Pkr Riuh Kerana Nurul Izzah
  MINDA RAKYAT 
PETALING JAYA: Media sosial riuh ekoran kata-kata Nurul Izzah Anwar  dalam temubual akhbar pada Ahad, di mana dia menggambarkan Dr Mahathir  Mohamad “bekas diktator”. 
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali  nampak seperti membidas Izzah di Twitter, apabila beliau mengatakan  Malaysia perlukan seorang pelaksana yang sanggup merentasi keadaan sukar  dan bukan budak kecil yang merengek. 
Izzah sebelum itu memberi gambaran penggal ini akan menjadi yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat. 
“Apa pun cabarannya, kita mesti pastikan ia berjaya. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” kata Azmin.  
 Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun tidak berpuas hati dengan kata-kata Azmin itu. 
“Apabila seorang wanita mempertahankan prinsip, kamu gelarnya budak kecil yang merengek? Dasar murahan,” katanya. 
Terdahulu, Izzah berkata dia kecewa dengan perkembangan politik selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa. 
Seorang  bekas ahli Parlimen PKR, N Surendran mempersoalkan masa, platform dan  cara Izzah membuat kenyataannya, yang padanya “salah”. 
Ahli  Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang juga bekas pembantu Izzah,  menyukai kata-kata Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang  mempertahankan Mahathir di Twitter. 
Syed Saddiq memuji Mahathir  seorang gila kerja yang mendengar pandangan semua orang. “Beliau selalu  mendahulukan Malaysia, walaupun ia bermakna mengorbankan dirinya,” kata  menteri dalam pentadbiran Mahathir itu. 
Antara yang tampil  mempertahankan Izzah adalah seorang pemimpin Pemuda PKR yang berkata  pandangan Izzah wajar diterima semua pihak dengan hati terbuka. 
“Sesungguhnya  pengalaman pahit beliau dan keluarga ketika melalui zaman sukar dan aib  adalah sesuatu yang sangat berat dan wajar menjadi iktibar kepada semua  pihak,” katanya dalam kenyataan. 
Beliau meletakkan Izzah  sebagai seorang yang berintegriti tidak seperti segelintir pemimpin lain  yang sanggup menggadaikan prinsip demi mengejar kuasa dan kedudukan. 
Izzah,  anak kepada Anwar Ibrahim berkata tidak mudah bekerja dengan bekas  diktator yang menjadi punca begitu banyak kerosakan, “bukan sahaja  kehidupan kami, tetapi juga sistem”. 
Anwar dipenjarakan pada semasa Mahathir menjadi perdana menteri ke-4 atas dakwaan rasuah.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/pkr-riuh-kerana-nurul-izzah.html