Sepuluh Wasiat As Syahid Iman Hassan Al Banna
Wasiat As-Syahid Hassan Al-Banna
‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan”
Begitulah satu nama yang begitu gah di sisi Islam sehingga kini iaitu Iman Hassan Al-Banna, walaupun beliau telah pergi bertemu Pencipta, tetapi segala jasa dan pengorbanan beliau sudah cukup membuktikan bahawa kini beliau sedang berbahagia di sisi Allah. Kesungguhannya dalam membawa dakwah Islam, begitu menjadi inspirasi dan tauladan kepada kita. Ketika usia nya 23 tahun beliau telah menubuhkan Jemaah ikhwan muslim, dan akhirnya beliau syahid kerana memperjuangkan agama Islam yang suci. Semoga kita dapat bertemu Iman Hassan Al-Banna di syurga inshaallah
Sebelum beliau syahid, beliau telah meninggalkan wasiat kepada kita, umat akhir zaman, sebagai panduan untuk menempuh perjalanan hidup di dunia. Berikut adalah senarai wasiat beliau
1.Jika terdengar azan,maka segeralah bangun untuk menunaikan solat berjemaah walaubagaimana sekalipun keadaan seseorang itu
Azan adalah tanda Allah memanggil kita dengan penuh rasa cinta. Apa pula tindakan kita? Masih di hadapan televisyen menonton rancangan atau drama kegemaran. Dan akhirnya solat kita menjadi lewat di akhir waktu. Mungkin tiada rasa cinta kita buat sang Pencipta
2.Perbanyakkan bacaan al-Quran, selalu membuka kitab-kitab untuk menambah ilmu,pergi ke majlis-majlis ilmu, perbanyakkan zikrullah dan jangan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah
Allahu antara pesanan beliau yang mana kesemuanya manfaatnya untuk diri kita sendiri. Al-quran kalam Allah disuruh baca adalah kerana al-quran sebagai panduan atau manual untuk kita menjalani kehidupan, bukan itu sahaja malahan al-quran sebagai peringatan, pesanan, pengajaran dan penawar untuk kita sebagai manusia. Zikir pula adalah supaya hati kita sentiasa ingat akan Allah, kerana hanya dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang. Jangan sesekali melakukan perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermanfaat untuk hari akhirat kita, kelak kesannya hidup kita di dunia tidak bererti, akhirat pula pastilah rugi
3.Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab yang Fushah kerana Bahasa Arab yang betul (Fushah) adalah lambang(syiar) Islam
Bahasa arab adalah bahasa al-Quran, carilah inisiatif atau usaha untuk mempelajari bahasa arab. Supaya kita mudah fahami lenggok bahasa yang cuba di tuturkan Allah di dalam kalamNya
4.Janganlah bertengkar walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak mendatangkan apa-apa faedah
Pertengkaran adakalanya tidak menyelesaikan apa-apa perkara. Bertuturlah dan berbicanglah dengan penuh hikmah dan kasih sayang. Pertengkaran itu disebaliknya adalah api dan syaitan, maka bersegeralah ambil wudhuk untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi
5.Janganlah terlalu banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa sahaja akan tenteram dan tenang
Ketawa yang banyak boleh menyebabkan hati keras dan mati, seperti pesanan nabi saw . “Janganlah engkau memperbanyak ketawa, kerana sesungguhnya banyak tertawa akan mematikan hati”
Yang dimaksud dengan mematikan hati adalah mematikan hati lalai untuk mengingati Allah dan lalai kepada kehidupan akhirat; apabila hati manusia lalai dalam mengingati Allah , maka sesungguhnya kematian lebih dekat kepadanya daripada kehidupan
6.Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang itu tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara
Bergurau itu tidak salah tetapi ada batasnya, jangan sampai bergurau dengan perkara-perkara yang sensitif terutamanya berkaitan agama
7.Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang
Bercakaplah dengan penuh sopan dan lembut. Boleh jadi suara kita yang tinggi nadanya menyakitkan hati yang mendengar. Mungkin mereka merasakan kurang adabnya bercakap tinggi seolah-olah sedang marah. Jadi bersederhanalah
8.Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan
Seperti sabda nabi saw, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.”
8.Janganlah merasakan diri kita atau pertubuhan kitalah yang paling terbaik, suci daripada kesalahan dan dosa. Cukuplah kita memperbaiki kelemahan dan menghormati pertubuhan yang lain
9.Berkenal-kenalanlah dengan setiap muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang
Pentingnya kita dalam berukhuwah dengan setiap muslim, dan tunjuklah contoh terbaik untuk mengekalkan momentum dakwah kita kepada semua. Agar lebih ramai lagi yang sudi bergerak bersama kita dalam gerabak dakwah dan menyebarkan islam kepada semua
10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya
Pernah diceritakan sewaktu zaman sahabat nabi dahulu, usai mereka melakukan perjumpaan, mereka akan mengakhirinya dengan surah al-asr. Membacanya dengan kuat, untuk menyatakan betapa pentingnya nilai sesuatu masa. Dan Allah bersumpah di dalam surah al-asr, demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebaikan dengan penuh kesabaran. Adakah kita termasuk didalam mereka yang menghargai masa dengan sebaiknya? Mungkin kita masih jauh
Begitulah antara wasiat yang dipesan oleh sang penghuni syurga As-syahid Hassan Al-Banna. Segalanya yang dipesan adalah untuk membentuk akhlak kita sebagai seorang muslim, malah ianya juga sebagai bekalan akhirat kita. Segala yang belia lakukan adalah untuk islam semata dan demi Allah. Beliau kini sedang bergembira di syurga Allah. Ayuh kita merenung kembali, sejauh mana kita bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah dan kebaikan? Ataupun buat dakwah sikit, tetapi putus asa nya yang lebih. Kita claim nak masuk syurga, tetapi tiada apa pun sumbangan kita untuk menangkan islam. Semoga Allah mengurniakan kepada kita semangat juang sehebat Hassan Al-Banna, meneruskan dakwah islam sehingga kita pulang bertemu Pencipta kelak
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.krissmerah.com/2018/12/sepuluh-10-wasiat-as-syahid-iman-hassan.html