Single Terbaru Look At This Tampil Sisi Dolla Yang Berbeza
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, baru-baru ini aku berpeluang untuk menonton persembahan kumpulan wanita tanah air yang popular iaitu DOLLA dalam sebuah acara yang meriah, dihadiri rakan-rakan blogger dan juga peminat tegar kumpulan ini. Acara yang dikenali sebagai #LATParty ini diadakan di Deep Blue Bar & Restaurant, The Face Suites KL bersempena dengan pelancaran lagu baru mereka yang berjudul LOOK AT THIS
DOLLA - KUMPULAN WANITA PALING UNGGUL ERA INI
DOLLA kekal sebagai kumpulan nyanyian wanita paling unggul untuk era ini. Sejak awal kemunculan mereka, pelbagai kejayaan telah dikecapi sehingga nama kumpulan mereka terus memuncak di persada seni tempatan
Muncul berduet bersama Naim Daniel melalui lagu ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Aku Buat’ baru-baru ini, kini empat gadis jelita itu muncul dengan sebuah lagi karya yang bakal mencuri perhatian
SEPENTAS DENGAN BINTANG K-POP
DOLLA turut memeriahkan Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang sensasi K-Pop antarabangsa iaitu NCT Dream, WayV, KARD dan ALICE pada 28 Januari yang lalu
“Kami merasa sangat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.
“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama. Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apalagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa lagi,” kata mereka
SINGLE TERBARU LOOK AT THIS TAMPILKAN SISI DOLLA YANG BERBEZA
Single terbaru DOLLA diberi nama LOOK AT THIS, single ini sebenarnya dicipta dan ditulis dalam Bahasa Inggeris oleh penciptanya yang berasal dari Sweden. Namun lagu ini kemudian telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia khas buat peminat-peminat DOLLA di sini
Menurut Tabby, salah seorang ahli kumpulan DOLLA, lagu ini menceritakan tentang keyakinan diri
“Ia berkisar keyakinan diri dan tidak mempedulikan kata orang lain. Lagunya yang rancak juga memberi gambaran tentang keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan dirinya yang menarik. Malah ada bait lirik yang berbunyi “kau pandang di sini mata memerhati, but I ain't even worried bout that,” kata Tabby.
Proses penulisan lagu juga memakan sedikit waktu kerana lagu asal ditulis di dalam Bahasa Inggeris
“Ia memakan masa kerana kami perlu mencari lirik Bahasa Malaysia yang sesuai untuk irama sebegini. Ini kerana lirik asalnya sangat hebat sewaktu dihasilkan dalam Bahasa Inggeris
Kami bekerja berbulan-bulan dengan pasukan kami serta Cikgu Shafi, dan juga SYA yang membantu menyempurnakan lirik tersebut. Untuk bahagian rapnya kami juga dibantu Yonnyboii dan ASYRAF NASIR untuk menyedapkan lagi lagunya pada bahagian rap. Berkat bantuan semua pihak hasilnya menjadi satu kejayaan buat kami. Kami sangat berpuas hati dengan karya ini akhirnya dan rasa segala penat lelah kami berbaloi,”tambahnya lagi.
Menurut Syasya pula lagu ini menampilkan sisi DOLLA yang berbeza
“Nuansanya berbeza sedikit dengan lagu-lagu kami yang lepas. Malah rentak tarinya juga lebih berat pada unsur hiphop. Namun kami masih menggunakan khidmat Ezra Tham dan pasukan tari daripada UNC Dance Studio untuk membimbing kami dalam mereka tari.
Untuk video muziknya pula kami bekerjasama dengan Ghazi yang sudi mendengar pendapat kami demi secebis kelainan. Kami bersyukur kerana sangat mudah bekerja dengan semua orang,”kata Syasya.
Namun bagi Sabronzo pula ada beberapa cabaran dalam menghasilkan video muzik lagu ini
“Cabaran pertama adalah kami terpaksa siapkan video muzik dalam satu hari lebih gara-gara cuaca yang buruk. Yang kedua adalah kami terpaksa mengumpul tenaga dan bersengkang mata selama 28 jam untuk menyiapkannya. Pada asalnya kami ada dua hari tapi gara-gara cuaca begitulah halangan yang datang,”ujar Sabronzo.
DOLLA berharap lagu ini dapat diterima oleh semua termasuk pasaran antarabangsa. Ia sesuatu yang berbeza dari apa yang kerap mereka tampilkan sebelum ini
Single LOOK AT THIS boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 17 Februari jam 12 tengah malam, manakala music videonya pula boleh ditonton di laman YouTube DOLLA pada tarikh 17 Februari jam 9 malam
SEKIAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aerill.com/2023/02/lagu-baru-dolla-look-at-this.html