Sbdj Siri 22 Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja


Datuk rebah ke bumi. Batang tubuh ketua pukau terlepas dari pelukannya. Mat Jali menghampiri ketua pukau yang sudah kaku itu. Dari lubang hidung dan telinga keluar darah yang merah kental. Saya menghampiri datuk. Tubuhnya masih berwarna biru. Muntah darahnya sudah berhenti. Datuk membuka tangannya perlahan-Iahan.


Tengkorak yang dipegangnya menjadi hitam, macam arang dan akhimya bertukar menjadi serbuk halus macam amang bijih yang dibuang.

"Campakkan ke air," kata datuk.

Saya mengambil serbuk hitam itu. Bila berada di atas tapak tangan saya, seluruh badan terasa panas. Cepat-cepat saya humbankan ke dalam air sungai.

Datuk cuba bangun. Dia tidak berdaya. Setiap kali dia bangun, dia akan rebah. Bagaikan sendi tulang di kepala lututnya sudah hancur. Saya jadi kelam-kabut.

Mat Jali masih lagi memeriksa tubuh badan ketua pukau. Secara kebetulan sebuah jeep tentera lalu di situ. Mat Jali menahan jeep tersebut.

Setelah berunding, pemandu jeep itu bersetuju membawa mayat ketua pukau ke Balai Polis Kampar.

"Biar saya uruskan datuk saya di sini, kalau boleh encik sampai ke sana, cuba ikhtiarkan sebuah ambulan untuk datuk saya."

"Saya cuba," itu janji yang diberikan oleh Mat Jali pada saya.

Mereka pun berlepas ke Kampar. Saya merawat datuk mengikut arahan-arahan yang dikeluarkannya.

Walaupun ada orang yang lalu Ialang dijalanraya, mereka tidak menghiraukan kami.

Pada sangkaan mereka saya dan datuk pencari rotan yang sedang melepaskan penat di situ.

"Carikan aku daun serunai laut, pucuk daun semuka dan campurkan dengan air sikit.

"Ramas daun-daun itu hingga hancur dan sapukan pada kepala lutut aku,” perintah datuk yang terpaksa saya lakukan.

Hasilnya amat mengejutkan, bila disapu ke kepala lutut dengan iringan jampi tertentu dari datuk, saya lihat dia boleh bangun.

Walaupun begitu, warna biru di tubuhnya tidak juga mahu hilang. Malah wajah datuk kelihatan lebam macam di pukul sesuatu.

Saya bagaikan mahu menangis bila datuk tidak berdaya melangkah. Dia bagaikan terlupa macam mana mahu berjalan.

Datuk sandarkan badannya pada sebatang pokok dekat situ.

"Badan aku terasa bisa-bisa, kepala terasa kosong,” datuk mengadu pada saya sambil meraba batang pokok di belakangnya.

"Apa yang mesti saya buat tok?”

"Tak ada satu pun yang dapat kau buat, kalau janji aku sudah sampai untuk menemui Allah.”

"Tapi kita harus berikhtiar.”

"Aku tahu, tetapi kau bukan orangnya untuk membantu aku dalam hal ini.”

"Kalau bukan saya, siapakah orangnya tok?"

Datuk terdiam. Badannya jatuh perlahan ke atas bumi. Dia jatuhkan kedua belah kakinya. Saya pun urut kaki datuk.

"Dalam dunia ini tidak ada sesiapa pun yang boleh mengaku handal dalam apa juga bidang.

"Kalau dia merasa dirinya handal, itu hanya perasaan. Sedangkan ada orang yang lebih handal darinya dan kehandalan diri orang itu pula tertakluk di bawah kekuasan Allah."

Sesungguh saya tidak tahu, apakah cakap itu ditujukan pada saya oleh datuk.

Saya perhatikan dalam saat-saat begitu, datuk bercakap ikut suka hati saja. Inilah yang membimbangkan hati dan perasaan saya.

