Speaker Akur Benarkan Semua Ahli Parlimen Masuk Dengar Belanjawan 2021
Azhar berkata SOP sedia ada iaitu had 80 orang Ahli Parlimen pada satu-satu masa, akan berjalan pada sesi seterusnya Isnin ini.
KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 yang sepatutnya bermula 4 petang di Dewan Rakyat terhenti selama 15 minit apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bangkit memohon agar dibenarkan kesemua Ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.
Permohonan tersebut adalah susulan keputusan yang dibuat Speaker Datuk Azhar Azizan Harun semalam yang mengatakan jumlah Ahli-ahli Parlimen yang dibenarkan dalam Dewan Rakyat adalah 80 orang pada satu-satu masa.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, sepatutnya tiada masalah untuk membenarkan kesemua Ahli Parlimen bersama-sama mendengar pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memandangkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sudah mencukupi.
Antara yang bangkit menyokong usul beliau adalah Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Bebas-Jerlun), Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang).
Pada awalnya, Speaker berkata, keputusan tersebut telah dibuat berdasarkan persetujuan Ketua-ketua Whip Parti dan tidak perlu diubah kembali.
Namun, beberapa Ahli Parlimen mengatakan keputusan tetap terletak di tangan Azhar selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, bukannya keputusan bersama Ketua-ketua Whip.
Azhar akhirnya membenarkan sidang ditangguh lima minit bagi membenarkan kesemua Ahli Parlimen memasuki dewan.
Beliau kemudian memberitahu dewan bahawa SOP sedia ada iaitu had 80 orang Ahli Parlimen pada satu-satu masa akan berjalan pada sesi seterusnya Isnin ini.
“Ingin saya tegaskan, keputusan tersebut dibuat secara konsesus bersama-sama Ketua-ketua Whip Parti. Saya akan patuhi keputusan tersebut secara ketat Isnin ini.
“Di masa hadapan, lebih baik saya diberi notis terlebih dahulu, saya tak suka buat keputusan secara bersendiri. Saya suka buat keputusan secara konsensus selepas ada libat urus dengan pihak yang berkaitan," kata beliau lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/11/speaker-akur-benarkan-semua-ahli.html