
Rukun-Rukun Tawakal
Sama seperti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain, tawakal juga ada rukun-rukunnya yang mesti dilakukan.
Apakah rukun? Untuk mudah faham, rukun ini adalah perkara yang wajib dilakukan di dalam sesuatu amal ibadah. Jika ditinggalkan, tidak sahlah ibadah yang dilakukan itu.
Contohnya dalam ibadah solat yang mempunyai 13 rukun. Salah satu dari rukun solat ialah membaca Al-Fatihah. Oleh kerana ianya rukun, apabila seseorang meninggalkan bacaan Al-Fatihah, maka batallah solatnya.
Samalah juga dengan tawakal, ianya mempunyai rukun. Apabila ditinggalkan rukun-rukun tawakal, maka tidak diterimalah tawakal tersebut.
Berapakah rukun tawakal dan apakah ia?
Rukun tawakal ada 2, iaitu:
Menempuh dan melakukan usaha/sebab.Berdoa memohon bantuan kepada Allah dan menyerahkan hasilnya kepada Allah serta redha dengan apa pun yang Allah takdirkan.
Seperti yang saya sebutkan di atas bahawa rukun adalah perkara yang wajib dilakukan. Maka rukun-ruku tawakal di atas wajiblah dilakukan, barulah ianya dinamakan tawakal.
Dan barulah perbuatan bertawakal kepada Allah itu diberikan ganjaran pahala.
Perbuatan Melampaui Batas Dalam Bertawakal
Bagaimanakah yang dikatakan melampaui batas dalam bertawakal? Melampaui batas di sini ialah apabila seseorang itu berlebihan di dalam bertawakal.
Dalam erti kata lain, dia melakukan perkara yang bertentangan dengan rukun-rukun tawakal yang saya kongsikan di atas.
Sikap melampaui batas dalam bertawakal juga ada dua, iaitu:
Tidak melakukan sebab atau usaha sama sekali. Sebaliknya hanya pasrah kepada ketentuan Allah semata-mata.Melakukan usaha dengan penuh kesungguhan, tetapi tidak memohon bantuan kepada Allah dan tidak menyerahkan hasilnya kepada Allah.
Sedikit penjelasan tentang sikap di atas.
Pertama: Inilah yang kebanyakan orang salah faham tentang tawakal. Mereka hanyalah pasrah semata-mata kepada Allah tanpa diikuti dengan usaha.
Sedangkan Nabi mengajarkan kepada kita untuk berusaha atau berikhtiar terlebih dahulu dan kemudian barulah bertawakal dan menyerahkan segala hasilnya kepada Allah.
Di dalam sebuah riwayat, ada seseorang yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah perlu saya ikat unta saya lalu bertawakal kepada Allah, atau saya lepaskan sahaja unta ini sambil bertawakal kepada-Nya?
Lalu Rasulullah s.a.w menjawab:
“Ikatlah dulu untamu itu kemudian baru engkau bertawakal”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi no 2517, hasan)
Kesilapan yang kedua pula ialah jalan usaha yang diambil. Cuba kita fikir secara waras. Bagaimana kita hendak berdoa kepada Allah meminta bantuan-Nya, sedangkan jalan usaha yang kita ambil pun mensyirikkan Allah.
Saya berikan contoh mudah di sini. Cuba perhatikan ada sesetengah masyarakat kita yang masih menggunakan tangkal untuk merawat masalah anak menangis malam.
Bukankah tangkal itu telah dilarang penggunaannya oleh Rasulullah? Jadi kesimpulannya di sini ada dua.
Yang pertama, pastikan anda berusaha terlebih dahulu dalam apa sahaja perkara yang anda inginkan, kemudian barulah bertawakal kepada Allah.
Dan yang kedua, pastikan bahawa jalan usaha yang anda lakukan untuk mencapai sesuatu perkara itu adalah jalan yang dibenarkan di dalam agama.
