Siapa Pandu Kereta Nik Khatijah
Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Kereta jenis Nissan Almera milik Pengurus Jabatan Advokasi Ikram, Nik Khatijah Nik Mud yang dibunuh ditemukan di parkir belakang sebuah stesen minyak di Jalan Reko, Sentral 1, di Kajang lebih 1 kilometer (km) daripada lokasi mayatnya ditemui.
Persoalannya, siapakah yang memandu dan meletakkan kenderaan itu di kawasan berkenaan, adakah pembunuh Nik Khatijah?
Sumber memberitahu Harian Metro bahawa, pihak berkuasa sudah memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) namun ia (CCTV) tidak fokus ke lokasi kenderaan itu diparkir dan tidak membantu siasatan.
"Polis masih mengesan siapa yang meletakkan kenderaan itu di sini (parkir stesen minyak). Adakah pembunuh? Kita percaya penangkapan individu yang menggunakan kereta mangsa ini dapat merungkai misteri pembunuhan Nik Khatijah," katanya memaklumkan, kereta milik Nik Khatijah itu ditemukan rakan sekerja mangsa.
Katanya, mayat mangsa juga ditemukan rakan sekerja mangsa di rumahnya selepas mereka mencari Nik Khatijah yang dilaporkan hilang dan tidak datang ke pejabat sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.
"Rakan sekerja yang bimbang dengan keselamatan Nik Khatijah bertemu pemilik rumah dan meminta kunci premis itu. Usaha mereka itu akhirnya menemukan mayat mangsa di bilik ampaian baju di tingkat bawah rumah teres dua tingkat di Taman Bangi, Jalan Reko. Mayat mangsa ditemukan lengkap berpakaian," katanya.
Dalam perkembangan sama, sumber itu berkata, pasukan siasatan menolak kemungkinan pembunuhan itu berkaitan dengan kes samun.
"Ini kerana komputer riba, beg tangan dan lain-lain barangan berharga mangsa tidak hilang. Malah, rumah (lokasi kejadian pembunuhan) juga tidak dipecah masuk. Tiada langsung tanda pecah masuk. Ini bukan kes samun," katanya.
Ditanya adakah pihaknya menemukan senjata pembunuhan, sumber itu berkata, polis menemukan kabel plug elektrik yang dipercayai digunakan suspek untuk menjerut leher mangsa hingga maut.
"Tiada senjata pembunuhan lain ditemukan di lokasi kejadian. Hanya ada kesan lebam di anggota badan mangsa yang tidak terlalu ketara," katanya.
Katanya, polis masih memburu dan mencari petunjuk yang boleh merungkai kes pembunuhan berkenaan.
Harian Metro semalam melaporkan, mayat Nik Khatijah ditemukan dalam keadaan lehernya dijerut di sebuah rumah Taman Bangi, Jalan Reko.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 jam 9 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan menjumpai mayat dipercayai seorang wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.
Katanya, hasil pemeriksaan awal pada mayat mendapati terdapat kesan jerut pada bahagian leher.
"Mayat dipercayai mati lebih daripada 24 jam sebelum ditemukan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian," katanya dalam satu kenyataan.
• 'Keluarga terkejut, sedih kejadian tragis wanita mati dijerut'
• 'Mangsa bunuh disahkan Pengurus Jabatan Advokasi Ikram'
• 'Wanita mati dijerut'
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/siapa-pandu-kereta-nik-khatijah.html