Suami Tinggalkan Kami Sebagai Wira Negara Isteri
BH ONLINE

 Balu  mendiang Koperal Baharuddin Ramli, Relow Ko, 48, merenung gambar mendiang suaminya di kompleks perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini. - Foto BERNAMA TAPAH:  Kematiannya sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami  meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara,  dia seorang wira, kata isteri mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang  terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan  Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.
Relow Ko, 48, berkata beliau dimaklumkan mengenai insiden yang  menimpa suaminya itu kira-kira jam 4.30 pagi tadi oleh seorang rakan  yang datang ke rumahnya di kompleks perumahan Batalion 3, Pasukan  Gerakan Am (PGA), Bidor di sini, hari ini. 
"Sewaktu kawan sampai dia senyap bila saya tanya kenapa. Dia  tunjuk mesej WhatsApp kepada saya beritahu apa jadi kepada suami, dan  waktu itu saya rasa kosong sebab awal pagi, saya terkejut," katanya  kepada Bernama di sini, hari ini. 
Baharuddin, 54, terbunuh dalam insiden pada jam 3.10 pagi itu,  manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan  parah, dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF),  Kangar, Perlis.
Disyorkan Untuk Anda  Kerajaan Negeri Sembilan zahir takziah kepada keluarga mendiang BaharuddinTERKINI: Dua anggota PGA berbalas tembak dengan 13 penyeludupKPN, warga PDRM rakam takziah anggota PGA terkorbanPM ucap takziah kepada keluarga Koperal Baharuddin Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berumur antara 18 dan 32 tahun. 
Menurut Relow, mendiang suaminya yang bertugas dengan Batalion 3  (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA terbabit dalam penugasan kawalan  keselamatan Op Benteng di sempadan sejak 1 November lalu dan dijadual  berakhir hujung bulan ini. 
Beliau berkata mendiang suaminya yang mula berkhidmat sebagai anggota  polis ketika usia 19 tahun merancang untuk bersara empat tahun lagi dan  berhasrat balik ke Bahau untuk bersama keluarga. 
Bercerita mengenai peribadi suaminya yang berasal dari suku kaum  Semelai, Relow berkata mendiang seorang yang suka bercucuk tanam dan  tegas terhadap anak-anak serta keluarga, dan beliau tidak nampak  sebarang perubahan ketara kepada mendiang suaminya sebelum keluar untuk  tugasan kali ini, sebaliknya beliau yang berasakan sentiasa tidak sedap  hati malah sukar untuk tidur malam. 
 Sementara itu, anak sulung mendiang, Shahrul Epanddy, 32, menyifatkan pemergian ayahnya  sebagai wira negara.
"Saya anggap dia bukan mati sia-sia. Dia wira saya. Dia meninggal  ketika mempertahankan negara. Sepupu saya yang turut bertugas di operasi  sama memaklumkan ayah saya meninggal dalam keadaan tenang dengan raut  wajah tersenyum," katanya. 
Berkongsi kenangan bersama ayahnya, Shahrul Epanddy berkata kali  terakhir mereka bertemu adalah Ogos lalu di Bahau namun tiada  tanda-tanda pelik seakan mereka tidak akan bertemu lagi buat selamanya. 
Mendiang Baharuddin akan disemadi di kampung halamannya esok. 
Sementara itu di PADANG BESAR, rakan setugas yang rapat dengan  mendiang, Koperal Alang Angah berkata ketika keluar membuat rondaan  kira-kira jam 9 malam tadi, mendiang tidak menunjukkan apa-apa  perubahan, dan seperti biasa dia nampak bersemangat menjalankan tugas,"  katanya.
"Saya panggil dia sebagai 'Baha' dan dia seorang yang peramah dan penyabar," katanya ketika ditemui Bernama.
Menurutnya beliau memang rapat dengan mendiang, malah menganggap mendiang seperti adik kandung. – BERNAMA
LIHAT VIDEO DI SINI   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/suami-tinggalkan-kami-sebagai-wira.html