Skuad Pantas Luas Lakukan Rondaan 24 Jam Sehari Elak Pencemaran
Bernama

Penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari dengan peruntukan Belanjawan Negeri Selangor 2021. -Gambar hiasan SHAH ALAM: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang secara rasminya  ditubuhkan dan beroperasi bermula Selasa akan melaksanakan pemantauan 24  jam setiap hari di kawasan-kawasan sensitif dalam menangani masalah  pencemaran sumber air mentah
 LUAS dalam  satu kenyataan di sini pada Rabu memaklumkan skuad berkenaan akan  memantau sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan  Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan  meminimumkan risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA)
 Tambah  kenyataan itu lagi, penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari  dengan peruntukan Belanjawan Negeri Selangor 2021
 "Pemantauan  24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air negeri  Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara, skuad ini juga merupakan  urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri  Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan  segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan  Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor
 "Fasa  pertama penubuhan skuad ini diterajui seramai 15 kakitangan dan akan  ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan  agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan seperti  Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (AIR Selangor), Jabatan Alam Sekitar  (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa  tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta agensi-agensi lain  yang berkaitan," menurut kenyataan itu
 Kenyataan  itu memberitahu skuad berkenaan akan menggunakan dua pendekatan dalam  usahanya mencegah pencemaran iaitu, rondaan 24 jam ke kawasan-kawasan  sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai-sungai utama yang  membekalkan sumber air kepada muka sauk LRA dan pemantauan statik  (pensampelan in-situ) yang akan dilaksanakan di kawasan strategik  berisiko yang dikenal pasti
 "Pensampelan  berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan  dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan  meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri
 "Kerajaan  Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden  pencemaran dapat dikekang dan ditangani dengan segera agar LRA  beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat  dielakkan," katanya.-- BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/skuad-pantas-luas-lakukan-rondaan-24.html