Sedang saya diamuk keresahan, Mat Jali dan ambulan pun tiba. Datuk diusung ke dalam perut kereta ambulan untuk dibawa ke rumah sakit Kampar.

Datuk pun diberi rawatan segera. Bagi menghilangkan warna biru dan lebam, datuk terpaksa diberi suntikan ubat.

Datuk tidak mahu menerimanya Menurut Datuk suntikan itu akan memberikan kesan yang kurang baik dalam lubuhnya.

Mat Jali dan saya terpaksa memujuknya namun datuk tidak berganjak dari keputusannya. Saya memujuknya dengan sedaya upaya yang boleh.

"Tok, suntikan itu untuk memberi kerehatan pada datuk,” kata saya.

"Maksudnya?"

”Bila datuk dicucuk, datuk akan tidur. Tok dapat tenaga,” tambah saya sambiI merenung muka Mat Jali supaya dia mengakui kebenaran cakap saya itu.

Setelah termenung lebih dari sepuluh minit, datuk pun setuju untuk melakukan suntikan.

Saya terkejut bila seorang jururawat yang bertugas memberitahu saya, sudah tiga batang jarum patah ketika doktor melakukan suntikan di bahu datuk. Dan doktor tidak mahu meneruskan kerjanya.

"Apa yang mesti saya buat?" tanya saya pada jururawat tersebut, sambil merenung ke muka Mat Jali yang duduk di sebelah saya.

"Bagaimana? Boleh kami masuk ke dalam?" Mat Jali mengajukan pertanyaan. Jururawat berketurunan Pakistan tersenyum.

"Boleh. Tuan doktor memang mencari warisnya."

"Sebab?"

"Doktor nak tanya sikit," beritahu jururawat.

Saya dan Mat Jali masuk kedalam bilik. Doktor Melayu berkulit hitam itu mempersilakan saya dan Mat Jali duduk.

"Saya orang Melayu, sudah belajar ke luar negeri, tetapi saya tidak membuang kepercayaan dan keyakinan saya pada ilmu batin," ujar doktor itu sambil menggigit bibir.

Dia lalu memperkenalkan namanya pada kami. Namanya Abdul Mutalib, anak jati Batu Pahat, Johor.

Baru sebulan bertugas di Kampar, sebelum itu dia bertugas di Hospital Besar Alor Setar, Kedah.

"Saya kurang faham dengan cakap tuan," suara Mat Jali tenang.

"Kalau orang Melayu tidak percaya pada kuasa ghaib dan kebatinan, ertinya dia bukanlah orang Melayu tulin.

"Kekuasaan ghaib, dukun dan pawang adalah sebahagian dari teras bangsa kita. Kerana itu saya panggil awak.”

"Orang tua ini ada memakai ilmu tahan besi. Suruh dia buka," doktor itu merenung muka saya.

Fahamlah saya. Doktor itu memerlukan bantuan dari saya. Saya pun rapat kepada Datuk.

Saya membisikan ke telinganya, "Bukalah datuk, untuk faedah diri datuk."

"Buka apa?" sergah datuk pada saya.

"Tahan besi."

”Tahan besi?" ulang datuk.

"Ya tok."

Datuk terdiam. Dia merenung muka saya. Sinar matanya cukup lembut seolah-olah dari sinar matanya terucap perkataan ini,

"Demi kasih sayangku padamu Tamar, aku lakukan apa saja.”

Saya resah. Datuk memejamkan matanya. Mulutnya terkumat-kumit membaca sesuatu. Kemudian dia suruh saya memotong kuku di ibu jari sebelah kiri.

Kuku yang sudah di potong itu mesti dilipat tiga dan diletakkan di celah ketiak kanannya.

Apa yang dilakukan oleh saya diperhatikan oleh doktor itu dengan penuh minat. Bila semuanya sudah selesai, lagi sekali datuk merenung saya dengan senyum.

