Siapakah Rakan Kerjasama Umno Dalam Prn Melaka
Sinar HarianOktober 20, 2021
Sehingga kini, UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan PRN Melaka. - Foto Sinar HarianSURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 8 November, manakala pengundian awal ialah pada 16 November
Namun sehingga kini, UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan PRN Melaka pada November depan
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan rasmi itu akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diikuti Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan pada minggu depan ataupun diputuskan sebelum hari penamaan calon
Dalam pada itu, Pas menegaskan bahawa pendirian parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) tidak berubah walaupun Presiden UMNO, Ahmad Zahid menyatakan tiada kerjasama politik antara kedua-dua parti itu pada PRN Melaka nanti
Menurut laporan portal PNBBC pada Selasa, Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, setakat ini tiada keputusan rasmi daripada MKT UMNO berhubung perkara tersebut
“Setakat hari ini, keputusan daripada MKT tidak ada pun sebut begitu (tiada MN pada PRN Melaka). Jadi, kita pakai keputusan rasmi itu. Jangan memecah belahkan kami,” katanya
Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua ahli parti di semua peringkat supaya tidak membuat tindakan mengikut kepala sendiri
Sebaliknya beliau berkata, sebarang tindakan perlu mengikut arahan setiausaha agung parti dan seterusnya diturunkan kepada semua setiausaha negeri, kawasan sehinggalah ke cawangan
Selain itu, parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan hari ini perlu ada kesepakatan serta gabungan mantap bagi memenangi PRN Melaka
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, sejarah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH)
Menurutnya, DPIM juga berharap PRN Melaka dapat menyuburkan proses demokrasi negara supaya rakyat dapat menyuarakan keluh kesah dan denyut nadi mereka
Selain itu, beliau berharap PRN ini tidak akan mencemarkan sistem demokrasi negara seterusnya menghina rakyat dengan situasi 'katak melompat-lompat' seperti keadaan politik hari ini
Turut mengadakan pertemuan, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan pemimpin Pas di Melaka
Perkara itu dikongsikan oleh Hamzah dalam satu pertemuan di sebuah kedai makan yang dihadiri oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen
Pertemuan itu dipercayai berhubung PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November depan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/10/siapakah-rakan-kerjasama-umno-dalam-prn.html