Seni Di Lain Dimensi
Rupanya dalam masyarakat kita ramai tidak tahu wujudnya seni dan hiburan mandiri atau dalam kalangan penggiat lapangan ini menyebutnya sebagai ‘indie’. Saya bukan cakap kosong. Memang benar ramai yang tidak tahu di luar dunia glamor dan arus perdana adanya artis lain, primadona lain, penggiat seni lain yang tidak pernah mereka lihat. Di ‘dimensi seni yang lain’ ini ada juga artis popular yang mempunyai ramai peminat. Anda mungkin tidak sedar ketika sedang minum di sebuah warung, anda berkongsi meja dengan seorang yang anda lihat entah siapa tapi sebenarnya di dunia indie dia adalah seniwati popular. Tapi disebabkan dia tidak masuk TV atau majalah, anda tidak kenal. Hanya mereka yang mengikuti lapangan indie sahaja yang kenal. Orang tak masuk dalam seni indie tak terjangkau yang di sini juga ada M Nasir, Janna Nick atau Siti Nurhaliza versi indie. Bunyinya macam keterlaluan, tapi iya sungguh!
Tidak mengejutkan juga sepanjang pergaulan saya dengan beberapa penggiat seni arus perdana yang popular lagi glamor, mereka juga ‘tidak ada idea’ tentang apa itu filem indie, buku indie, teater indie dan konsert indie. Iyalah, artis-artis indie ini duduk di program seni tepi jalan, di pentas kecil atau di pesta buku. Betullah, memang jarang kita lihat muka glamor ada di pesta buku, kan?
Pernah ada seorang penyanyi popular (pernah popular) bertanya kepada kawan saya seorang penyanyi jalanan, ‘boleh cari makan ke?’. Si penyanyi popular ini langsung tidak kenal kawan saya ini yang telah pun menghasilkan beberapa album indie. Tidak ada dalam ‘scene’ dia maka dia tak tahu. Dengarnya, si penyanyi ini pun kini sudah ‘busking’ di sebuah ‘food court’. Automatik menjadi indie!
Bagi sesetengah pihak, kelompok indie ini adalah mereka yang gagal memasuki dunia popular. Mereka terkeluar daripada saingan industri kerana tidak cukup pakej. Tak jambu! Malah mereka tidak tahu selain berlakon dan beraksi di atas pentas, pemain-pemain indie ini sekurang-kurangnya mempunyai buku karya mereka sendiri sama ada novel, sajak atau skrip. Macam saya kata, kalau tak keluar di media popular – siapa peduli? Kalau sekali sahaja berlakon drama walaupun watak tempelan, satu kampung berbangga mengaku kawan, kan? Menulis buku banyak mana pun tak siapa hairan.
Bagi sesetengah kita bila bercakap pasal filem mereka akan nampak Mat Kilau, KL Gangster atau Paskal. Bila bercakap tentang teater, mereka terbayang teater di Istana Budaya yang ada elemen muzikal, ada nyanyi-nyanyi sikit (choral). Itulah pengertian teater yang difahami oleh segelintir kita. Tak payah jauh, kaum-kerabat saya sendiri pun tak pernah tanya apa benda saya buat di acara baca sajak. Ah! Ini mesti saya ini bergiat dalam gerakan antikerajaan, fikir mereka. Baca sajak apa begitu? Bukankah baca sajak itu gayanya harus seperti yang ditonton di TV? Mesti pakai songkok dan berbaju batik kalaupun tidak bertanjak dan berbusana Melayu lengkap? Kenapa mengenakan kemeja-T dan jeans ketika bersajak dan kemudian melaungkan suara dengan keras macam itu? Kan baca sajak caranya mesti berdrama dengan nada beralun-alun macam di TV? Apa pula lagu indie? Buku indie ini apa? Teater indie dan filem indie ini bagaimana? Kalau semua ini ada kenapa mereka tak masuk TV, majalah ‘online’ atau wayang?
Begitulah, sebab kita dah terbiasa dengan yang itu-itu sahaja. Ketahuilah, di luar layar besar atau di kaca TV, ada hiburan dan seni persembahan yang jauh lebih sedap. Ada artis yang jauh lebih berbakat tetapi tidak terhisap masuk ke dalam dunia glamor meskipun mempunyai peluang untuk terjun ke sana. Mereka gila berkarya tanpa perlu ada hal-hal sensasi seperti mencuri suami orang atau menjadi madu kepada isteri VIP.
