Sbdj Siri 26 Isterinya Jadi Kelip Kelip


Dengan nada suara yang keras datuk menyuruh saya membakar sumbu pelita yang padam. Seluruh ruang rumah terang. Uda Lodin masih terpaku dekat dinding rumah. Saya lihat Uda Lodin membongkokkan badannya sambiI menekan perut.


"Kau sedar apa yang berlaku?", tanya datuk pada lelaki yang baru sedar dari tidur.

Lelaki itu gelengkan kepalanya beberapa kali. Datuk pun menceritakan semua yang terjadi pada lelaki (suami perempuan yang jadi hantu) tersebut. Lelaki itu mengeluh panjang.

"Masa isteri kamu mahu mati apakah perkara ganjil yang kau nampak yang terjadi padanya?", datuk mengajukan pertanyaan.

Lelaki itu terdiam memikirkan sesuatu. Tiba-tiba dia tersenyum sambil merenung tajam ke arah datuk.

”Tak ada yang ganjil cuma..” lelaki itu berhenti bercakap.

Dia menelan air liur. Saya dan datuk berpandangan dan lelaki itu menyambung kata-katanya.

"Masa mengusung jenazahnya dulu, ramai orang bersungut terlalu berat.”

"Siapa yang cakap?", tanya datuk.

"Anak-anak saya."

Datuk tidak dapat bertanya lebih lanjut lagi kerana diganggu oleh suara Uda Lodin. Datuk pun segera menghampiri Uda Lodin yang berada dalam keadaan cemas.

Perkara pertama yang datuk lakukan pada Uda Lodin ialah memegang buah betis kakinya dan mengurut-urut dengan perlahan-lahan. Usaha datuk tidak mendatangkan sebarang kesan.

"Ambilkan aku sehelai sirih”, datuk mengeluarkan perintah.

Barang yang datuk mahu saya adakan. Datuk melipatkan daun sirih menjadi tujuh bucu dan diletakkan atas tapak tangan kiri.

Saya lihat daun sirih itu terus layu bagaikan kena bahang panas. Dari celah-celah jari datuk keluar asap menipis naik bersama bau kemenyan. Datuk melekapkan ke leher Uda Lodin.

Uda Lodin melompat dan menjerit. Sakit perutnya serta merta hilang. Daun sirih yang dilengkapkan ke pangkal leher Uda Lodin datuk ambil dan terus meramas-ramasnya hingga hancur. Dari tapak tangan kiri daun sirih masih lagi elok dan segar.

"Kau kena badi hantu perempuan”, datuk memberitahu Uda Lodin yang pucat lesi itu.

Datuk mengurut-urut bahagian belakang Uda Lodin hingga mukanya kembali merah. Datuk menyuruh Uda Lodin melakukan senaman kucing mencangkung.

"Bagaimana rasanya?", tanya saya pada Uda Lodin.

"Baru terasa segar sedikit."

"Kau baca ayat ini”, datuk menghulurkan secebis kertas yang bertulis huruf jawi pada Uda Lodin.

Datuk kembali mendapatkan lelaki tuan rumah. Lelaki itu masih terpaku duduk di sudut dinding. Barangkali dia memikirkan sesuatu.

"Ada berapa anak kau?", dengan tenang datuk mengajukan pertanyaan.

Saya segera duduk di sebelah datuk. Uda Lodin juga begitu.

"Empat orang, semuanya lelaki."

"Ada di mana?", saya gatal mulut bertanya.

"Semua dah bekerja. Dua di Singapura dan dua lagi ke Kuala Lumpur. Duduk menyewa di Kampung Pandan”, terang lelaki itu dengan jujur.

Datuk segera menyiku bahu kanan saya yang membawa maksud supaya saya berhenti dari mengajukan sebarang pertanyaan pada lelaki itu.

Uda Lodin terus mengeliat. Suasana terasa cukup dingin sekali. Angin malam yang bertiup di luar melanggar dedahan pokok getah yang melahirkan bermacam-macam bunyi. Saya menguap dan mata terasa cukup mengantuk.

"Masih dinihari lagi. Baiklah kita tidur”, kata datuk.

Dan saya secara tiba-tiba terasa mahu buang air kecil. Saya terus merebahkan badan dengan harapan saya akan terlena dan tidak akan membuang air kecil pada waktu subuh.