"Sudah," pendek saja dia berkata.

Doktor pun tersenyum. Dia mengambil jarum lalu melakukan suntikan. Semuanya berjalan dengan sempurna.

Tidak lama datuk berada di hospital, cuma dua hari sahaja. Masuk hari yang ketiga, dia minta keluar.

Datuk membuat keputusan untuk tinggal di rumah Mohd Zain, di Batu Berangkai, Kampar. Mohd Zain, seorang pemborong kelas F dengan Jabatan Kerja Raya daerah Batang Padang.

Dia mengenali datuk kira-kira dua tahun yang lalu, ketika membawa isterinya yang diserang sakit lumpuh berubat dengan datuk.

Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, sakit lumpuh yang dideritai oleh isterinya sejak bertahun-tahun itu di sembuhkan oleh datuk. Sejak itu, dia menjadikan datuk sebagai ayah angkatnya.

Di Batu Berangkai, datuk mengubati sakitnya dengan caranya yang tersendiri.

Setiap pagi dia akan mandi air dari gunung dan memakan beberapa jenis pucuk kayu pada sebelah petangnya.

Seminggu kemudian datuk beransur pulih dan sihat.

Semasa tinggal di Batu Berangkai, Mohd Zain memperkenalkan datuk dengan jutawan Melayu yang di lantik oleh Sultan Perak pada masa itu.

Jutawan Melayu itu mempunyai beberapa buah lombong di Menglembu, Pusing, Batu Gajah dan Papan.

Dia juga mempunyai beberapa buah rumah batu di daerah Kinta dan Batang Padang.

Dia lebih suka berhubung dengan Mohd Zain untuk membaiki sebarang kerosakan di rumahnya.

Salah sebuah rumah batunya terletak dikawasan Sungai Raya. Rumah itu diwarisi dari arwah ayahnya. Besar tersergam terletak tidak jauh dari jalan besar.

Dia tinggal di situ bersama isteri dan dua anak perempuannya, sementara rumahnya yang lain didiami oleh anak buah jutawan itu sendiri.

Salah seorang anak perempuannya menuntut di Universiti Malaya, ketika itu bertempat di Singapura, dalam jurusan kedoktoran.

Selain daripada mempunyai harta yang banyak, jutawan itu juga mempunyai dua orang isteri.

Isteri mudanya pula ada pertalian keluarga dengan Mohd Zain.

Perkenalan yang terjalin di rumah Mohd Zain itu, secara tidak langsung memberikan satu tugas baru pada datuk.

Jutawan itu meminta datuk memberikan pendinding di kawasan rumahnya, supaya tidak dimasuki oleh pencuri. Kerana tugas itu tidak berat, datuk bersedia menolongnya.

"Berapa upahnya? Seratus atau tiga ratus," jutawan itu menyoal datuk.

Saya lihat datuk tersenyum dan menyandarkan badan pada dinding rumah Mohd Zain.

Muka Mohd Zain saya lihat berubah sedikit.

"Kita bukan hidup dengan kerja ini, harta kita pun ada untuk makan pakai anak cucu.

"Kalau sekadar untuk menolong ke jalan baik tak jadi hal," jawab datuk pada pertanyaan jutawan itu, yang merupakan satu sindiran yang tajam. Jutawan itu tunduk.

"Maafkan saya, kalau cakap tadi menyakitkan hati. Saya sekadar mahu bersedekah saja," nada suara jutawan itu mula menurun.

"Sedekah saja wang itu ke rumah anak yatim," tingkah datuk. Jutawan itu anggukkan kepala.

"Bila bapak mahu menolong Tok Kaya Sendi Raja?" Mohd Zain memotong percakapan.

Datuk urut pangkal dagunya. Dia merenung muka jutawan itu dua tiga kali. Jutawan kelihatan resah.

"Saya terpaksa pergi setidak-tidaknya tiga senja ke sana."

"Kalau begitu duduk saja dirumah saya.”