“Jauh betul ni, bang. Hujung dunia. Tempat seseorang mati berkecai kena bom dulu ni,” rungut isteri saya dalam kereta ketika kami menuju ke Alam Budiman.
Kami meredah bukit dan hutan, tersepit dalam ‘trafik jem’ hanya untuk menonton sebuah teater kecil, ciput lagi nyamuk. Panggungnya di sebuah studio di atas bangunan lot kedai. Studio Sedar Ruang namanya. Kami mahu pergi menonton sebuah teater berjudul Persiapan Seorang Aktor tulisan Saat Omar dan diarahkan oleh Syahrul Musa. Syahrul turut bermain di dalam teater ini menyokong dua watak utama lakonan Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin, dua kawan saya yang memang sudah lama menghasilkan ‘kimia’ bersama; sedar tak sedar 20 tahun juga mereka bergelumang dalam teater mandiri. Ya, mereka ada juga muncul di TV arus perdana untuk berlakon – tetapi panggung-panggung kecil adalah taman permainan mereka. Mereka kelihatan selesa di gelanggang sempit bersama produksi kecil yang perit untuk bernafas, sukar mencari penaja dan kurang mendapat liputan oleh media besar. Di pentas kecil itu, dengan jumlah penonton yang terhad; mereka bermain untuk memberikan hiburan. Setiap tutur bicara, lontaran suara, gerak dan aksi terhasil setelah menjalani latihan yang giat. Berbekalkan bakat dan pengalaman, mereka bersungguh-sungguh membawa penonton ke alam mereka. Mereka puas dan pengikut genre mereka pun puas. Dan seperti artis tv, mereka juga punya pemuja sendiri yang meminta autograf, bergambar malah menghadiahkan sejambak bunga. Hubungan lebih dekat dan terasa.
Orang yang berbakat dan cintakan kerjanya kadangkala sukar mendapat tempat lebih besar. Mereka seolah-olah ditutupi untuk dilihat sehingga ada pihak yang yakin dan berani membawa mereka. Bila ada pihak berjaya bawa mereka dan mereka pula berjaya buktikan kehebatan, barulah orang akan buka mata.
Ini yang patut diambil perhatian secara serius oleh badan dan kementerian berkenaan jika mahu melaksanakan reformasi seni dan hiburan. Menteri harus berani pecahkan kebekuan lalu seterusnya bina gagasan. Dedahkan kepada masyarakat kita bahawa dunia seni dan hiburan ini penuh warna, bukan hanya kosong, picisan tak berisi, hanya sekadar suka-suka mengisi masa lapang. Kenal pasti bakat artis tanah air kita yang benar-benar berkualiti, beri peluang dan angkat mereka sebelum membuka pintu kepada jiran. Kadang-kadang jiran kita bukan sedap mana pun tetapi dek kerana kita penakut untuk membuat perubahan, kita ikut saja trend. Kita tak ada keyakinan untuk menjadi pemula trend. Menteri berkaitan harus mengejutkan ‘orang-orang’ di panel penilai agar tidak sibuk mencari selebriti yang ramai pengikut di Instagram sahaja. Teroka tema baharu untuk dihidangkan kepada masyarakat yang setiap hari disumbat dengan drama kahwin-cerai, sondol-menyondol yang tak habis-habis. Teruk sangatkah daya kreativiti artis kita sampai tak ada modal lain nak buat cerita?
Program teater juga wajar diberikan ruang di kaca TV. Berikan slot. Kegiatan teater harus dijadikan sebagai kelab dan persatuan di sekolah untuk aktiviti kokurikulum dengan tenaga pengajar yang terlatih. Ini sebagai pendidikan luar bilik darjah yang berupaya mendisiplinkan pelajar selain memberikan peluang mereka mempamerkan bakat dan kreativiti di samping mendedahkan kepada semua pelajar bahawa wujud sebenarnya kegiatan seni yang sihat dan berisi!
Pengertian seni persembahan sangat luas dan banyak cabang. Usah sempitkan dengan yang itu-itu sahaja. Cuba turun dan tengok di tempat-tempat indie, ada banyak bakat yang boleh diangkat. Mulakan sebelum orang lain mula, bila berjaya baharulah kita terhegeh-hegeh nak mengikut. Sebagai Ronasina, saya akan terus membebel hal-hal seperti ini sehingga bebelan saya ini didengari. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/07/seni-di-lain-dimensi.html