Sebagai Mp Kaum India Saya Malu Tengok Rayer Saravanan
Kasthuri Jeevendran
Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tapah (BN), Datuk Seri M Saravanan melahirkan rasa kecewa dengan ‘perangai’ terkinja-kinja RSN Rayer yang sentiasa membuat provokasi serta kekacauan terutamanya ketika sesi perbahasan penting.
Beliau secara terbuka mengatakan sangat malu dengan tindak tanduk Ahli Parlimen Jelutong (PH) yang sentiasa menyebabkan ‘gangguan’ dalam Dewan Rakyat dengan bertanyakan isu-isu basi serta tidak relevan.
Rayer sebelum itu secara tiba-tiba bangun ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong oleh Saravanan bertanyakan tentang skandal Maika Holdings.
“Yang Berhormat kekanda Tapah, saya sangat menghormati dengan kamu sebenarnya malah saya ini masih lagi baru bergelar Ahli Parlimen.
“Saya cuma hendak tahu apakah penjelasan pihak MIC berikutan skandal Maika Holdings yang ditubuhkan dengan niat untuk membantu masyarakat India. Boleh kamu jelaskan?” soal Rayer secara tiba-tiba.
Kedengaran beberapa suara dari blok pembangkang menjerit ‘tidak relevan’ langsung sebelum Saravanan bangun memberi penjelasan beliau.
“Yang pertama Yang di-Pertua, ini langsung tidak berkaitan dengan hujah saya sebentar tadi. Kedua, seandainya betul dakwaan anda (Rayer), kerajaan kini sedang diterajui oleh Pakatan Harapan. Sila buat laporan dan ambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang.
“Kenapa asyik mahu gunakan Dewan ini? Kami semua sedia maklum Yang Berhormat Pekan sedang disiasat. Tetapi setiap kali kamu masuk Dewan, yang kamu tahu dan ungkit tidak habis-habis adalah Pekan dan Maika Holdings. Sejak mula lagi.
“Macam sudah tidak ada apa-apa isu lain yang jauh lebih penting. Sebenarnya, setiap kali Rayer bangun, saya malu sebagai Ahli Parlimen India kamu tahu tak? Saya ulang sekali lagi, anda kerajaan kini, ada kuasa.
“Mengapa selalu mahu timbulkan isu sama dan kelirukan Dewan selain membuat gangguan, jangan gunakan Dewan yang mulia ini untuk drama politik kamu” tegas Saravanan.
Rayer bagaimanapun mengatakan dirinya tidak kisah apa jua tanggapan oleh Saravanan terhadap dirinya sebaliknya MIC perlu malu sendiri. –MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/sebagai-mp-kaum-india-saya-malu-tengok.html