Kedua: Satu perkara yang perlu diingati ialah kita ini adalah hamba Allah. Dan Allah adalah pencipta kita dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah telah berkata:
“Mengandalkan (terlalu memperhatikan) sebab atau usaha itu menodai kemurniaan tauhid. Tidak percaya bahawa sebab adalah sebab adalah tindakan yang merosakkan akal yang sihat. Tidak mahu melakukan usaha atau sebab adalah celaan terhadap syariat (yang memerintahkannya). Hamba berkewajipan menjadikan hatinya bersandar kepada Allah, bukan bersandar kepada usaha semata. Allah lah yang memudahkannya untuk melakukan sebab yang akan mengantarkannya kepada kebaikan di dunia dan di akhirat” (Majmu Fatawa Ibnu Taimiyah 8/528)
Bahaya kepada orang yang terlalu bersandarkan kepada usaha dan sebab ialah dia akan mudah menjadi stress atau deppression (kemurungan).
Ini kerana dia sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang diinginkannya, tetapi masih tidak dapat dicapai.
Apabila gagal dengan cara yang pertama, diusahakan pula cara yang kedua. Gagal yang kedua, dicuba pula cara ketiga dan begitulah seterusnya, tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Inilah yang menyebabkan orang tersebut menjadi stress.
Tetapi berbeza dengan orang yang bertawakal kepada Allah. Ini kerana dia sedar bahawa apa sahaja yang dilakukannya dan bagaimana hasilnya adalah datang dengan kekuasaan dari Allah.
Orang yang bertawakal juga akan sentiasa bersangka baik dengan Allah. Ini kerana dia menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku ke atas dirinya adalah dari Allah dan Allah lah yang paling mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.
Inilah yang menakjubkan yang ada pada diri seorang yang beriman sesuai dengan hadis Nabi s.a.w:
“Sungguh menakjubkan urusan orang beriman. Sungguh semua urusannya adalah baik, dan yang demikian itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun kecuali orang beriman. Iaitu jika dia mendapat kegembiraan, dia bersyukur dan itu suatu kebaikan bagi dirinya. Dan jika ia mendapat musibah, dia bersabar dan itupun suatu kebaikan baginya”. (HR. Muslim)
Bagaimana Melakukan Tawakal
Untuk bertawakal kepada Allah, maka anda mestilah melaksanakan 2 perkara di bawah:
Menyandarkan diri kepada Allah dan beriman bahawa Dia adalah yang menjadikan segala sebab dan bahawa takdir-Nya pasti akan berlaku dan Dialah yang mentakdirkan segala perkara.Melaksanakan sebab atau usaha.
Untuk lebih memudahkan anda faham, saya bawakan satu situasi sebagai contoh. Situasi anda sebagai seorang pesakit yang mengalami gangguan jin.
Apabila anda diuji dengan gangguan jin, anda beriman bahawa apa yang berlaku ke atas diri anda itu adalah takdir dan ketentuan Allah juga.Anda bersangka baik kepada Allah bahawa Allah lah yang paling mengetahui apa yang terbaik untuk diri anda. Gangguan jin yang berlaku kepada anda sudah pasti ada hikmah tertentu yang Allah sahaja mengetahuinya.Melaksanakan ikhtiar iaitu dengan mendapatkan rawatan yang sesuai dengan apa yang anda alami. Dan apa sahaja hasil yang diperolehi dari usaha tersebut, anda akan hadapi dengan redha.Meminta pertolongan kepada Allah dengan cara menunaikan solat (berdoa) dan bersabar dalam berdoa kepada Allah.
InshaaAllah jika anda melakukan langkah-langkah di atas, anda tergolong dalam golongan orang-orang yang bertawakal kepada Allah dan Allah akan memberikan pahala kepada anda.
Kesimpulan
Setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah hendaklah sentiasa bertawakal kepada-Nya. Sifat tawakal pula hanya akan terhasil apabila adanya sifat khauf yakni takut kepada Allah disertai keyakinan yang jitu dalam setiap waktu dan keadaan kerana hakikat sebenar tawakal adalah dengan mengambil sebab-sebab dan usaha demi mencari rezeki.
Sumber rujukan:
Salah Faham Tentang Memahami Tawakal
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://perawatislam.com/tazkiyyatun-nufus/sudahkah-kita-menjadi-hamba-bertawakal/