Sejarah Hitam Bola Sepak Berulang
Sejarah hitam bola sepak negara membabitkan pemain diserang dengan tujuan untuk dicederakan atau ditakut-takutkan lebih dahulu tercatat pada 12 Okt 1990. Kini, selepas 34 tahun, ia kembali menunjukkan wajah jeliknya ketika tempoh tenang lebih tiga dekad itu membuat ramai yang alpa serta mengambil mudah soal keselamatan.
Tempoh tujuh hari dari 2 Mei tercoret sebagai seminggu yang suram apabila satu demi satu kes keganasan yang mengancam nyawa dan keselamatan pemain bola sepak negara berlaku — penyerang Terengganu FC Akhyar Rashid menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu pada Khamis minggu lalu hingga cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri akibat dipukul dengan cota, manakala pemain sayap Selangor FC Faisal Halim disimbah asid sulfurik di luar pusat beli-belah di Kota Damansara pada Ahad.
Berselang dua hari, pemain tengah JDT Safiq Rahim pula menjadi mangsa apabila cermin belakang keretanya dipecahkan menggunakan tukul oleh individu misteri yang membonceng motosikal berdekatan pusat latihan JDT di Seri Gelam, Johari Bahru pada malam Selasa. Mujur buat bekas kapten kebangsaan itu, dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata modus operandi dalam ketiga-tiga serangan berkenaan — selang dua hari di antara satu sama lain — adalah sama tapi menolak ia mempunyai kaitan secara terancang.
“Kami telah mengenal pasti modus operandi (dalam ketiga-tiga kes). Setiap serangan dilakukan secara berpasangan. Mereka mengekori mangsa sebelum melakukan serangan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman sambil menambah polis sedang mengenal pasti motif serangan berkenaan, termasuk sama ada ia punya kaitan dengan satu surat layang terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada akhir Mac lalu.
Lebih tiga dekad lalu, penyerang import Kedah V Sundram Moorthy diserang ketika keluar makan malam bersama teman wanitanya tidak jauh dari hotel penginapan pasukan, sehari menjelang perlawanan pertama Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 13 Okt 1990.
Menurut catatan dalam laman Facebook Retro Bola Sepak, tiga lelaki bersenjatakan kayu menyerang pemain itu dengan menyasarkan kedua-dua kakinya kira-kira jam 8 malam, namun dia sempat lari menyelamatkan diri ke hotel pasukan.
Saya yang ketika itu bertugas sebagai ketua biro Berita Harian Johor Bahru dapat menghubungi pengurus pasukan Ahmad Basri Akil yang menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan tidak bertamadun dan menjadi sejarah hitam bola sepak negara.
Mujur buat penyerang kebanggaan Singapura itu, kakinya cuma mengalami sedikit pendarahan, calar-balar dan lebam. Keesokannya, dia tetap turun bermain dengan kedua-dua kakinya berbalut dan tersisip pelindung lutut untuk Kedah melakar keputusan seri 0-0 dengan tuan rumah yang memiliki dua import dari Croatia — Mate Borovac dan Ervin Boban.
Spekulasi keterlibatan ‘bookie’ (sindiket mengatur keputusan perlawanan) berkait dengan serangan itu disangkal oleh presiden FAM ketika itu, Sultan Ahmad Shah. Pengurusan pasukan Kedah juga menepisnya sebagai kerja ‘budak nakal’ yang tidak mahu Sundram Moorthy turun beraksi dalam perlawanan dijangka sengit itu.
“Kalau kita hendak berspekulasi, ada seratus satu sebab yang mungkin, sama ada daripada masalah keluarga mahupun cinta tiga segi. Hanya pihak polis yang berupaya menyelesaikan kes ini,” kata baginda yang turut menggesa setiap pasukan meningkatkan tahap keselamatan anggota skuad masing-masing.
Namun, tidak diketahui kesudahan kes serangan ke atas Sundram Moorthy itu kerana polis tidak pernah mengumumkan sebarang tangkapan.
