Solidariti Kedamaian Ibu Saudara Haziq Terharu Sokongan Rakyat Malaysia
Astro Awani                                                                                                

                                Zarina  (tengah) berkata, sesungguhnya sebagai rakyat Malaysia, beliau amat  mencintakan kedamaian dan keamanan sejagat. - Astro AWANI                                                                                                                           
KUALA LUMPUR: Waris  keluarga  Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, yang  terkorban dalam tragedi tembakan di Christchurch, New Zealand, pada 15  Mac lalu, melahirkan rasa terharu dengan sokongan diberi rakyat Malaysia  semasa perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini.
 Zarina Shuib,  ibu saudara Muhammad Haziq, memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana  berkesempatan menyertai rakyat Malaysia dalam perhimpunan itu di sini  hari ini.
 "Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New  Zealand yang mana adik kami (Mohd Tarmizi) cedera dan anak saudara kami  (Muhammad Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan  berkenaan.
 "Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang  sudi menziarahi adinda kami di sana serta melihat dengan lebih dekat  lagi keadaan di Christchurch," katanya.
 BACA: 'Aku dah lama tak rasa seronok macam ni' - ungkapan terakhir Allahyarham Haziq 
Zarina berkata demikian ketika berucap mewakili keluarga Allahyarham  Muhammad Haziq pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka  di sini.
 "Biarpun ujian berat ini diterima, namun kami ahli  keluarga reda dengan pemergian Muhammad Haziq dan wajib menerima  ketentuan-Nya.
 "Kami akan menyokong usaha ini bagi menyatakan  kebersamaan masyarakat dan rakyat Malaysia agar keamanan dan kedamaian  tanpa mengira agama, kaum dan bangsa," katanya sambil menahan sebak.
 BACA: 'Hormati perasaan keluarga, henti tular mengenai Mohd Haziq' 
 Zarina, kakak kepada Mohd Tarmizi Shuib, yang turut cedera dalam  insiden serangan pengganas Christchurch itu, berkata sebagai rakyat  Malaysia, beliau amat cintakan kedamaian dan keamanan sejagat.
 Muhammad Haziq, anak kedua Mohd Tarmizi, ialah antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi tembakan di masjid Christchurch.
 BACA: Serangan solat Jumaat: 'Wajah Haziq tersenyum'
 Ketika kejadian, Mohd Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12 tahun, dan Muhammad Haziq, hadir bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch.
 Mohd Haris terselamat tetapi trauma manakala bapa mereka parah ditembak.
 Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/solidariti-kedamaian-ibu-saudara-haziq.html