Sekeluarga Kesal Masyarakat Pandang Serong Bekas Pesakit Covid 19
Hazira Ahmad Zaidi
Siti Nuraisyah (dua kanan di tengah) bersama ibu, ayah dan adik-beradiknya yang disahkan positif COVID-19. FOTO IHSAN SITI NURAISYAH IBRAHIM KOTA BHARU: Sebuah keluarga di Kampung Langgar di sini yang pernah disahkan positif COVID-19 bulan lalu, sedih apabila ada segelintir masyarakat memandang serong terhadap mereka.
Keluarga 12 beranak itu yang kini bebas daripada COVID-19 berharap masyarakat tidak bersikap negatif terhadap mereka yang berstatus bekas pesakit pandemik itu.
Anak sulung keluarga berkenaan, Siti Nuraisyah Ibrahim, 32, berkata walaupun keluarganya bebas daripada COVID-19, ada segelintir masyarakat memandang serong terhadap mereka sekeluarga.
"Kami sekeluarga reda dengan ujian ini, namun saya memohon kepada masyarakat supaya tidak memandang negatif terhadap pesakit atau mereka yang pernah dijangkiti COVID-19.
"Kami sekeluarga tidak minta diuji sebegini dan penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja dan percaya virus ini memang wujud," katanya kepada BH, hari ini.
Menyifatkan ujian dialami seperti mimpi ngeri, Siti Nuraisyah berkata, pada awal Jun lalu, adik keduanya, Muhammad Amin, 30, mengalami demam serta batuk menyebabkan dia mengambil keputusan menjalani ujian calitan di klinik swasta.
"Pada hari sama adik saya menjalani ujian calitan, dia disahkan positif COVID-19 dan kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk mendapatkan rawatan.
"Pada 18 Jun lalu kami sekeluarga dihubungi pegawai kesihatan untuk menjalani ujian calitan di Pusat Saringan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV," katanya.
Katanya, pada 20 Jun, mereka sekeluarga menerima keputusan dan mengejutkan apabila ujian calitan kesemuanya adalah positif termasuklah adik iparnya.
"Sebelum menjalani ujian calitan, saya demam dan batuk, namun hanya menganggap ia sekadar simptom demam biasa sehinggalah saya hilang deria bau," katanya.
Anak sulung daripada 11 beradik ini berkata, selepas disahkan positif COVID-19, apa yang terlintas di fikiran dan yang paling dibimbangkan adalah keadaan ibu dan ayah mereka yang berusia.
"Saya dan adik ketiga, Muhammad Zulhilmi, 28, dibawa ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan kerana kami mempunyai simpton memerlukan pemantauan rapi.
"Ibu, ayah, serta adik ditempatkan di PKRC selain ada juga di antara yang menjalani kuarantin kendiri di rumah," katanya.
Katanya, sepanjang mendapatkan rawatan di hospital, pesakit COVID-19 yang ditempatkan di wad banyak memberi kata-kata semangat kepadanya untuk terus melawan penyakit ini.
Beliau berkata, selepas empat hari dirawat, pihak hospital membenarkan beliau pulang ke rumah.
"Ibu dan ayah serta adik dibenarkan pulang pada 28 Jun selepas lapan hari dirawat di PKRC.
"Saya berharap, orang ramai patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana hanya dengan kerjasama kita yang mampu memutuskan rantaian COVID-19," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/sekeluarga-kesal-masyarakat-pandang.html