Sekeluarga Berbasikal Ke Mekah Dari Indonesia
Subhanallah, Keluarga Dari Jakarta Ini Hanya Berbasikal Ke Mekkah Untuk Menunaikan Umrah
BUKIT MERTAJAM: Setelah dua hari berehat melepaskan lelah, sebuah keluarga lima beranak yang berasal dari Jakarta, Indonesia, hari ini meneruskan kembara berbasikal ke tanah suci untuk mengerjakan umrah
Muchlis Abdullah, 47, berkata beliau dan keluarga bakal menyusuri lapan hingga 10 negara dan dijangka tiba di Jeddah pada Januari atau Mac tahun depan
Saya menjangkakan kami tiba di Jeddah dalam masa lima hingga tujuh bulan lagi,” kata Muchlis kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Masjid Papan, Permatang Pauh di sini, Selasa
Kembara yang dinamakan ‘Ziarah Qudsiyah Tanah Suci 2018′ keluarga itu bermula pada 11 Julai dengan Muchlis dan anak sulung mereka, Mirza Hakim, 15, bertolak dari Jakarta manakala isterinya Julianti Husin, 47, dan dua lagi anak mereka, Ahmad Zaki Hafiz, 11, dan Oliva Yumna, 6, bertolak dari Medan
Keluarga itu tiba di Malaysia pada 30 Julai dengan memasuki Melaka menggunakan perkhidmatan feri sebelum menyambung perjalanan berbasikal ke utara tanah air melalui Selangor, Perak dan Pulau Pinang
Di Pulau Pinang, Muchlis dan keluarga menginap di sebuah hotel di Permatang Pauh selama dua hari atas sumbangan dan bantuan penduduk setempat
Keluarga itu meneruskan perjalanan pada pukul 8.57 pagi ini selepas bacaan doa dan upacara pelepasan oleh Imam Masjid Papan, Wahab Yahaya, 76. Destinasi persinggahan rehat seterusnya ialah di Gurun, Kedah
Selepas Malaysia, antara negara yang bakal dilalui keluarga itu ialah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Afghanistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan akhir sekali, Arab Saudi
Menurut Muchlis, persiapan dan perancangan kembara itu dilakukan sejak dua tahun lepas iaitu merancang perjalanan serta persiapan mental, emosi dan fizikal
Beliau berkata mereka bagaimanapun akan mempertimbangkan kemungkinan menggunakan kenderaan awam seperti kereta api dan pesawat sekiranya terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan terutama di destinasi yang mengalami pergolakan
“Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan yang hangat, tidak putus-putus bantu saya dan keluarga… tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, hanya Allah yang dapat balas kebaikan semua,” katanya
Sementara itu Rusnah Baba, 65, dan suami Mohd Damanhuri Abd Talib, 65, penduduk tempatan yang banyak membantu keluarga itu, berkata mereka dihubungi oleh Muchlis untuk mendapatkan bantuan kerana sebelum ini mereka pernah membantu pasangan suami isteri dari Indonesia yang mengembara ke Tanah Suci menggunakan basikal
“Memang ramai beri bantuan dan nak tolong mereka…contohnya ada pemilik restoran di Kulim hubungi mak cik, minta bawakan mereka ke sana sebab beliau nak beri mereka makan dan bantuan kewangan. Ada juga sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi kumpulkan duit dan beri bantuan kepada mereka,” kata Rusnah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kongsikanaje.blogspot.com/2019/01/sekeluarga-berbasikal-ke-mekah-dari.html