"Begini saja. Minggu depan saya minta anak angkat saya ni hantar saya ke rumah Tok Kaya.”

"Terpulang ikut mana yang baik. Baik pada awak, baiklah pada saya,” kata Tok Kaya sambil tersenyum.

Lalu dia minta diri untuk pulang dari datuk. Mohd Zain menghantar jutawan itu hingga ke keretanya di tepi jalan besar.

Pagi itu datuk memberitahu Mohd Zain, anak angkatnya, yang dia mahu pergi mendaki gunung yang terletak di bahagian tepi kawasan Pekan Kampar.

"Buat apa ke sana pak?" tanya isteri Mohd Zain sambil menghidangkan kopi dan roti.

"Nak cari buluh tumpat."

"Buat apa?" sahut Mohd Zain.

”Untuk menolong Tok Kaya," jawab datuk.

Itu memuaskan hati Mohd Zain dan isteri, serta saya.

Dengan menaiki kereta Moris Minor kepunyaan Mohd Zain, beliau menurunkan saya dan datuk dekat sekolah Inggeris di Kampar.

Dari situ saya dan datuk masuk ke dalam hutan. Lebih kurang pukul empat petang, kami kembali ke rumah Mohd Zain di Batu Berangkai.

Sebaik saja sampai di rumah, datuk pun memotong buluh tumpat itu sepanjang satu kaki.

Buluh yang sudah dipotong itu berjumlah empat semuanya, diletakkan di bawah rumah.

Tidak ada kejadian ganjil yang kami temui semasa di hutan, jadi tidak ada cerita yang menarik untuk diceritakan pada Mohd Zain yang cukup kagum dan hormat dengan datuk.

Selepas sembahyang Isyak Mohd Zain masih bercakap dengan datuk di anjung rumah.

Mohd Zain meminta ilmu pengasih dari datuk dengan tujuan supaya setiap orang yang ditemuinya akan jadi kasih padanya dan mempelawa dia untuk membuat rumah atau membuat kontrak dengannya.

Saya dengar datuk memarahi Mohd Zain kerana permintaannya itu tidak masuk akal.

Menurut datuk, kalau kerjanya baik dan ikhlas, tidak menipu sesama manusia, dengan sendirinya dia akan disayangi orang.

"Berusaha dan bekerja keraslah, kau akan mencapai kejayaan. Buat kerja dengan baik,” itulah yang dapat di tangkap oleh telinga saya.

Lepas itu saya lidak dengar apa yang mereka perkatakan. Saya terlena.

Saya tahu datuk akan melakukan sembahyang hajat. Supaya tugasnya tidak terganggu, saya lebih suka tidur bersendirian di ruang tengah rumah Mohd Zain. Biarlah datuk tidur sendirian di dalam bilik khas.

Dugaan saya itu memang tepat. Apabila subuh, datuk menyatakan sembahyang hajatnya tidak terganggu oleh dengkur saya.

"Kau sudah mula mengenali perangai aku," katanya menyindir ketika saya mengambil air sembahyang bersamanya.

"Belajar dari pengalaman,” balas saya.

"Petang esok kita pergi ke Sungai Raya,” datuk memberitahu saya lagi. Saya pun mengangguk tanda setuju.

Macam selalu, sebelum matahari bangun di kaki langit datuk akan mengajak saya mandi embun.

Saya sudah pun pandai memilih jenis daun yang baik di ambil airnya untuk membasuh muka dan badan.

Datuk juga memberitahu saya beberapa potong ayat suci yang harus saya baca ketika menyentuhkan air embun ke tubuh.

Mandi embun menyegarkan badan dan menegangkan kulit. Dengannya muka kelihatan bersih dan tidak dimamah usia.

Menyapu atau menggosokkan air embun ke badan juga harus pandai. Mesti ikut urutan.

Dengan itu perjalanan darah akan menjadi lancar, terhindar dari sakit jantung atau darah tinggi.

