Siti Nurhaliza Bina Sekolah Afwa Aafiyah Di Gaza Sebulan Peruntukkan Rm10 000 Untuk Kegunaan Sekolah
Datuk Seri Siti Nurhaliza sentiasa menjadi inspirasi kepada ramai orang. Penyanyi nombor satu negara ini sememangnya terkenal sebagai selebriti yang banyak membuat kerja-kerja kebajikan sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara.
Menyumbang kembali kepada masyarakat merupakan cita-citanya sejak dahulu. Memetik laporan dalam Oh Bulan, Siti, 43, bersyukur kerana hasratnya untuk membuka sekolah untuk kanak-kanak di Gaza, Palestin yang diberi nama Afwa dan Aafiyah sejak 5 Oktober 2021 lalu dipermudahkan.
Menurut Siti, sekolah tersebut ditubuhkan menerusia Yayasan Nurjiwa bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dan diuruskan oleh wakil khas Gaza.
Sekolah yang ditubuhkan hampir setahun itu sudah mempunyai 50 pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak seawal umur empat tahun.
“Alhamdulillah, setiap bulan saya dan suami secara peribadi serta Yayasan Nurjiwa membuat sumbangan untuk keperluan sekolah itu. Kita nak berterusan dan semuanya daripada kami.
Kalau ada rezeki lebih, contoh setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan, agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang sudah ada hampir 50 pelajar.
Buat masa sekarang, sekolah itu diuruskan oleh sahabat baik kami di sana. Dia akan mengemaskini apa saja aktiviti pelajar di sana, seperti pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan, malah ketika hari jadi saya dan kedua-dua anak, mereka mengadakan doa selamat di sana.”
Tambah Siti Nurhaliza lagi, dia memperuntukan RM10,000 sebulan untuk kegunaan sekolah, tenaga pengajar, pelajar termasuk kemudahan makanan.
“Setakat ini kami menyewa tempat dulu termasuk tenaga pengajar pun kita yang bayar. Setiap bulan memang diperuntukan RM10,000 kadang lebih dari itu, sebab ada nak beli buku dan sebagainya. Tapi amaun itu memang tetap.”
Siti ditemui ketika majlis Sidang Media Music of The Soul: An Evening with Dato’Sri Siti Nurhaliza yang diadakan di Heritage Club @ Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Bercerita mengenai persembahan selama dua jam, Siti berkata ia bukan sahaja bertujuan untuk berhibur tetapi juga mengajar peminat bersama-sama berbuat kebaikan.
Pelantun lagu Anta Permana ini mensasarkan kutipan RM1 juta untuk dua malam iaitu pada 5 dan 6 November dan dana akan disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa.
Dana daripada yayasan tersebut bukan sahaja untuk sekolah Afwa & Aafiyah sahaja, tetapi turut membantu rakyat Malaysia mana yang terkesan dengan banjir, Covid-19 dan yang nak membina masjid.
The post Siti Nurhaliza Bina Sekolah Afwa & Aafiyah Di Gaza. Sebulan Peruntukkan RM10,000 Untuk Kegunaan Sekolah appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/siti-nurhaliza-bina-sekolah-afwa-aafiyah-di-gaza-sebulan-peruntukkan-rm10000-untuk-kegunaan-sekolah/