Seruan Jihad Mengubah Menjadi Kepada Lebih Baik
Seluruh umat Islam perlu meningkatkan jihad
mengubah keadaan menjadi lebih baik untuk umat Islam keseluruhannya. Jihad yang
ikhlas adalah bukti kepada keteguhan iman dan kesungguhan untuk merealisasikan
tanggungjawab sebagai muslim.
Jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan
perjuangan yang menjurus kepada tertegaknya agama Allah supaya dapat diamalkan
secara terbuka tanpa dihalang atau dimomokan oleh sesiapa.
Jihad tidak terhad berperang di medan
perang, tetapi merangkumi segala aktiviti yang diperlukan dalam kehidupan umat
Islam. Usaha untuk membangunkan masyarakat, memelihara dan memastikan keperluan
masyarakat Islam dan manusia keseluruhannya terbela di atas prinsip keadilan
juga merupakan sebahagian daripada jihad yang dituntut.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan
berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benar. Dialah yang
memilih kamu(untuk mengerjakan suruhan agamanya), dan Dia tidak menjadikan kamu
menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama,” (Surah al-Hajj,
ayat 78)
Dr Yusuf Qardhawi dalam bukunya Aina
al-Khalal menyatakan, umat Islam sebenarnya bukan lemah tetapi kurang
kesedaran, lupa diri, tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi, tidak
berdikari (banyak bergantung kepada Barat), daya fikir kerdil, sempit dan beku
(jumud), budaya taklid yang merugikan, kekuatan rohani yang pudar, tandus ilmu,
bankrap idea, muflis akhlak, ukhwah antara umat Islam yang lemah, kerja tidak
berkualiti dan kurang produktiviti serta membiarkan saja sumber ekonomi dieksplotasi
musuh.
Sekiranya apa yang disebut di atas dapat
diubah, sinar kejayaan dan kecemerlangan Islam dapat kembali menyinar seperti
apa pernah dicapai pada era kegemilangan Islam dulu. Inilah cabaran perlu
disahut oleh setiap individu muslim.
Kita perlu sedar bahawa umat Islam perlu
berada pada kedudukan lebih kuat jika ingin dihormati dan mengelak daripada
dibuli oleh musuh-musuh Islam. Nasib umat Islam akan terbela jika mempunyai
kekuatan atau kedudukan setanding dengan penganut agama lain.
Umat Islam mesti lebih bersedia menghadapi
cabaran dengan penuh kesabaran dan ketakwaan, sehingga berjaya meraih kejayaan
hakiki di sisi Allah. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas melaksanakan jihad
untuk agama Allah akan mencapai kejayaan. Ia sesuai dengan tujuan Allah
mencipta manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Jihad boleh dilakukan menggunakan lisan,
penulisan, kekuatan tenaga, ilmu, kekayaan, profesion yang diceburi, kepakaran
dan segala macam tindakan dan usaha yang menuju tercapainya maksud jihad.
Maksudnya di sini, semua keupayaan yang
dimiliki oleh individu Islam mesti digemblingkan dalam satu saf perjuangan yang
menuju satu matlamat merealisasikan mempertahankan kedaulatan Islam. Usaha ini
mesti digerakkan berdasarkan kepada strategi dan mengikut keutamaan mana yang
lebih diperlukan mengikut keadaan semasa.
Firman Allah bermaksud: “Tidak sepatutnya
bagi orang-orang mukmim itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak
dalam setiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu
pengetahuan tentang agama agar mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya
apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjadi diri
mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 122)
Musuh Islam sentiasa berusaha menghakis
jati diri Muslim. Provokasi dalam bentuk menghina, menidakkan hak kebebasan dan
memperkecilkan kepentingan sesuatu amalan dalam Islam dilakukan secara
terancang oleh musuh-musuh Islam di seluruh dunia.
Musuh Islam menguji dan menunggu tindak
balas daripada umat Islam terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Dalam hal
ini, umat Islam perlu bijak mengendalikan krisis provokasi itu. Tindakan
kemarahan yang ekstrem dan luar kawalan akan memburukkan lagi imej umat Islam
di seluruh dunia.
Umat Islam perlu meningkatkan semangat jihad
untuk memperkuatkan kedudukan umat Islam.
Usaha menuntut ilmu dan menjana kemajuan ekonomi umat Islam mesti
dijadikan agenda penting. Umat Islam tidak akan dihina dan menjadi mangsa sikap
angkuh musuh-musuh Islam jika kedudukan umat Islam lebih kuat atau
setidak-tidaknya menyamai apa yang mereka miliki.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://hwaliman.blogspot.com/2023/12/dii.html