Selepas menunaikan sembahyang asar pada petang selasa, saya dan datuk dihantar oleh Mohd Zain ke kawasan Sungai Raya.

Jarak kawasan itu dari bandar Ipoh lebih kurang 10 kilometer ke selatan.

Kami di sambut oleh Pak Ayub Naim penjaga rumah. Tok Kaya telah pergi ke lapangan terbang bersama anak dan isterinya untuk menyambut anaknya yang bercuti. Mohd Zain bercakap sesuatu dengan Pak Ayub Naim.

"Saya balik dulu pak," Mohd Zain memberitahu datuk. Dia menghidupkan jentera kereta dan keluar dari kawasan rumah Tok Kaya Sendi Raja.

Rumah batu besar itu berbentuk lama, berunsur kesenian dari timur tengah dipadukan dengan seni bina tempatan menjadikan rumah batu dua tingkat itu kelihatan cantik dalam bentuk yang tersendiri, bersama cat kuning air yang lembut.

Berceritalah Pak Ayub Naim, orang Keramat Pulai tentang rumah batu dua tingkat itu pada kami.

Menurutnya, rumah batu itu sudah lebih dari seratus tahun usianya. Sudah tujuh keturunan dipusakai turun temurun.

Tok Kaya Sendi Diraja ialah pemilik yang ke tujuh atau keturunan yang ketujuh.

Dan selama itu pula, belum pernah terlintas di hati para pewarisnya untuk merubah bentuk dasar rumah tersebut.

Mereka hanya menambah beberapa bahagian yang tertentu saja. Bila bulan penuh muncul di langit dan cahayanya melimpah di atas bumbung rumah, keutuhan dan keunggulannya semakin nampak.

Bumbung rumah itu bagaikan memancar cahaya yang boleh menegakkan bulu roma sesiapa saja.

Kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan enggan lalu di bahagian belakang rumah tersebut meskipun di situ ada jalan dekat menuju ke kawasan rumah mereka.

Itulah cerita Pak Ayub Naim yang sudah berusia hampir enam puluh tahun itu. Sama dengan umur Tok Kaya Sendi Raja.

Saya dan datuk di tempatkan di sebuah bilik di bahagian atas ruang tengah. Bahagian atas itu cukup luas dengan empat tiang besar yang bulat, berukir dengan awan larat bunga raya dan pucuk rebung.

Bila saya berdiri di situ saya terasa ada sesuatu yang ganjil. Saya terasa diri saya seolah-olah berada jauh dari dunia nyata. Seakan-akan terlambung ke satu alam lain yang sukar saya nyatakan.

Saya laporkan perkara itu pada datuk. Dia hanya tersenyum dan tidak memberikan sebarang pendapat berhubung dengan perkara itu.

Ketika bunga senja tiba, saya dan datuk meninggalkan bilik. Kami mengelilingi rumah besar itu tujuh kali. Setiap kali sampai ke bahagian bucu rumah, datuk berhenti dan membaca sesuatu.

"Kita pusing lagi sekali untuk jadikan lapan,” beritahu datuk pada saya. Saya angguk kepala dan ikut perintahnya.

"Berhenti di sini,” mendengar perintah itu langkah saya mati. Datuk menandakan tempat itu dengan kayu.

"Kau langkah ke timur, kemudian ke barat lima kali ke belakang. Lepas itu ke utara dan ke selatan macam tadi juga.”

Arahan yang datang dari datuk saya patuh. Bila semua saya lakukan, datuk pun korek tanah dengan golok lalu menanam buluh tumpat ke dalam tanah.

"Cukuplah tu, agak-agak satu jengkal ke bumi. Tidak dikorek anjing, ah mana ada anjing, kawasan ni berpagar," datuk bercakap seorang diri. Saya tersenyum.

Bila dia menuju ke halaman rumah, Tok Kaya Sendi Diraja dan dua orang anaknya baru saja keluar dari perut kereta Chevrolet besar.

