Shahidan Pegang Bahu Tangan Kiri Gadis Bawah Umur
KANGAR: Pendakwaan kes Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur pada Oktober tahun lalu, bermula hari ini dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Ainul Shahrin Mohamad.
Saksi pertama, guru muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Salang, Arau, yang juga pengurus kumpulan Buskers DSSK, Azhar Hasan, 49, manakala saksi kedua, Adzleen Junaira Mohd Nasir, 27, ialah isteri kepada anggota kumpulan itu.
Ketika disoal Ketua Pendakwa Raya Perlis, Mohd Nordin Ismail, Azhar menggunakan perkataan ‘sentuhan luar biasa’ bagi menggantikan perkataan cabul.
Azhar berkata, kumpulan itu sedang membuat persembahan di hadapan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar apabila Shahidan tiba menaiki Toyota Harrier dan berhenti tidak jauh dari tempat mereka membuat persembahan kira-kira jam 11.30 malam.
Katanya, seperti biasa beliau pergi kepada Shahidan dan kemudian melambai ke arah remaja itu (berusia 15 tahun tujuh bulan ketika kejadian) supaya datang.
Beliau berkata, selepas berada dua atau tiga minit dalam kereta, remaja itu dilihat keluar kereta berkenaan dan berjalan ke arah khemah menempatkan ibu, bapa dan adiknya yang sedang menyaksikan kumpulan Buskers DSSK membuat persembahan.
“Saya berpendapat sesuatu luar biasa berlaku antara remaja itu dan tertuduh apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya.
“Saya pula tidak melihat atau mendengar perbualan mereka kerana berada di belakang kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, Shahidan kemudian meninggalkan kawasan itu selepas menyerahkan wang RM300 kepadanya.
Shahidan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual dengan menyentuh bahu hingga tangan remaja perempuan bawah umur itu dalam kereta Toyota Harrier di tepi jalan pada kira-kira jam 11.30 malam di perkarangan Stadium Syed Putra, Kangar pada 20 Oktober tahun lalu dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan.
Sementara itu, Adzleen Junaira berkata, dia melihat remaja itu berjalan agak laju keluar kereta Shahidan dan hampir menangis ketika menceritakan kejadian dalam kereta itu.
“Dia beritahu maknya, dia dipegang di bahu dan tangan kiri oleh DSSK (gelaran Datuk Seri Shahidan Kassim).
Saya juga dengar bapanya berkata ‘malam ni pi rumah DSSK pun tak apa.” Ini ayat-ayat marah selepas mendapat tahu kejadian pegang bahu anaknya itu daripada isteri beliau,” katanya.
Beliau berkata, dia bersama suaminya Saiful Anuar menemani keluarga itu membuat aduan di Balai Polis Kangar pada kira-kira jam 3 pagi.
Shahidan diwakili peguam Zamri Ibrahim, Zuhair Ahma Zakwan, Thalia Rohana Abdul Latiff dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.
Perbicaraan bersambung esok dengan saksi ketiga akan dipanggil memberi keterangan. - BERNAMA
Media Shah Alam Kini di Tukar Kepada www.suarabiru.com
(https://mediashahalam.blogspot.com)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mediashahalam.blogspot.com/2019/04/shahidan-pegang-bahu-tangan-kiri-gadis.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+SuaraBiru+%28SUARA+BIRU%29