Sop Covid 19 Di Sabah Diperketat Premis Makanan Dibenar Operasi Dari 6 Pagi Hingga 8 Malam
 Faiz Zainudin

Menteri  Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi kedai  serbaneka di Sabah juga dicadang dihadkan dari 6 pagi hingga 8 malam.PETALING JAYA: Kerajaan hari ini bersetuju memperkenalkan beberapa  prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih ketat susulan  pelaksanaan perintah kawalan rentas daerah di Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, antara SOP  yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang  dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini, termasuk  meluluskan cadangan kerajaan Sabah untuk mengehadkan waktu operasi  premis makanan dan kedai serbaneka dari 6 pagi sehingga 8 malam.
Premis terbabit sebelum ini dibenar beroperasi sehingga jam 2 pagi.
“Bagi pasar pagi dibenar beroperasi dari 6 pagi sehingga 2 petang;  pasar malam, pasar tani, dibenar beroperasi, berdasarkan SOP sedia ada,”  katanya pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan PKP bagi  membendung Covid-19 hari ini.
Katanya, waktu operasi stesen minyak juga dihadkan dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
Beliau berkata, perkhidmatan teksi dan e-hailing dibenar beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 8 malam.
“Khidmat penghantaran makanan dibenarkan bermula dari 6.00 pagi sehingga 8.00 malam,”katanya.
Kerajaan mengumumkan sekatan perjalanan rentas daerah di seluruh  Sabah berkuat kuasa 3 sehingga 16 Oktober depan, termasuk pelaksanaan  perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) di 4 daerah,  iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. 
Tambah aset keselamatan, anggota di timur Sabah
Dalam perkembangan sama di Sabah, Ismail berkata, kerajaan bersetuju  menambah aset dan anggota keselamatan bagi memperkasakan kawalan di  Pantai Timur Sabah melalui Operasi Benteng untuk menghalang kemasukan  pendatang asing tanpa izin (PATI), sekali gus mengekang penularan wabak  Covid-19.
Katanya, PATI yang ditahan dalam Ops Benteng sama ada berdokumen atau  tidak,wajib dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang  ditetapkan.
“Keputusan ini dibuat memandangkan kebanyakan kes positif Covid- 19  di Sabah adalah berpunca daripada kes import dari negara jiran,”  katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/sop-covid-19-di-sabah-diperketat-premis.html