"Macam mana, sudah selesai?" itu yang di tanyakan oleh Tok Sendi Diraja pada datuk.

"Belum selesai. Lagi tiga penjuru belum di taruh," balas datuk.

Tok Kaya Sendi Diraja terus memberitahu datuk, makan minum datuk dan saya akan di hantar sendiri oleh tukang masak ke bilik.

Satu layanan yang sungguh istimewa dari seorang jutawan pada orang biasa.

Kerana waktu maghrib sudah tiba, datuk dan saya terus naik ke tingkat atas sesudah mengambil air sembahyang.

Lepas sembahyang datuk meneruskan zikirnya. Saya keluar dari bilik mundar-mandir di ruang tengah.

Saya terkejut dan hampir menjerit, dari sudut ruang tengah yang agak suram itu keluar seorang gadis dengan pakaian diraja.

Di kepalanya terletak mahkota yang memancar, di tangannya terletak sebilah sundang. Kain labuh yang menutup badannya berwarna kuning. Saya terus lari masuk bilik.

"Kenapa, macam kena kejar syaitan."

"Ada puteri raja di sini tok.”

"Kau gila? Lain kali jangan merayau. Kalau kau bantah cakap aku, cekik kau sampai mampus,” datuk memberi amaran dengan nada suara yang marah.

Saya diam dan terus membaca surah Yassin. Datuk sudah pun selesai berzikir. Saya sudah pun menghabiskan bacaan surah Yassin.

Kami baring di atas katil kuno. Tiba-tiba daun pintu diketuk orang. Datuk buka pintu dan saya berdiri di belakangnya.

Seorang lelaki muncul, tinggi dan besar orangnya, dada berbulu memakai tanjak dan ada bintang kebesaran di tengah tanjak, serta pedang panjang di pinggang. Lelaki itu hanya muncul beberapa detik saja di hadapan kami.

Datuk segera turun ke bilik Pak Ayub Naim di bawah. Barang kali Pak Ayub Naim boleh memberikan keterangan lanjut berhubung dengan perkara aneh yang ditemui.

Dia sudah menjadi penjaga rumah semenjak ayah Tok Kaya Sendi Diraja masih hidup.

"Usah takut, anak dara itu memang salah seorang penguni rumah ini, dia hanya mengucapkan selamat datang,” katanya sambil ketawa pada datuk.

"Orang lelaki itu siapa?" soal saya.

"Dia juga macam anak dara tu. Dia memberi salam perkenalan saja pada tuan berdua. Dia tidak akan mengganggu,” jawabnya.

Temyata datuk tidak puas hati dengan jawapan itu. Tetapi dia tidak mahu mengemukakan sebarang pertanyaan lanjut.

Kami naik ke bilik atas. Hidangan sudah tersedia. Lepas makan kami sembahyang Isyak. Lepas itu saya tidur.

Empat penjuru rumah Tok Kaya Sendi Diraja sudah di tanam dengan buluh tumpat. Dengan pertolongan Allah, rumah itu tidak akan dimasuki pencuri.

Atas permintaan Tok Kaya Sendi Diraja, datuk dan saya dijemput duduk dua malam lagi dirumah itu. Tok Kaya Sendi Diraja mahu Datuk memulih semangat rumah.

Menurut Tok Kaya Sendi Diraja, dia selalu bimbang dan berhadapan dengan perkara-perkara aneh bila dia membuat kira-kira perniagaan di bilik khasnya.

Kadang-kadang dia terasa ada mahkluk lain di rumahnya.

Pernah satu ketika dia tertidur dimeja tulis, apabila dia sedar dari tidurnya, dia telah berada di atas katil disamping isterinya. Pakaiannya ditukar dengan baju tidur tanpa di sedarinya.

"Tetapi belum ada keluarga saya yang dicederakan," adu Tok Kaya Sendi Diraja pada datuk di ruang tamu bawah.