Ternyata rancangan saya tidak berjaya. Saya sudah tidak boleh tahan lagi. Seluruh pangkal pinggang saya terasa sakit.

Saya mencapai pelita dan terus ke bahagian dapur untuk buang air kecil. Selesai buang air kecil saya pun melangkah untuk masuk ke ruang tengah.

Kaki kanan saya tersepak sesuatu. Pelita pun saya rendahkan. Dengan pertolongan cahaya lampu saya dapat melihat seketul tanah merah bersama secarik kain putih yang ada kesan darah kering.

Bila kain dan tanah itu saya dekatkan ke lubang hidung, baunya amat tidak menyenangkan.

Cukup busuk, macam bau bangkai. Bulu tengkok saya mula meremang. Saya meletakkan pelita ke tempat asalnya dan terus merebahkan diri di sisi datuk.

Tetapi,saya tidak dapat tidur. Macam-macam bunyi saya dengar di Iuar. Macam ada bunyi tapak di kaki orang melangkah dan memijak sesuatu di bawah rumah.

Saya juga terdengar bunyi suara ayam berkokok dalam reban dengan kuatnya. Saya cuba bangun untuk melihat dari tingkap. Datuk segera memegang dan menekan bahu kanan saya. Dia memaksa saya tidur.

"Orang curi ayam tok.”

"Bukan."

"Kalau bukan kenapa ayam direban berbunyi?"

“Kau tidurlah, jangan banyak cakap."

Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya baring kembali dan akhirnya terlena. Sedang asyik dibuai mimpi, datuk membangunkan saya untuk sembahyang subuh.

Uda Lodin terus jadi imam sembahyang subuh. Bila matahari terbit di kaki langit, saya dan datuk pun mandi embun. Kemudian datuk mengajak saya pergi ke reban ayam kepunyaan lelaki tuan rumah itu.

Saya terkejut besar bila terpandang beberapa ekor ayam mati dengan tali perutnya berjela-jela keluar. Saya Iihat bahagian perut ditebuk dengan kuku.

Bila datuk memeriksa seluruh kawasan reban ayam, datuk menemui beberapa cebisan kain putih yang ada kesan darah kering dan tanah merah.

Sedang datuk asyik membelek-belek ketul tanah dan kain putih itu, lelaki tuan rumah menghampiri datuk.

"Setiap kali benda tu datang, habis perut ayam di makannya”, ujar lelaki itu dan datuk angguk kepala.

Datuk meletakkan tanah merah dan kain ke tempat asalnya. Saya termenung panjang. Datuk mengajak lelaki itu masuk ke ruang dapur rumah. Semua kuali dan periuk dan nasi berselerak.

Lebih kurang pukul sepuluh pagi beberapa orang penduduk setempat datang menemui datuk.

Mereka bercerita pada datuk, sejak berlakunya peristiwa aneh di kampung tersebut, banyak ayam peliharaan mereka mati akibat ditebuk perutnya oleh makhluk aneh itu.

Manakala bahagian dapur rumah mereka hampir setiap malam kena geledah. Nasi yang tinggal di periuk habis di makan oleh makhluk ganjil itu.

Biasanya periuk yang sudah disentuh oleh makhluk ganjil itu tidak boleh digunakan lagi. Meninggalkan bau yang cukup busuk.

Macam selalu datuk memberikan janji untuk membantu mereka mengatasi masalah tersebut.

Datuk juga meminta mereka supaya jangan melakukan sesuatu terhadap lelaki yang isterinya menjadi makhluk ganjil.

"Semuanya terjadi bukan atas kemahuannya. Tentu tidak baik orang lain yang membuat salah dan orang lain pula yang menerima hukuman”, kata datuk memberitahu mereka.

Ternyata keterangan yang datuk berikan amat memuaskan hati mereka. Dan mereka pun pulang.

Selepas sembahyang Zohor, datuk dan saya dengan ditemani oleh Uda Lodin terus menemui Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung. Mengadakan mesyuarat kecil di dewan orang ramai.

Semua Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung bersetuju menyerahkan pada datuk untuk mengatasi masalah yang menimpa kampung.

