Semut Binatang Yang Bijak Bermasyarakat Dan Berpolitik
harakahdaily.net
February 28, 2025

FIRMAN Allah SWT:
حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ ١٨
“Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, ‘Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarang kamu! Agar kamu tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.’” [Surah al-Naml: 18]
Al-Quran merupakan mukjizat ilmu yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia dalam semua ayatnya, termasuk cerita-cerita yang terkandung dalamnya, supaya menjadi pengajaran dan iktibar. Cerita-cerita yang terkandung dalam al-Quran merupakan cerita benar daripada Allah Yang Maha Suci daripada segala kelemahan dan kekurangan. Al-Quran juga mengandungi ilmu dan hikmah yang paling sempurna yang diwahyukan kepada rasul yang wajib bersifat benar.
Antara kisah yang terkandung dalam al-Quran ialah kisah Nabi Sulaiman AS yang diberi mukjizat dapat memahami bahasa binatang. Tiba-tiba, Allah menunjukkan kepada Baginda AS kehidupan binatang yang tidak berakal iaitu semut.
Walaupun badannya kerdil, semut hidup bermasyarakat, berpolitik dan berekonomi. Walaupun dipandang lemah, tetapi kuat kefahamannya mengikut fitrah melalui pancaindera yang dikurniakan oleh Allah. Sehinggakan, kefahamannya melebihi sebahagian manusia yang berakal, tetapi tidak menggunakan akal pancainderanya dengan betul sehingga menjadi lebih bodoh dan hina daripada binatang yang tidak berakal. Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka) Jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami (ayat-ayat Allah); dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah); dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu laksana binatang ternak (yang menjadikan makan tujuan utama), bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Firman Allah SWT:
أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَكِيلًا ٤٣ أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَكۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلًا ٤٤
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka, apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? (43) Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (daripada binatang ternak itu). (44)” [Surah al-Furqan: 43-44]
Kini, ternyata benar bahawa ada dalam kalangan manusia yang lebih dahsyat, sesat dan ganas daripada binatang, dari aspek pergaulan sehinggalah peperangan. Mereka mengamalkan pergaulan bebas, sehingga melebihi binatang tanpa mengira lelaki mahupun wanita. Bahkan, mereka mengganas lebih melampau daripada binatang buas dengan menggunakan senjata pemusnah.
Betapa pentingnya cerita semut ini sehingga dinamakan sebuah surah dalam al-Quran dengan nama surah al-Naml (semut).
Masyarakat semut mempunyai pemimpin atau raja, bala tentera dan pekerja yang tekun serta rajin bergotong-royong dan bekerja. Mereka bertanggungjawab membawa makanan yang cukup dan menyediakan tempat tinggal yang selamat dengan kawalan daripada bala tentera yang gagah berani mempertahankan kawasan mereka.
Allah SWT mendedahkan kepada Nabi Sulaiman AS peristiwa Baginda AS mendengar arahan raja semut ketika melalui sebuah kawasan. Raja semut itu mengarahkan seluruh rakyatnya masuk ke dalam sarang bagi menyelamatkan diri daripada dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS, termasuk kuda dan kenderaan Baginda tanpa disedarinya.
Raja semut memberi arahan supaya menyelamatkan diri terlebih dahulu, walaupun ia tahu terdapat banyak makanan dan serpihannya yang akan menjadi makanan mereka. Hal ini merupakan satu tindakan yang bijak kerana memandang kepada keutamaan dan melihat masa hadapan yang jauh. Raja semut mendahulukan keselamatan rakyat yang wajib disegerakan, kemudian barulah mendapatkan hasil walaupun ditangguhkan terlebih dahulu.
Namun begitu, terdapat dalam kalangan manusia yang mengejar kemahuan nafsu yang segera dengan gelojoh, sehingga akhirnya ditimpa kebinasaan yang menghinakan.
Allah SWT memberi amaran kepada bangsa Arab yang mendapat kelebihan dan kemuliaan bersama Islam, sehingga memimpin kuasa besar yang bertamadun, melalui firman-Nya:
إِن يَشَأۡ يُذۡهِبۡكُمۡ أَيُّهَا ٱلنَّاسُ وَيَأۡتِ بَِٔاخَرِينَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ ذَٰلِكَ قَدِيرٗا ١٣٣
“Jika Allah menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kamu wahai manusia, dan Dia mendatangkan umat yang lain (sebagai penggantimu). Dan adalah Allah Maha Kuasa berbuat demikian.” [Surah al-Nisa’: 133]
Firman Allah SWT lagi:
… وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“…Dan jika kamu (bangsa Arab) berpaling daripada Islam, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Apabila bangsa Arab meninggalkan kewajipan menegakkan Islam dan mempertahankannya dengan kuasa serta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT, mereka akhirnya menjadi penyebab kejatuhan kuasa besar Islam pada abad yang lalu. Akibatnya, mereka dijajah dan dihina, bahkan sanggup menjual tanah di Palestin kepada pendatang Yahudi yang kemudiannya merampas tanah suci tersebut.
Hasil kekayaan bumi mereka digunakan oleh penjajah, tanah air mereka dijadikan pangkalan tentera penjajah, sementara bangsa Arab sendiri hanya memperoleh wang tetapi tenggelam dalam kehinaan.
Fatwa para ulama’ yang mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi tidak dipedulikan, nasihat agar tidak memberi kesetiaan kepada penjajah tidak dilayan. Sebaliknya, mereka mengambil tindakan terhadap ulama’ yang memberikan nasihat.
