Selepas 12 Tahun Sakit Hati Ulama Pas Tersenyum Dituduh Berkomplot Lawan Hadi
Oleh FAZLI RADZI / November 9, 2021
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik memberitahu dia masih mampu tersenyum apabila dikaitkan dengan komplot menyanggahi Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, selama 12 tahun dia ‘sakit’ dalam menghalang serangan terhadap parti tersebut dan Abdul Hadi.
“Kini selepas 12 tahun saya berada di media sosial berusaha sekadar kemampuan menghalang serangan terhadap Pas dan TGHH, tiba-tiba saya bertemu sebuah artikel “Mokhtar Senik berkomplot menyanggahi TG Presiden”.
“Saya terkejut, namun saya masih mampu tersenyum kerana saya sudah biasa sakit sejak dulu.
Saya tidak tahu sejauh mana artikel itu sudah merebak dan masuk ke dalam handset orang ramai.
“Saya tidak risau pun dengan artikel itu kerana saya sudah berhenti dari memikirkan ‘apa orang kata’. Sisa usia saya yang masih ada ini tidak akan saya gunakan untuk memikirkan orang,” katanya dalam hantaran sebentar tadi.
Mengimbas pengalaman sejak tahun 2009 di alam maya, Mokhtar menceritakan dia mula-mula aktif ketika zaman ‘blogspot’ sewaktu menyandang jawatan Naib Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang.
“Mulai sejak itu saya tak undur hingga kini. Nak tau sebab apa saya terjun aktif menulis dalam blogsport itu?
“Sebabnya ialah bila saya lihat TGHH (Tuan Guru Hadi Awang) mula diserang dalam media sosial secara biadab.
“Dalam masa yang sama, pemimpin kanan Pas Pusat (kini PAN) tidak bersungguh dalam membela TG.
“Hati saya jadi sedih dan bercampur sakit. Kadang-kadang saya sengaja tulis isu-isu yang panas agar dapat memgalihkan serangan terhadap TG,” dedahnya.
Dia bahkan menceritakan kembali pengalaman lalu yang dianggap paling sakit hati termasuklah mendakwa bekas pemimpin kanan Pas yang kini pemimpin AMANAH membawa masuk Aziz Bari dalam program ‘belasah’ Hadi.
“Walaupun TG relaks saja, namun saya sakit. Saya mula bongkar wajah-wajah sebenar mereka yang kemudiannya jadi PAN (panggilan Pas terhadap AMANAH).
“Siapa sahaja yg cuba menentang mereka ketika itu akan dicop sebagai menentang TG. Waktu itu saya tulis artikel ‘jangan buka jendela untuk musuh tembak jenderal kamu’,” kata Mokhtar.
Menurutnya lagi, ‘sakit’ dialami semakin bertambah apabila mereka terbabit melaga-lagakan TGHH dengan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (TGNA).
“Namun, jiwa besar dua tokoh itu mempertautkan mereka. Lalu saya tulis artikel bertajuk, ‘Bila syaitan menangis,” ujarnya.
Mokhtar juga berpendapat mereka terbabit seolah-olah lebih memberi walak atau kesetiaan kepada Anwar berbanding Hadi.
“Saya kritik Hanipa Maidin ketika itu dengan tajuk, ‘siapa sebenarnya presiden kamu’. Selepas itu tulisan-tulisan saya akan mengikut bagaimana rentak serangan mereka. Sehinggalah masuk era Facebook dan Whatsapp,” tambahnya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/11/selepas-12-tahun-sakit-hati-ulama-pas.html