Mereka berjanji akan memberi sebarang pertolangan sekiranya datuk memerlukan pertolongan.

Bila mesyuarat itu berakhir, datuk mengajak semua Ahli Jawatankuasa Kemajuan kampung sembahyang Asar di surau. Datuk jadi imarnnya.

Dari surau kecil, kami pun menuju ke tanah perkuburan. Lelaki malang itu terus menunjukkan kepada datuk, kubur isterinya.

Seluruh kawasan kubur isteri lelaki itu di

periksa. Tidak terdapat sebarang keganjilan. Nisan yang dibuat dari kayu teras berbentuk bunga rebung tetap utuh dibahagian kepala dan kaki. Pokok puding tetap hidup subur.

Uda Lodin terus menguis-nguiskan dedaun getah kering yang menepuk tanah perkuburan itu dengan ranting getah.

Beberapa orang Ahli Jawatan kuasa Kemajuan kampung meminta diri untuk pulang kerana urusan masing-masing.

Matahari petang kian menurun. Suasana di tanah perkuburan terasa sunyi. Dua kali saya mengajak datuk pulang tapi datuk tak mahu pulang. Dia masih mahu mencari sesuatu di situ.

Uda Lodin terus membersihkan kubur dan lelaki yang kematian isteri termenung di pangkal getah.

"Pukul berapa sekarang?", tanya Uda Lodin pada datuk.

Cepat-cepat datuk renung ke langit. Datuk kerutkan dahi sambil merenung muka Uda Lodin.

"Lebih kurang pukul empat setengah”, kata datuk pendek.

Lelaki yang duduk di pangkal pokok getah segera bangun. Menuju kebahagian batu nisan dibahagian kaki. Dia terus menolak segala dedaun kering yang terdapat di situ.

"Lubang”, katanya.

Saya segera meluru ke situ. Memang terdapat satu lubang dalam ukuran satu kaki bulat. Bila saya mahu menjenguk ke dalam lubang, datuk datang dan menolak saya ke tepi.

Kerana hari sudah beransur gelap saya tidak dapat mengagak berapa dalam lubang itu.

Datuk mahu menimbus lubang, namun hasrat datuk tidak terlaksana kerana kami tidak membawa cangkul. Uda Iodin menutup lobang itu dengan daun-daun kayu kering.

"Dah berapa lama isteri kamu meninggal?", mendadak saja datuk menyoal lelaki itu.

Uda Lodin merenung ke arah tepi kawasan perkuburan yang penuh dengan pepohon keduduk dan anak-anak getah yang terpegun dalam kesamaran senja yang kian gelap.

Suasana cukup sepi. Saya mula terasa takut . Saya takut melihat batu-batu nisan yang terpacak.

"Hari ini genaplah 44 hari”, jawab lelaki itu, serentak dengan itu saya terdengar pokok-pokok kecil di pinggir kawasan perkuburan digoncang orang. Saya menoleh ke arah bunyi itu.

Disebabkan suasana bertambah gelap saya tidak nampak samada pokok-pokok di situ bergoyang atau tidak. Saya juga mula terdengar bunyi orang mencarik-carik kain dan bunyi papan kena ketuk.

Semuanya datang dari arah hutan kecil di pinggir kawasan perkuburan. Bila bunyi itu hilang, saya terdengar bunyi suara orang perempuan menangis.

Pada mulanya saya mengira semuanya berpunca dari perasaan saya yang takut. Bila Uda Iodin sendiri memberitahu saya bahawa dia juga mendengar seperti apa yang saya dengar, ternyata saya tidak berkhayal. Satu kenyataan yang berlaku di depan mata yang tidak boleh dilihat.

"Ada macam-macam bunyi saya dengar, macam suara isteri saya”, lelaki kematian isteri menyatakan pada datuk dan saya.

Datuk diam. Perasaan saya sudah tidak damai. Saya sentiasa berdiri dekat datuk. Kemudian datuk pun mengajak kami pulang.

Sepanjang jalan pulang kami terdengar bunyi tapak kaki manusia mengikuti langkah kami. Bila direnung kebelakang, tidak ada apa-apa yang kelihatan.

Kami berpisah dengan Uda Lodin di kepala simpang. Dia terus menuju ke rumah tempat dia menginap. Kami meneruskan perjalanan.