"Saya merahsiakan perkara ini dari kaum keluarga," tambahnya sambil menyatakan keyakinan bahawa datuk dapat mengatasi masalah yang dihadapinya itu berdasarkan dari cerita Mohd Zain kepadanya.

"Saya cuma boleh menolong saja,” kata datuk merendah diri. Tok Kaya Sendi Diraja tersenyum.

Sementara itu di luar, senja kian menjauh. Kedua-dua anak Tok Kaya Sendi Diraja mula meninggalkan halaman rumah.

Norbaya yang bongsu pergi ke bahagian dapur, manakala Norlin yang bercuti dari universiti melintas di depan kami.

Dia segera menaiki tangga yang menghubungkan antara ruang bawah dengan ruang atas.

Tok Kaya Sendi Diraja lalu menceritakan tentang anaknya Norlin, yang akan tamat pengajian doktornya akhir tahun ini.

Belum pun cerita itu tamat, kami bertiga terkejut. Isteri Tok Kaya Sendi Diraja menerpa ke arah kami.

Satu jeritan nyaring dan keras menguasai rumah dua tingkat itu yang datang dari bahagian atas.

"Itu jeritan Norlin," kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.

Kami pun segera memijak anak tangga yang berbentuk melingkar itu.

Sampai di atas, Tok Kaya Sendi Diraja segera membuka pintu bilik yang selalu Norlin gunakan ketika menghabiskan cuti dari universiti.

Norlin terduduk dipinggir tempat tidur dengan nafas yang sesak, mukanya pucat benar.

"Ada apa Norlin?", tanya Tok Kaya Sendi Diraja.

Norlin tidak menjawab. Peluh halus tumbuh di dahi. Di luar hari kian gelap. Terdengar suara gagak sesat menjerit di dahan pokok kekabu.

"Ada apa nak?", soal isterinya pula.

Ketika itu Pak Ayub Naim pun tiba. Angin kian keras masuk ke dalam ruang rumah. Langsir bergerak-gerak dengan hebatnya.

"Ada apa Norlin? Cakaplah,” pujuk Tok Kaya Sendi Diraja.

Norlin bangun dan terus memeluk ibunya. Dia menangis di atas dada ibunya semahu-mahunya.

Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mengusap rambut anak perempuannya dengan penuh kasih sayang.

"Kau nampak manusia di sini," Pak Ayub bertanya dengan nada suara yang cukup lembut pada Norlin yang hanya mengangkat bahu saja.

Peristiwa yang terjadi itu memaksa saya duduk sendirian duduk di bilik. Datuk pergi menemui Tok Kaya Sendi Diraja di biliknya.

Datuk bertanya tentang salasilah keturunan Tok Kaya Sendi Diraja dari A hingga Z.

Kira-kira pukul sepuluh malam, datuk masuk ke bilik tidur. Dia termenung panjang di atas katil kuno.

Saya tidak berani bertanya apa yang di perkatakannya dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Saya biarkan datuk mengelamun sendirian.

Angin malam berhempas pulas di luar. Dahan-dahan kayu bergoyang keras. Langit hitam, bulan pun tidak timbul di langit.

Saya resah tidak menentu, bagaikan ada makhluk asing berdiri di hujung kaki. Datuk masih bertafakur di atas katil kuno.

Tiba-tiba saya terdengar sesuatu yang keras berlaku diluar rumah seperti bunyi dahan kayu dipatah orang.

Saya rasa badan saya dilangkah oleh sesuatu. Bulu roma tengok saya tegak berdiri.

Angin kian keras bertiup. Jendela rumah terbuka dengan sendiri. Saya lihat ada lembaga samar-samar masuk kedalam ikut jendela yang terdedah.

Angin berhenti bertiup. Diganti dengan titik hujan. Saya tidak tahu kenapa badan saya berpeluh.