Cuma, untungnya buat Kedah yang turut diperkuatkan pemain import dari Yugoslavia, Rincic Bratislav, selain Tan Cheng Hoe (bekas jurulatih kebangsaan dan Selangor FC) menang aksi timbal balik 1-0 dalam perjalanan ke final yang dimenangi mereka ke atas Singapura 3-1 dalam masa tambahan — termasuk satu gol Sundram Moorthy selain Ng Chew Beng dan Romli Ghani selepas Alistair Edwards mengikat kedudukan 1-1 di Stadium Merdeka pada 15 Dis 1990 — untuk menjulang Piala Malaysia buat julung-julung kalinya.
Berbeza daripada kes berkenaan, serangan terbaru ini terutama yang mengancam nyawa Faisal disebabkan kelecuran tahap empat hingga memerlukan dua pembedahan setakat ini, turut mendapat simpati Perdana Menteri Anwar Ibrahim di samping jaminan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail terhadap komitmen penuh polis bagi menyelesaikan kes itu.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku penaung Selangor FC, Menteri Besar Amirudin Shari dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semuanya mengecam serangan itu di samping menuntut siasatan menyeluruh dijalankan. Ketua Polis Negara Razarudin Husain pula menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sambil polis menjalankan siasatan.
Khabar melegakan berkaitan Faisal — sebelum ini dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan tubuhnya dibayangkan sesetengah media sebagai berbalut seperti mumia disebabkan kelecuran di bahagian muka, leher, lengan dan badan — berpeluang untuk kembali beraksi selepas menjalani tiga daripada empat pembedahan keseluruhannya.
Keyakinan itu dikongsi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Shahril Mokhtar yang didasarkan kepada penilaian doktor pakar. Namun, pemain berusia 26 tahun itu akan memerlukan masa yang agak panjang juga — mungkin lima hingga enam bulan — untuk mencapai prestasi optimum semula selain perlu mengatasi trauma daripada serangan berkenaan.
“Alhamdulilah, Faisal sudah boleh jamah makanan. Dia juga bersemangat untuk memulakan latihan ringan. Ini menunjukkan karakternya. Saya bangga dengannya kerana semangat kuat yang ditunjukkannya tapi kita tahu akan ada beberapa peringkat pemulihannya. Tapi ia nampak positif,” katanya selepas mengiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat Faisal di hospital.
Di sebalik semua itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola liga hairannya seakan-akan tidak prihatin dengan kesan psikologi ke atas pemain-pemain Selangor FC susulan kejadian itu dengan menolak permohonan pasukan Gergasi Merah itu agar perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dijadualkan malam ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Selepas serangan ke atas Faisal, dilaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon turut membuat laporan polis kerana mendapat panggilan telefon daripada seorang tidak dikenali yang memaklumkan beliau akan menjadi mangsa simbahan asid berikutnya.
MFL dalam mesyuaratnya petang kelmarin menolak permohonan Selangor FC untuk menunda aksi sumbangsih selepas mendapat jaminan keselamatan daripada polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.
Ia harus satu ‘kerugian’ di pihak MFL yang berpeluang menunjukkan ia memiliki timbang rasa dan empati kepada semua pasukan, tambahan pula apabila ia membabitkan kejadian di luar jangka. Tapi keputusan MFL itu barangkali sudah jadi ‘adat’ pertandingan dalam liga domestik yang dikendalikan mereka.
Sebarang jangkaan untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) — pemenang Piala Sultan Ahmad Shah lapan kali termasuk enam tahun berturut-turut sejak 2018 — menunjukkan solidariti dengan Selangor FC juga sudah dijawab Edwards, kini CEO JDT, yang berkata kelab itu kecewa dengan keputusan pasukan lawan walaupun ketua polis negara dan polis Johor memberi jaminan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong pada hari perlawanan.
Apa pun, MFL semalam sudah memberi kemenangan ‘walkover’ kepada JDT dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super selepas Selangor FC menghantar surat rasmi untuk tidak hadir perlawanan itu.
Sama-samalah kita doakan kesembuhan Faisal dan Akhyar selain Safiq diharap turut terhindar daripada trauma. Juga kejayaan berterusan buat JDT. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/05/sejarah-hitam-bola-sepak-berulang.html