Setiausaha Agung Pkr Akan Jumpa Minta Penjelasan Nurul Izzah
MALAYSIAKINI

    Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail akan berjumpa dengan  Nurul Izzah Anwar bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan ahli  parlimen Permatang Pauh itu yang disiarkan kepada sebuah akhbar  Singapura baru-baru ini.
Saifuddin berkata, beliau masih belum  berkesempatan berjumpa dengan bekas naib presiden PKR itu berikutan  kesibukan tugasnya sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal  ehwal pengguna.
“Saya memilih untuk bercakap sendiri dengannya  dahulu, apa sebenarnya cerita di sebalik itu dan kemudiannya barulah  lebih berlaku adil untuk saya memberi sebarang komen,” katanya yang  dipetik oleh portal Berita Harian Online.
Saifuddin berkata  demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran  Program Citarasa Malaysia - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana  (PKS) di Putrajaya hari ini.
Nurul Izzah dalam wawancaranya dengan The Straits Times,  Singapura meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan Pakatan harapan (PH)  yang didakwa gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda  reformasi seperti sepatutnya.
“Perlu bekerja dengan bekas diktator  yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup  (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan  mudah.
“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi  menjadi fokus utama kami,” kata anak sulung Presiden PKR Anwar Ibrahim  itu dalam wawancara tersebut.
Beliau juga menggambarkan  perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu sebagai ‘sangat mencabar  dan huru-hara’ serta meluahkan kekecewaan dengan kemasukan bekas wakil  rakyat Umno dalam PH.
Portal itu turut memetik kenyataan Saifuddin  yang berkata itu adalah cara Nurul Izzah menzahirkan sesuatu ketika  ditanya mengenai kekecewaannya berhubung jawatan Pengerusi Jawatankuasa  Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ronald Kiandee.
“Saya kenal Nurul  Izzah... dia ada pendirian tertentu terhadap sesuatu perkara dan  biasanya dia memilih untuk menzahirkannya secara terbuka.
“Dia sudah tentu mempunyai sudut pandang tertentu bahawa PAC itu harus dipegang seseorang mewakili pembangkang.
“Saya  menghormati pendirian beliau dan perdana menteri juga sudah memberikan  komen dan apabila sampai masanya Perdana Menteri kata, ada calon sesuai  perkara itu akan berlaku,” katanya.
Berita Harian juga memetik Saifuddin sebagai menafikan kesahihan satu kenyataan viral  hari ini kononnya dikeluarkan oleh PH berhubung kenyataan Nurul Izzah  dan menyifatkannya sebagai berita palsu yang bertujuan untuk mewujudkan  ketegangan hubungan parti komponen dalam gabungan PH.
“Saya sudah  pun menghubungi setiausaha-setiausaha parti lain dalam PH berhubung  perkara berkenaan dan diberitahu tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan.
“Yang  viral kononnya ada empat setiausaha parti dalam PH mengeluarkan  kenyataan sebagai respon kepada Nurul Izzah adalah tidak benar sama  sekali,” katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/setiausaha-agung-pkr-akan-jumpa-minta.html