Datuk bagaikan tahu yang langkah kami diekori oleh manusia atau makhluk yang tidak dapat dilihat.

Datuk menyuruh kami berjalan secepat yang boleh. Bila sampai dekat pokok besar, datuk suruh kami bersembunyi di balik pokok itu.

"Dah dekat waktu Maghrib ni”, kata datuk yang juga bersembunyi di balik pokok besar.

Datuk mengambil tiga helai daun serunai laut yang mati pangkal. Daun itu datuk genggam sambil membaca sesuatu. Datuk pun memberikan daun itu kepada kami.

"Kalau kamu nak tengok syaitan, lekapkan daun ini ke kelopak mata kamu. Kemudian kamu gigit pangkalnya dan renung ke depan.”

Arahan yang datuk keluarkan itu kami patuhi. Dada saya berdebar. Apa yang saya lihat amat menakutkan.

Saya nampak satu lembaga berjalan terloncat-loncat. Bahagian bawah lembaga itu tidak sampai ke bumi. Dia bagaikan meloncat di atas awang-awangan. Bahagian atas atau kepala lembaga itu menajam ke atas.

Kain putih yang membalut tubuh lembaga itu sudah koyak penuh dengan darah kering dan selut tanah merah. Lembaga itu menoleh ke arah kami. Bahagian mukanya sudah hancur.

Lubang matanya terpelohong ke dalam. Bahagian daging yang tinggal kelihatan menggerutu macam kulit katak puru. Tulang pipinya menonjol ke depan. Hidungnya sudah tiada tetapi, giginya masih kukuh dengan rambut hitam terurai atas bahu.

Lembaga itu mengeluarkan suara. Sekejap macam suara orang menangis dan sekejap macam suara orang mengeluh.

Serentak dengan itu, terdengar bunyi suara gagak dan suara burung tukang sayup-sayup bertingkah dengan bunyi suara burung puyuh jantan. Suasana terasa amat menyeramkan.

Lembaga itu terus meloncat ke depan tanpa menoleh ke arah kami lagi. Datuk pun meminta daun serunai laut dari kami. Daun itu datuk genggam dan terus ditanam ke dalam tanah.

Dua kali datuk melangkah kawasan yang sudah ditanam dengan daun serunai laut tersebut.

"Itulah isteri kamu. Selagi kamu tidak mengampunkan perbuatannya, dia tidak akan aman. Tetap berkeliaran di atas dunia hingga hari kiamat”, beritahu datuk pada lelaki itu.

Saya menggigit jari sambil menjeling ke wajah lelaki itu. Air mukanya nampak berubah mengundang rasa kesal yang amat sangat.

Belum pun sempat lelaki itu memberikan sebarang jawapan datuk terus mengajak kami pulang. Datuk mengajak lelaki bersembahyang Maghrib di surau. Lelaki itu menolak dengan alasan kepalanya terasa pening.

Jadi, saya dengan datuk terus ke surau, sesudah mengambil air sembahyang di kolah, saya terserempak dengan Uda Lodin di kaki tangga surau.

Atas permintaan orang-orang kampung, datuk terus jadi imam untuk sembahyang Maghrib, jadi tugas datuk bersambung lagi.

Waktu sembahyang Isyak mereka juga minta datuk jadi imam. Permintaan itu tidak datuk hampakan.

Selepas menunaikan sembahyang Isyak datuk bercakap sesuatu dengan ketua kampung. Entah apa yang mereka cakapkan saya tidak tahu.

Tetapi, selesai bercakap ketua kampung terus bangun dan bercakap dengan lantang.

"Saya minta orang yang ada disini mengikut saya ke rumah orang yang mati isteri bersama orang tua ini”, ujar ketua kampung sambil menuding jari kelingkingnya ke arah datuk.

Ketua kampung memerintah tiga orang kampung mengambil cangkul dan daun pisang abu. Orang yang diperintah itu segera keluar dari perut surau.

Beberapa saat kemudian orang yang diperintah mencari cangkul dan daun pisang pun tiba. Datuk melarang mereka masuk ke dalam surau. Datuk suruh mereka duduk di kaki tangga surau.

