Siapa Suara Sumbang Dalam Umno
Umno hari ini mempunyai seramai 38 orang ahli Parlimen.
Ia menjadikan parti Melayu itu sebuah parti yang memiliki ahli Parlimen teramai dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Fakta ini adalah betul dan tiada ada yang perlu dipertikaikan.
Yang menjadi pertikaian sekumpulan pimpinan Umno ialah dakwaan layanan tidak adil terhadapnya dalam kerajaan PN.
Apakah layanan itu merujuk kepada dan mengapa Umno tidak diberi peranan atau dilayan bagaikan ”abang besar” kerana mereka adalah parti terbesar dalam kerajaan PN?
Ataupun Umno mengharapkan kuasa sebagaimana sewaktu mereka menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang dulu?
Itu kita biar pimpinan Umno berdebat sesama sendiri.
Ketika keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan, Umno adalah parti yang menang kerusi Parlimen terbanyak dengan 54 kerusi.
Namun, Umno yang dipimpin Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi tidak berkuasa malah hilang kerajaan persekutuan buat kali pertamanya dalam sejarah Malaysia kerana BN hanya mampu memenangi 77 kerusi Parlimen.
Apa yang berlaku selepas itu barangkali Umno sudah terlupa.
Najib terpaksa meletak jawatan sebagai presiden Umno.
Parti komponen BN di Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus mengambil keputusan keluar gabungan itu dan meninggalkan Umno yang dilihat rosak pada persepsi rakyat.
Bahkan, berbelas ahli Parlimen Umno berhijrah ke Bersatu yang ketika itu dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jumlah ahli Parlimen Umno berkurang sehingga menjadi 38 ahli Parlimen.
Bukan itu sahaja, Umno terus dimalukan apabila bekas presiden dan presiden mereka didakwa dengan puluhan tuduhan rasuah di mahkamah.
Dan sanggupkah ahli-ahli Umno menerima parti menjadi pembangkang semula?Itu layanan yang diterima Umno ketika menjadi pembangkang.
Dan bandingkanlah layanan itu dengan layanan yang diterima hari ini ketika di dalam kerajaan PN, sudah pasti ahli-ahli Umno tahu yang mana layanan lebih baik.
Jangan banding dengan layanan ketika Umno berada di dalam kerajaan BN, kerana itu adalah nostalgia yang tidak akan kembali.
Yang sudi mendekati Umno ketika itu hanyalah PAS yang memenangi 18 kerusi Parlimen secara bersendirian.
Umno bersama PAS kalah empat pilihan raya kecil berturut-turut dengan teruk di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.
Namun, hubungan ini tidak putus.
Mereka tetap bertaut bersama ketika susah sehinggalah mereka mula memenangi beberapa enam pilihan raya kecil seterusnya sebelum kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Kini Umno bersama PAS berada dalam kerajaan PN.
Namun segelintir orang Umno mempunyai pandangan mereka sudah boleh berdiri sendiri tanpa perlu adanya PAS mahupun Bersatu.
Umno terlupa sebagai parti yang memenangi kerusi Parlimen banyak di PRU14, Umno hanya muncul sebagai parti pembangkang yang terbesar dan bukannya parti kerajaan.
Ia berbeza dengan waktu ini, meskipun jumlah ahli Parlimen berkurang menjadi 38, Umno adalah jauh lebih kuat kerana mereka adalah parti di dalam kerajaan.
Jadi, apakah Umno tidak dapat melihat kepentingan bersama Bersatu, terutamanya PAS di dalam mempertahankan kerajaan PN agar tidak kembali menjadi pembangkang?
PAS boleh berkorban dimalukan tidak diberikan kerusi di Sabah demi menjaga keutuhan kerajaan PN, apakah Umno tidak boleh?
PAS sudah biasa menjadi pembangkang, tapi apakah Umno boleh merasanya sekali lagi tanpa perpecahan seperti yang berlaku sejurus selepas PRU14 jika mereka membuat keputusan untuk membuat onar di undian Belanjawan 2021 nanti.
Sebelum PRU14, suara-suara yang cuba menyelamatkan Umno daripada ditenggelam isu 1MDB seperti Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal dilihat sebagai suara sumbang sehingga kedua-duanya dipecat.
Ketika kalah di PRU14, barulah ahli-ahli Umno sedar bahawa suara mereka berdua bukannya sumbang tetapi nasihat yang pahit.
Nasib para pemberi nasihat pahit seperti Muhyiddin dan Shafie cukup berbeza dengan nasib parti itu, satunya menjadi menteri dalam negeri dan satu lagi ketua menteri sabah manakala Umno dan ahli-ahlinya menjadi pembangkang buat kali pertamanya.
Kini muncul semula tuduhan suara sumbang terhadap beberapa pimpinan Umno yang memperingatkan pentingnya mempertahankan kerajaan PN.
Entah kebetulan atau apa, mereka yang melakukan tuduhan ini juga adalah dalam kalangan mereka yang membawa Umno menjadi pembangkang di PRU14.
Ahli-ahli Umno perlu bertanya sekali lagi apakah betul pimpinan parti yang menyeru parti mempertahankan kerajaan PN bersuara sumbang ataupun mereka sebenarnya adalah dalam kalangan pemberi nasihat yang pahit?
Apakah ahli Umno sudi parti menjadi punca keruntuhan kerajaan PN dan membawa imej ini ke Pilihan Raya Umum ke-15?
Dan sanggupkah ahli-ahli Umno menerima parti menjadi pembangkang semula?
Malangnya keputusan ini tidak berada di dalam tangan ahli-ahli, tapi di kalangan beberapa pimpinan Umno yang sering mendakwa mereka membawa suara akar umbi parti.
Nampaknya, Umno masih berada di persimpangan, cuma simpang ini direkanya sendiri.
TIMMY SAY
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2020/11/siapa-suara-sumbang-dalam-umno.html