Selepas Zahid Hamidi Bebas Mampukah Ph Menang Dua Prk Johor Dan Mampukah Anwar Bertahan Lagi Di Pru16
Pertama-tamanya,
sebelum terlupa dan agar dilihat seperti tidak sama bersyukur, ingin diucapkan
tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak lagi
bergelar kluster mahkamah bermula hari ini.
Ia berikutan beliau telah dibebas tanpa
dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi atas kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah
dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang sedang
dihadapinya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence
Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan DNAA (dibebas
tanpa dilepaskan) terhadap Zahid Hamidi yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa
Raya, Mohd Dusuki Mokhtar.
Permohonan menggugurkan kes itu dibuat oleh
pihak pendakwa berikutan penerimaan terhadap representasi yang dikemukakan oleh
Zahid Hamidi agar kesemua kesnya digugurkan.
Meskipun digugurkan daripada semua 47
pertuduhan, DNAA yang diputuskan itu bermakna Zahid Hamidi masih boleh didakwa
di lain masa jika didapati ada bukti-bukti baru diperolehi oleh Pejabat Peguam
Negara.
Tetapi logiknya, selagi kerajaan perpaduan ini
masih berkuasa dan Zahid Hamidi berada di jawatannya sekarang, kemungkinan
untuk melihat beliau didakwa semula biasanya amatlah tipis.
Sementara UMNO tentunya gembira dan bersyukur
dengan tindakan pihak pendakwaan memohon pengguguran kes Zahid Hamidi ini, di
mata umum, ia tetap dianggap sesuatu yang pelik dan dalam perbualan dengan
banyak pihak, lebih ramai yang geleng kepala berbanding mengangguk setuju.
Pertama, kes ini sudah berada di peringkat
membela diri di mana sebelum ini telah diputuskan ada kes prima facie oleh
mahkamah.
Bila ada prima facie, bererti pihak pendakwaan
sudah memiliki bukti yang kukuh tentang kesalahan yang dilakukan oleh Zahid
Hamidi.
Maka, tentulah jadi pelik bila pihak pendakwa
setuju pula kes digugurkan dan menerima representasi yang dikemukakan oleh
pihak pembela.
Kedua, keputusan pihak pendakwa ini berlaku
hanya empat hari setelah Ahmad Terriruddin Mohd Salleh dilantik sebagai Peguam
Negara yang baru menggantikan Mohd Idrus Harun.
Sebelum itu, kira-kira sebulan lalu, ketua
pendakwaraya, Raja Rozela Raja Toran secara tiba-tiba digugurkan daripada
mengetuai pendakwaan terhadap kes Zahid Hamidi ini.
Kemudian dilaporkan pengguguran itu dibuat
kerana Raja Rozela secara tiba-tiba memohon untuk bersara awal.
Setelah dua kali tiba-tiba, hari ini tiba-tiba
pula pihak pendakwa memohon kepada mahkamah agar Zahid Hamidi dibebas tanpa
dilepaskan daripada semua kes yang sedang dihadapinya.
Pun begitu, oleh kerana pengguguran kes
Zahid Hamidi ini berlaku hanya kira-kira lima hari lagi sebelum pengundian PRK
Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September, kesannya terhadap pilihan raya itu
sedang menjadi bualan di merata ceruk percakapan politik.
Ada yang mengatakan, keputusan jni seperti
memberi peluru percuma kepada PN untuk mereka meningkatkan lagi serangan serta
hentaman kepada PH/BN, kerajaan perpaduan serta Anwar Ibrahim.
Tidak kurang yang meramalkan, ini
sekaligus akan menyebabkan calon PH lebih sukar untuk memperolehi kemenangan.
Yang lain pula beranggapan, jika pun
calon PN masih boleh menang di Pulai dan Simpang Jeram nanti, Anwar tentunya
lebih perit untuk mengelakkan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya ini daripada
jadi kerajaan sepenggal saja.
Mungkin lain persepsinya jika Zahid
Hamidi diputuskan tidak bersalah oleh mahkamah selepas melalui proses
perbicaraan berbanding apa yang berlaku ini di mana pendakwa sendiri memohon
kes untuk digugurkan. – ShahbudinHusin 04/09/2023.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/09/dulu-masa-kerajaan-lepas-tak-lihat.html