Angin malam terus bertiup kencang. Datuk mengambil lampu gasolin di tengah surau lalu dibawa turun. Orang dalam surau mengikut datuk turun.

"Kita ke sana semuanya. Tetapi, sepanjang jalan menuju ke rumah itu saya minta orang yang ada ini membaca surah Alfatihah dan Qulya di dalam hati, jika ada sesuatu yang ganjil jangan tegur atau direnung.”

Tiba-tiba semua orang yang berada di halaman surau terkejut. Lampu gasolin padam dengan sendirinya, beberapa ketul tanah merah melayang dalam gelap malam mengenai tubuh badan orang yang berkumpul. Suasana menjadi gawat.

Datuk pun menekup kedua belah telinganya dengan tapak tangan. Bila datuk menjatuhkan kedua belah tangannya seperti sedia kala, bau busuk mula menerpa ke dalam lubang hidung orang ramai bersama dengan bunyi suara orang ketawa yang amat memanjang.

Bunyi bergegar, bagaikan digoyang oleh satu tenaga yang amat kuat.

Lampu gasolin kembali menyala. Saya melihat beberapa kumpulan kelip-kelip datang menuju ke arah kami.

Cahaya yang keluar dari punggung kelip-kelip itu menerangkan sebahagian daripada halaman surau.

Datuk membuka kain ikat kepalanya lalu mengibas ke arah kelip-kelip itu hingga kumpulan kelip-kelip itu berpecah dan hilang.

Beberapa orang yang berkumpul di halaman surau terus menghilangkan diri. Kumpulan yang berjumlah lebih dari dua puluh orang itu menjadi kecil jumlahnya. Tinggal kira-kira lima orang.

Datuk tersenyum, dia tahu kumpulan yang lain sudah pulang ke rumah masing-masing. Tidak sanggup berhadapan dengan percubaan dari syaitan.

"Kita bergerak sekarang”, kata datuk.

Kumpulan yang tinggal pun bergerak menuju ke rumah lelaki itu. Semuanya berjalan dengan tenang dan jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.

Lebih kurang setengah rantai mahu sampai ke kawasan rumah lelaki itu. Dua orang dari kumpulan itu melarikan diri setelah mereka melihat satu lembaga besar setinggi pokok kelapa berdiri di halaman rumah lelaki itu.

"Begini, saya tidak mahu rancangan ini gagal. Saya minta sesiapa yang tidak sanggup bersama saya, sila beritahu saya”, kata datuk.

Uda Lodin muncul di depan datuk bersama ketua kampung. Mereka menyatakan tidak sanggup untuk menyertai datuk. Dengan rela hati datuk membenarkan mereka pergi.

Tinggallah saya bersama datuk dan seorang penduduk kampung yang bernama Kamal. Kami meneruskan perjalanan dan masuk ke dalam kawasan rumah lelaki itu.

Sebaik saja berada di depan tangga rumah lelaki itu, Kamal terus jatuh pengsan sesudah dia melihat wajah seorang perempuan yang amat hodoh memangku kepala lelaki di muka pintu.

Datuk terpaksa mengeluarkan sehelai daun sireh dari saku baju sebelah kiri. Daun sireh itu di kunyah-kunyahnya hingga hancur. Datuk menyemburkan daun sirih itu ke muka Kamal sehingga Kamal sedar dari pengsannya.

"Kau makan daun sirih ini”, datuk menghulurkan secebis daun sirih lain kepada Kamal.

Kamal terus mengunyahnya hingga mukanya jadi merah.

"Apa rasa kau, ada rasa takut?”, soal datuk lagi.

"Tak ada”, jawab Kamal serentak dengan itu wajah perempuan hodoh di muka pintu terus ghaib.

Hanya yang tinggal batang tubuh lelaki dengan bekas kena gigit di bahagian pipi dan pangkal leher. Bila saya mahu menyentuh tubuh lelaki itu datuk segera melarangnya.

"Jangan di sentuh nanti kau kena badinya”, kata datuk.

Saya terdiam. Datuk pun memulihkan lelaki yang tidak sedarkan diri itu. Lelaki yang kelihatan lesu itu tidak boleh bangun dan terpaksa diusung ke tanah. Datuk membiarkan lelaki itu terkapar dihalaman.

