Sidang Parlimen Bangkit Isu Rakyat Bukan Jatuhkan Pn
Hujah penyokong Perikatan Nasional (PN) kononnya Pakatan Harapan (PH) bertekad mahu menjatuhkan kerajaan melalui sidang Parlimen dalam perintah darurat disangkal oleh Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Menurut beliau, PH bukanlah gabungan yang tamak kuasa dan tidak mempedulikan kesensaraan umum dalam keadaan negara dilanda wabak Covid 19.
Sebaliknya, kata Shamsul, sidang Parlimen amat diperlukan bagi membahaskan isu-isu rakyat dan ekonomi yang tidak diselesaikan dengan baik sepanjang pandemik.
“Itu merupakan dakyah atau tohmahan mereka yang takut dengan bayang-bayang sendiri. PH sentiasa meletakkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tempat utama membangkitkan isu-isu rakyat. Sebab itu namanya Dewan Rakyat.
“Kita mesti bawa isu ke dalam dewan untuk tanya kerajaan, apakah yang mereka lakukan? Contohnya viral tentang peranti, tablet, dijanjikan 150,000 pada Februari, sekarang pertengahan Mac tetapi tak dengar isu ini. Parlimen tempat kita nak tahu apa jawapan menteri dan komitmen kementerian.
“Pada saya kita jangan terpengaruh dakyah ini kononnya sidang Parlimen matlamat utamanya untuk mempertikaikan keabsahan (kerajaan PN).
“Saya malah bangkitkan kepada rakan-rakan (PN), walaupun kita berbeza pandangan tetapi apa yang dibimbangkan untuk bersidang? Kita tahu permulaan penggal apa yang kita bahaskan. Titah Diraja. Tuanku akan bertitah dan kita akan membahaskan, tidak ada sebarang undi, sepanjang ingatan saya. Takkanlah kita sebagai pembangkang nak menolak titah Agong pula.
“Saya simpulkan kalau mereka betul-betul ingin mewakili suara rakyat maka buka Parlimen kerana semua sektor telah dibuka. Kalau buka Parlimen saya yakin ia akan berjalan dengan penuh tertib,” katanya dalam siaran langsung Facebook Borak Dahsyat bertajuk: ‘Sidang Parlimen, Apa Yang Payah Sangat’ anjuran Studio Jalan Kapar, malam tadi.
Mengulas pertanyaan moderator mengenai kewajaran Parlimen terus ditutup sedangkan semua sektor telah dibuka, Shamsul berkata, hal itu menjadi persoalan yang sukar dijawab dan diperbahaskan banyak pihak.
Katanya, penutupan sidang Parlimen merugikan rakyat kerana setiap Ahli Parlimen dibenarkan bertanya 15 soalan. Pelbagai isu dalam negara boleh diselesaikan dengan jawapan daripada menteri.
“Point saya apakah darurat perlu sekarang ini. Kalau perlu apakah Parlimen wajar ditutup dengan menggunakan alasan darurat. Itu alasan yang rakyat mahu tahu.
“Rakyat di luar sana mahukan Parlimen. Sebagai Ahli Parlimen, saya katakan, setiap Ahli Parlimen mengikut peraturan perlu bertanya 15 soalan, yang akan dijawab oleh pelbagai kementerian. Bayangkan 15 soalan daripada barisan kita dan juga pihak kerajaan sendiri. Berapa banyak soalan yang boleh dijawab dengan tuntas oleh kerajaan,” katanya lagi.
Untuk rekod, rayuan kepada Agong mahu Parlimen dibuka bukan sahaja datang dari PH namun turut dilakukan oleh salah satu gabungan Perikatan Nasional, iaitu Umno yang mahu sidang dibuat untuk membincangkan isu-isu tertunggak berkaitan Covid 19 dan polisi pemerintahan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/31668