Selepas Tun Daim Disiasat Sprm Bila Lagi Giliran Tun Mahathir
Apabila bercakap tentang Tun Daim Zainuddin, mahu tidak mahu, ia mesti terkait dengan Tun Mahathir Mohamad.
Meskipun sebelum dilantik menganggotai kabinet buat pertama kali dengan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 1984 dahulu, Tun Daim memang sudah sedia kaya raya, tetapi kekayaan dan namanya menjadi lebih disebut ramai setelah lantikan itu.
Diperkatakan dan dipercayai ramai bahawa dengan jawatan dalam kerajaan dan menjadi orang kepercayaan Tun Mahathir itulah yang menjadikan beliau tersangat kaya.
Sebelum itu, kalau berselisih bahu pun, barangkali ramai tidak peduli dengannya.
Kemudian, di samping berada di dalam kabinet dan dianggap pemain belakang tabir yang penting dalam banyak krisis dan kejayaan politik melibatkan Tun Mahathir, mama Tun Daim dengan bekas Perdana Menteri dua kali itu hampir tidak boleh dipisahkan lagi.
Malah, berjayanya Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 dulu tidak dinafikan adalah turut dengan pelbagai bantuan serta sokongan daripada Tun Daim.
Selepas itu, untuk membantu menjayakan misi Tun Mahathir, Tun Daim turut sanggup menghidupkan lesen peguamnya bagi membolehkah beliau berulang-alik menemui Anwar di Penjara Sungai Buloh untuk merundingkan pelbagai perkara sebelum ketibaan PRU14 pada tahun 2018.
Sebab itu apabila Tun Daim disiasat, sejumlah akaun bank terkait dengannya dibekukan dan terbaru, Menara Ilham, sebuah bangunan pencakar langit setinggi 60 tingkat di tengah-tengah kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur yang menjadi simbol kekayaan keluarga bekas Menteri Kewangan itu turut disita SPRM, pertanyaan yang spontan kedengaran ialah – bila lagi giliran Tun Mahathir?
Apa lagi sepanjang hampir 25 tahun perjuangan Anwar mengejar kerusi impian Perdana Menteri selepas dipecat daripada UMNO pada 1998, sasarannya terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim sentiasa saja basah di bibirnya ketika berceramah di mana-mana.
Kalau pun tidak beribu kali, barangkali beratus kali jugalah Anwar pernah menyebut akan menyiasat dua Tun berkenaan jika ditakdirkan beliau beroleh kuasa suatu hari nanti.
Itulah sebenarnya yang menyebabkan Tun Mahathir tidak pernah diam daripada cuba menghalang kemaraan Anwar, walaupun setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 dahulu.
Bahkan, tindakan Tun Mahathir berbaik semula dengan Anwar dengan sanggup berkunjung ke mahkamah untuk berdamai pada 2016 adalah semata-mata untuk menghalang kemaraan Pengerusi PH itu.
Ia terbukti apabila Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, beliau didapati begitu liat dan melakukan macam-macam dalih daripada mematuhi perjanjian peralihan kuasa kepada Anwar.
Beliau juga kemudiannya lebih sanggup meletak jawatan dengan harapan akan terpilih semua sebagai Perdana Menteri tanpa terikat lagi dengan sebarang janji peralihan kuasa.
Nama mahu menyerahkan jawatan Perdanq Menteri kepada Anwar tidak sama sama sekali!!
Benar sebagaimana selalu diperingatkan kepada kita – manusia merancang dan Tuhan juga ada perancangannya – Tun Mahathir akhirnya gagal dalam perancangannya untuk terus kekal berkuasa kerana dikhianati pula oleh Mahiaddin Md Yasin.
Anwar yang dihalang berkali-kali pula, tercapai juga sudahnya impian untuk menduduki kerusi Perdana Menteri selepas PRU15 yang lalu.
Kini, memandangkan Anwar dilihat meraih sokongan yang agak tinggi daripada rakyat berikutan siasatan SPRM terhadap Tun Daim, maka tidak dapat dielakkan ramai yang berharap giliran Tun Mahathir akan menyusul selepas ini.
Kata mereka yang nakal, kalau Tun Daim didapati begitu kaya setelah berada dalam kerajaan, mustahil Tun Mahathir yang melantiknya tidak sama-sama kaya?
Atau mungkinkah barangkali, dicampur dengan kekayaan anak-anaknya, Tun Mahathir sebenarnya lebih kaya daripada Tun Daim?
Cuma satu saja yang pasti, berdasarkan dapatan rambang melalui pertanyaan terbuka dan spontan dengan pelbagai pihak yang sempat saya lakukan, Anwar akan menuai lebih sokongan rakyat lagi jika beliau berjaya membuktikan ada salah laku dalam kekayaan Tun Mahathir dan anak-anaknya.
Terlanjur Tun Mahathir sendiri mengatakan semua Tun perlu disiasat kekayaan mereka, persoalnnya - sediakah Anwar? – ShahbudinHusin 27/12/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/12/27/selepas-tun-daim-bila-lagi-giliran-tun-mahathir-untuk-disiasat.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/12/selepas-tun-daim-disiasat-sprm-bila.html