Dengan pertolongan sinar gasolin, saya melihat lelaki itu cuba bangun tetapi dia tidak berdaya. Datuk dan saya serta Kamal terus masuk ke bawah rumah.

Dalam beberapa saat lembaga perempuan itu muncul dan cuba menghampiri lelaki yang terkapar di halaman.

Lelaki itu cuba menjerit. Suaranya tidak keluar. Lelaki itu cuba bangun tapi ternyata dia tidak berdaya.

Datuk menepuk bumi dengan tangan kirinya sebanyak tiga kali. Lembaga dengan wajah yang amat menakutkan itu merenung ke arah kami. Saya dan Kamal tidak sanggup memandangnya, segera merenung ke arah lain.

Datuk bangun dan menghampiri lembaga itu. Datuk dan lembaga itu berhadapan antara satu sama lain. Lagi sekali saya lihat mulut datuk berkumat-kamit membaca sesuatu.

Lembaga itu bagaikan ditekan oleh sesuatu kuasa segera sujud di kaki datuk. Datuk tidak ambil kisah lalu mengambil tanah dan dikepal-kepalnya tanah itu dengan tangan.

"Dari tanah asalmu, ke tanahlah kembalimu”, suara datuk cukup lantang.

Tanah yang dikepalnya dikenakan pada bahagian tubuh lembaga itu. Satu jeritan yang amat menakutkan berlaku di malam yang sepi.

Lembaga itu hilang dan tempatnya segera digantikan dengan beribu-ribu kelip-kelip sambil mengeluarkan cahaya yang amat terang.

Kelip-kelip itu berkumpul dan memanjang naik ke udara. Datuk segera menyuruh Kamal mengambil cangkul dan kami bertiga meredah malam menuju ke tanah perkuburan.

Saya membawa lampu gasolin. Kami segera menuju ke kubur perempuan yang kami temui siang tadi.

Datuk tanpa membuang masa terus merebut cangkul dari tangan Kamal. Lubang yang terpelohong segera datuk timbus.

Sebaik saja lubang di timbus, terdengar suara ribut yang amat kuat, dahan-dahan kering berjatuhan.

Batu nisan di perkuburan saya lihat bagaikan bergerak-gerak. Bila suara ribut hilang tanah perkuburan kelihatan terang dari cahaya kelip yang datang beribu-ribu banyaknya. Saya terdengar suara orang menangis.

"Kita pulang. Dia akan berkeliaran di muka bumi ini sehingga hari kiamat”, kata datuk dan kami pun terus pulang.

Waktu kami sampai di rumah lelaki itu hari sudah subuh. Lelaki malang itu masih terkapar atas tanah. Datuk terus merawatnya hingga pulih.

"Kau ampunkanlah dosa isterimu”, bisik datuk pada lelaki itu.

"Saya bersedia mengampunkannya. Tetapi saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya”, terang lelaki itu dengan jujur.

Hari beransur cerah. Fajar mula terbit di kaki langit. Datuk membawa lelaki itu ke perigi lalu memandikannya.

Tamat siri 26/284

BACA: SBDJ Siri 25: Sumpah Nasi Tangas
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/03/sbdj-siri-26-isterinya-jadi-kelip-kelip.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 22 Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja

Sbdj Siri 22 Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja

papar berkaitan - pada 25/2/2019 - jumlah : 421 hits
Datuk rebah ke bumi Batang tubuh ketua pukau terlepas dari pelukannya Mat Jali menghampiri ketua pukau yang sudah kaku itu Dari lubang hidung dan telinga keluar darah yang merah kental Saya menghampiri datuk Tubuhnya masih berwarna biru Mun...
Sbdj Siri 25 Sumpah Nasi Tangas

Sbdj Siri 25 Sumpah Nasi Tangas

papar berkaitan - pada 5/3/2019 - jumlah : 270 hits
Suasana di pekan kecil Terung di pagi Selasa dalam musim tengkujuh cukup lembab Lopak Iopak yang terdapat berhampiran bangunan bangunan kedai di situ ditakungi air akibat hujan yang memanjang pada sebelah malamnya Saya dan datuk masih lagi ...
Sbdj Siri 23 Roh Bayi Cari Ibu