Perkara yang sama berlaku kepada bangsa lain selepasnya. Mereka yang mengambil alih tugas mempertahankan Islam dan tanah air, seperti di Andalus (Sepanyol), akhirnya tumbang dan lenyap setelah bertapak selama 800 tahun. Begitu juga nasib bangsa-bangsa lain selepasnya, sehingga seluruh tanah air Islam dijajah dan dibahagikan sesama kuasa asing yang menjajah.
Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا، فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ، فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ.
“Sesungguhnya, bandingan hubungan diriku dengan umatku laksana seorang lelaki yang menyalakan api, tiba-tiba binatang-binatang dan serangga berterbangan terjun ke dalamnya (bukan mengambil manfaat daripadanya tetapi membakar diri sendiri). Maka, aku memegang seluar mereka bagi menyelamatkan kamu (agar tidak jatuh ke dalamnya), namun kamu tetap berkeras untuk terjun ke dalam api tersebut.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Fadha’il, No. 2284, daripada Abu Hurairah]
Di tempat kita, bangsa Melayu yang beragama Islam dihalau secara halus daripada kawasan bandar dengan penjualan tanah dan pengambilannya. Pada masa yang sama, orang Melayu pula meremehkan kewajipan pilihan raya yang boleh menyebabkan hilangnya kuasa politik memerintah negara, sehingga hilangnya kepimpinan bangsa Melayu sejak beberapa abad.
Ambillah iktibar daripada binatang seperti semut yang kecil dan lemah, namun mempunyai kebijaksanaan yang menjadi fitrah kurniaan Allah SWT. Mereka bijak mempertahankan kaumnya daripada dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS yang adil, namun mungkin tidak menyedari keberadaan semut-semut yang kecil dan lemah itu.
Nabi Sulaiman AS tersenyum mendengar ucapan pemimpin semut yang bijaksana. Diriwayatkan bahawa Baginda memanggil raja semut menghadap lalu bersabda:
لِمَ حَذَّرْتَ النَّمْل ظُلْمِي؟ أَمَا عَلِمْتَ أَنِّي نَبِيُّ عَدْل؟
“Apakah kamu tidak percaya (sesungguhnya aku adalah rasul yang dilantik oleh Allah) bahawa aku tidak akan sekali-kali berlaku zalim? Adakah kamu tidak mengetahui aku seorang nabi yang diwajibkan berlaku adil (dan berkasih sayang)?”
Raja semut menjawab:
أَمَا سَمِعْتَ قَوْلِي: وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ؟
“Wahai Nabi Allah! Tidakkah kamu mendengar bahawa aku berkata dalam keadaan tidak sengaja?” [Tafsir al-Tha‘labiy, Abu Ishaq al-Tha‘labiy, Jilid 7, Halaman 197]
Hari ini, kita sedang menyaksikan bangsa Melayu yang beragama Islam tidak peduli terhadap kewajipan mempertahankan hak mereka bersama Islam di bumi kurniaan Allah ini. Lebih malang, ada yang mengkhianati agama, bangsa, dan tanah air yang diamanahkan kepada mereka untuk dipimpin berlandaskan Islam sebagai petunjuk Allah. Jadi, janganlah memilih petunjuk selain daripada petunjuk-Nya. Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (Allah) yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW pernah melukis satu garisan lurus di atas tanah, dengan cabang-cabang di setiap hujungnya. Baginda menjelaskan bahawa di setiap cabang tersebut ada syaitan yang menggoda manusia agar menyimpang ke jalan yang sesat. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208) Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209)” [Surah al-Baqarah: 208-209]
Firman Allah SWT lagi:
۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١ وَلَقَدۡ أَضَلَّ مِنكُمۡ جِبِلّٗا كَثِيرًاۖ أَفَلَمۡ تَكُونُواْ تَعۡقِلُونَ ٦٢
“Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. (60) Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (61) Sesungguhnya, syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar antaramu. Maka, apakah kamu tidak memikirkan? (62)” [Surah Yasin: 60-62]
Hari ini, kita sedang menyaksikan kegagalan agama-agama selain Islam serta ideologi yang sedang membakar dan merosakkan penganutnya, sebagaimana rosaknya umat terdahulu. Hal ini telah diceritakan dengan benar oleh kitab Allah, al-Quran sebagaimana firman-Nya:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩
“Sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan apa yang mereka lakukan. (96) Maka, apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari pada waktu mereka sedang tidur? (97) Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggallah naik ketika mereka sedang bermain? (98) Maka, apakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99)” [Surah al-A‘raf: 96-99]
Tegakkan Islam dalam diri, keluarga, dan tanah air, nescaya semuanya selamat. Sebaliknya, jika ditegakkan sesuatu selain Islam, pasti akan runtuh dan binasa di dunia, serta ditimpa kecelakaan di akhirat kelak.
Semua rasul menyayangi bangsa mereka, meskipun dakwah mereka ditujukan kepada seluruh manusia. Namun demikian, kasih sayang itu harus berpandukan sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah, bukan atas dasar ‘asabiyyah melampau yang menzalimi kaum lain yang wajib hidup bermasyarakat.
Hanya Islam sahaja yang mampu mengawal masyarakat majmuk berkonsepkan adil terhadap semua tanpa paksaan dalam beragama. Oleh itu, bangsa Melayu wajib memimpin berpandukan Islam.
Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Surah al-Hajj: 40]
Tegakkan Islam bagi memandu bangsa Melayu yang telah menerima Islam, nescaya semuanya selamat. Jangan sekali-kali berwala’ kepada bukan Islam sehingga menjadi liberal dan sekular, kerana akhirnya semuanya tidak akan selamat.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Sya‘ban 1446 / 28 Februari 2025
[Bil: 14 / 2025]
- HARAKAHDAILY 28/2/2025
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2025/02/semut-binatang-yang-bijak-bermasyarakat.html