Sekolah Laksana Lokar Sewa Ibu Bapa Nutp Terkejut
Gambar memaparkan jenis lokar ditawarkan syarikat di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.PETALING JAYA: Sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur yang mengenakan bayaran RM120 selama lapan bulan bagi ‘sewaan’ lokar kepada muridnya untuk menyimpan buku mengundang kemarahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Seorang bapa ketika dihubungi FMT berkata, pihak sekolah terbabit telah menyumber luar proses pemasangan dan penyelenggaraan lokar kepada sebuah syarikat swasta. Nombor telefon syarikat itu juga sudah diberikan kepada ibu bapa.
“Ia bukannya wajib, namun ibu bapa yang berminat dimaklumkan supaya menghubungi pihak berkuasa sekolah. Selepas daftar, kita membuat pembayaran secara terus kepada syarikat itu. Ia tidak melalui pihak sekolah,” katanya.
Mesej yang dihantar kepada ibu bapa itu juga menyatakan bayaran sebanyak RM110 dikenakan untuk tempoh Apr hingga Dis dengan tambahan RM10 bagi deposit untuk kunci. Lokar itu ditawarkan hanya kepada murid Tahun 2 hingga Tahun 6.
Mereka turut diberikan pautan dalam talian bertujuan untuk mendaftar, termasuk menyelesaikan pembayaran.
“Saya tertanya-tanya mengapa mereka menyumber luar sesuatu sedangkan kerajaan sudah pun mengumumkan ia akan dibuat secara percuma. Saya tertanya-tanya adakah wujud sebarang bentuk kronisme di sini,” kata wakil ibu bapa itu yang enggan dinamakan.
Katanya, dia bimbang kewujudan “sistem kelas” akan memisahkan antara mereka yang mampu membayar dan mereka yang tidak berkemampuan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata, beliau terkejut bahawa sekolah itu sanggup mengambil langkah sedemikian walaupun kerajaan sudah mengumumkan peruntukan RM37.3 juta untuk menyediakan lokar di sekolah rendah.
“Mengapa pihak sekolah meletakkan tekanan kepada ibu bapa dengan berbuat demikian? Ia mungkin pilihan, tetapi ibu bapa berdepan tekanan bagi memastikan anak-anak mereka tidak terpinggir,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, adalah lebih baik pihak kementerian sendiri menyediakan lokar dan sebaik-baiknya disertakan sekali dengan meja memandangkan kemudahan itu menjadi hak milik kerajaan.
“Jelas sekali, dengan menggunakan sumber luar, syarikat swasta diberi hak memiliki lokar itu selama-lamanya dan mereka akan mengaut keuntungan besar,” katanya.
Wang berkata, penyediaan lokar hanya mengurangkan 30% berat beg sekolah murid dengan mengambil kira anggaran berat buku.
“Selebihnya adalah berat botol air, pakaian seperti seluar sukan dan kemeja T, termasuk barang permainan. Ibu bapa sepatutnya membantu memantau anak-anak mereka ketika mengemas beg,” katanya.
FMT sudah menghubungi pihak sekolah terbabit untuk komen dan sedang menunggu respons. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/04/sekolah-laksana-lokar-sewa-ibu-bapa.html