Sekat Anak Lelaki Menangis Kononnya Tak Jantan Anak Boleh Jadi Ganas Kasar Bengis
Anak lelaki kasar & ganas, kaunselor dedahkan ini mungkin puncanya. Selalu disekat jangan menangis dan melepaskan rasa kecewa membuatkan mereka bersikap bengis dan mudah marah.
Puan Farhan yang berpengalaman sebagai kaunselor dan ibu kepada dua anak memberikan pendapatnya punca anak lelaki menjadi kasar, kurang sopan dan boleh melakukan perkara-perkara yang ganas. Alasan ‘dia kan anak lelaki’ tidak boleh diguna pakai dalam mendidik untuk melahirkan generasi lelaki yang sopan dan berakhlak.
Berikut ialah perkongsian beliau;
Anak lelaki, biasalah tu…..
Dalam masyarakat kita, anak lelaki itu harus dikenali sebagai anak yang kuat, tidak menangis dan tahan lasak. Kalau anak lelaki kasar atau ganas sikit tu, eh itu biasa.
Boys will be boys. Gitu kan.
Sementara anak perempuan pula terbalik. Anak perempuan itu harusnya lemah lembut. Anak perempuan menangis ok, kira fitrah perempuan sememangnya manja. Kalau anak perempuan kasar sikit je, biasa orang tua tua akan cakap apa tau
“Macam budak lelaki lah anak kamu ni, kasar sungguh”
Tapi kan, saya sebenarnya kurang bersetuju lah dengan idea di mana anak lelaki itu dianggap normal jika sedikit kasar dan ganas.
ANAK LELAKI PERLU DIDIDIK DENGAN BAIK
Saya kalau boleh mahu anak lelaki saya menjadi seorang lelaki yang membesar menjadi lelaki yang mempunyai jiwa yang halus, baik akhlaknya, lembut tutur kata, sopan tindakannya dan dalam masa yang sama dia tegas bertempat.
Saya tidak mahu anak lelaki saya membesar menjadi anak lelaki yang mempunyai sifat yang kasar, suka naik tangan tatkala amarahnya menggunung.
Saya juga tidak mahu anak lelaki yang bercakap dengan kata kata yang kurang manis. Dalam masyarakat kita, anak lelaki kalau mencarut tidak nampak anehnya, cuba kalau anak perempuan melakukan hal yang sama tentu saja dia akan dimarahi.
Saya juga tidak mahu anak lelaki saya itu mempunyai sifat keras, sentiasa mahu menang dan sukar untuk beralah untuk mengakui silapnya.
“ANAK LELAKI, BIASALAH TU” TIDAK BOLEH DIPAKAI LAGI
Saya cukup tidak suka dan allergic bila dengar ayat “Anak lelaki biasa lah tu…”
Hanya kerana dia membesar sebagai anak lelaki, itu tidak menjadikan alasan yang kukuh untuk mereka mempunyai sifat yang kurang baik seperti yang saya nyatakan di atas.
BERI KEBEBASAN ANAK LELAKI LEPASKAN PERASAANNYA
Saya juga mahu anak lelaki saya itu bebas melepaskan perasaanya. Kalau anak saya mahu menangis, saya tidak akan meremehkan perasaanya, hanya kerana dia lelaki. Anak lelaki saya juga berhak untuk menangis dan melepaskan perasaanya saat dia sedang kecewa ataupun bersedih.
Saya ada membaca kajian di mana, antara punca lelaki itu mempunyai sifat yang ganas adalah kerana mereka itu tidak dapat melepaskan perasaanya saat dia perlukan. Ketika sedih dan kecewa dia terpaksa menahan diri dari menangis.
Takut dipandang lemah.
Takut dipandang sinis.
Sebenarnya, itu semua akhirnya akan menjadikan itu menjadi ganas dan kasar. Jadi tak pelik lah kalau anda lihat ada lelaki yang bila orang silap sikit dengan dia, mulalah dia nak tampar dan jerkah.
BIASAKAN ANAK LELAKI DENGAN KERJA URUS RUMAH
Saya juga mahu ajar anak lelaki saya untuk melakukan kerja rumah sama seperti kakaknya. Walaupun anak saya lelaki, dia tidak ada keistimewaan untuk bersenang lenang dan bergoyang kaki. Anak lelaki juga berhak untuk belajar menguruskan rumah tangganya kelak.
Saya tidak suka dengan idea di mana anak lelaki, tidak apalah kalau tidak pandai masak pun. Yang penting perempuan wajib kena pandai masak.
Saya mahu anak lelaki saya itu menjadi anak lelaki yang tahu bahawa tanggungjawabnya sama sahaja dengan anak perempuan. Tidak ada bezanya.
ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN SAMA-SAMA ISTIMEWA
Hanya kerana anak kita lelaki, tidak bermakna dia mempunyai keistimewaan lebih dari anak perempuan.
Kalau ibu dan ayah percaya anak lelaki anda itu boleh menjadi anak yang lembut, baik tutur katanya, pandai menguruskan kerja rumah. Pada akhirnya itulah resultnya.
Tapi kalau ibu dan ayah percaya bahawa anak lelaki and itu memang dilahirkan dengan sifat kasar, keras,tidak pandai express feeling dan tidak boleh menguruskan hal rumah. Maka resultnya begitulah pada akhirnya hasilnya.
Sumber: Puan Farhan
The post Sekat Anak Lelaki Menangis Kononnya ’Tak Jantan’, Anak Boleh Jadi Ganas, Kasar & Bengis! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://majalahpama.my/sekat-anak-lelaki-menangis-kononnya-tak-jantan-anak-boleh-jadi-ganas-kasar-bengis/