Sbdj Siri 23 Roh Bayi Cari Ibu

papar berkaitan - pada 27/2/2019 - jumlah : 275 hits
Datuk menggigit bibir Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu Dari wajah Norlin mata datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya Mahu halau siapa Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini ulang datu...
Sbdj Siri 24 Puaka Tiang Seri

Sbdj Siri 24 Puaka Tiang Seri

papar berkaitan - pada 4/3/2019 - jumlah : 207 hits
Lebih kurang pukul dua belas malam Tok Kaya Sendi Diraja datang menemui datuk Dia pun menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi memang tidak di duganya Kalaulah dia tahu kejadian itu akan membuka rahsia dirinya memang dia tidak akan mengu...
Dari Fail Sprm Siri 6 Bila Dan Berapa Jumlah Sogokan Di Bayar Kepada Lim Guan Eng

Dari Fail Sprm Siri 6 Bila Dan Berapa Jumlah Sogokan Di Bayar Kepada Lim Guan Eng

papar berkaitan - pada 1/3/2019 - jumlah : 434 hits
Di dalam kenyataan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Zarul ada menyatakan berapa kali dia menyogok dan jumlah disogok olehnya kepada Lim Guan Eng Nama lain yang turut terlibat juga seperti Timbalan Ketua Me...
Dari Fail Sprm Siri 7 Zarul Berkata Dia Juga Membayar Nazri Aziz Sebanyak Rm500 000

Dari Fail Sprm Siri 7 Zarul Berkata Dia Juga Membayar Nazri Aziz Sebanyak Rm500 000

papar berkaitan - pada 2/3/2019 - jumlah : 449 hits
Di dalam kenyataan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Zarul mengatakan bahawa dia juga membayar RM500 000 kepada Nazri Abdul Aziz kawan kepada Lim Guan Eng dan yang memperkenalkannya kepada Guan Eng THE CORR...
Hukum Apabila Suami Melarang Isterinya Menziarahi Ibubapa Sendiri Semua Yang Bergelar Isteri Wajib Tahu

Hukum Apabila Suami Melarang Isterinya Menziarahi Ibubapa Sendiri Semua Yang Bergelar Isteri Wajib Tahu

papar berkaitan - pada 26/2/2019 - jumlah : 483 hits
Tidak kira ibu bapa itu daripada pihak suami mahupun daripada pihak isteri Berkahwin bukan sekadar mengikat tali hubungan antara seorang lelaki dan perempuan malah perkahwinan itu ialah jambatan bagi membina persaudaraan antara keluarga lel...
Tindakan Suami Yang Penyayang Menyuap Isterinya Dan Kelakuan Mereka Segera Ditiru Oleh Anak Kecil Mereka

Tindakan Suami Yang Penyayang Menyuap Isterinya Dan Kelakuan Mereka Segera Ditiru Oleh Anak Kecil Mereka

papar berkaitan - pada 6/3/2019 - jumlah : 371 hits
Melentur buluh biarlah dari rebungnya itulah satu satunya perkara yang terlintas di dalam kotak fikiran apabila menyaksikan rakaman yang menyentuh hati ini Kanak kanak sentiasa akan belajar daripada apa yang dipaparkan di hadapannya terutam...
Lirik Lagu Curang Abg Pau

Tanah Melayu Sg Baru Diambil W Azizah Jual B Putih

The Future Of Nutrient Analysis In Cannabis Cultivation

Verizon Accessories Must Have Gadgets To Boost Your Device Performance

Siti Kasim Pas Loyalists Are Fools If They Fall For The Jihad Fundraising Drive To Save Siti Mastura S Skin

10 Myanmar Nationals Found In Car After Crash

Watercolor Apartment For A Young Family With A Maine Coon

Pas Launches Donation Drive To Help Mp Settle Rm825 000 Defamation Bill


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Curang Tanpa Niat Slot Megadrama Astro Ria

5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton


Joker123th 100

Rahman Lao Masakan Cina Asli Muslim Di Bangi

Cuti Sekolah Tak Bosan Pelbagai Aktiviti Untuk Anak Anak

Telefilem This Is Pilah

Tip Masak Sagu Supaya Hasilnya Cantik Tak Melekat

5 Waktu Nabi Larang Ke Rumah Orang Ustaz Kazim Elias