Kepala saya bagaikan di jamah orang. Ada benda sejuk menyentuh pipi saya, sejuknya bukan kepalang macam hidung orang mati.

Saya menepis, tidak ada yang kena sasaran. Saya hanya menepis angin. Tiba-tiba pintu bilik diketuk orang. Datuk melompat dari atas katil dan membuka pintu.

"Anak saya Norlin,” ujar Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah cemas.

"Kenapa?", soal datuk.

"Berjalan dan menari sendirian."

"Allah," keluh datuk.

Kami pun berlari menuju ke bilik Norlin. Memang benar, Norlin sedang menari macam tarian klasik orang India.

Datuk menyuruh Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya merebahkan Norlin ke atas katil.

Norlin mengikut tanpa sebarang perlawanan. Bila Norlin di baringkan, jam kuno di tengah rumah berbunyi dua belas kali.

Hujan kian menjadi -jadi di luar. Saya rasa bilik itu terlalu panas. Saya juga terasa ada makhluk asing beratus-ratus orang mengisi dalam ruang bilik.

Makhluk itu tidak dapat dilihat tetapi bukti yang menunjukkan makhluk asing berada di situ memang ada.

Buku-buku bacaan Norlin ada yang terbuka dan tertutup dengan sendiri. Pensil dan pen yang terbuka juga tertutup dengan sendiri.

Hal itu tidak di sedari oleh Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya. Mereka asyik melihat Norlin.

Muka Norlin pucat, keningnya berkerut dan peluh-peluh halus membintit di kening.

Seolah-olah Norlin berhadapan dengan sesuatu yang amat menakutkan. Matanya tegak merenung ke atas. Sesekali dia tersenyum.

"Norlin, Norlin emak ada di sini," kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja sambil menggoncang badan Norlin yang matanya terbeliak.

"Usir dia, halau dia. Jangan beri dia masuk!" jeritnya sekuat hati.

"Siapa dia nak? Cakap dengan saya," rayu datuk.

Norlin merenung ke pintu, berpaling ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sesiapa pun di situ.

Tamat siri 22/284

BACA: SBDJ Siri 21: Berguru Dengan Syaitan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/02/sbdj-siri-22-penunggu-rumah-tok-kaya-sendi-diraja.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 19 Diresapi Semangat Monyet

Sbdj Siri 19 Diresapi Semangat Monyet

papar berkaitan - pada 15/2/2019 - jumlah : 290 hits
Langit di Batu Enam Belas Jalan Tapah Cameron Highlands malam itu cukup cerah Bah Lanjut dan datuk terus berjaga di pangkal pokok Jelutung patah dahan Saya terus mencampakkan dahan dan ranting kayu ke dalam unggun api di belakang pondok Bah...
Sbdj Siri 23 Roh Bayi Cari Ibu

Sbdj Siri 23 Roh Bayi Cari Ibu

papar berkaitan - pada 27/2/2019 - jumlah : 275 hits
Datuk menggigit bibir Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu Dari wajah Norlin mata datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya Mahu halau siapa Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini ulang datu...
Sbdj Siri 20 Memburu Raja Pukau

Sbdj Siri 20 Memburu Raja Pukau

papar berkaitan - pada 18/2/2019 - jumlah : 284 hits
Datuk mengambil keputusan untuk pulang saja ke perkampungan orang asli Bah Lanjut tidak membantah dengan keputusan yang di buat oleh datuk itu Kami meredah hutan untuk pulang Kami sampai di perkampungan orang asli ketika bulan sudah berada ...
Tak Ada Orang Beritahu Apa Apa Ke Sebelum Masuk Ke Rumah Tu

Tak Ada Orang Beritahu Apa Apa Ke Sebelum Masuk Ke Rumah Tu

papar berkaitan - pada 17/2/2019 - jumlah : 515 hits
Tak ada orang beritahu apa apa ke sebelum masuk ke rumah tu Sekadar perkongsian untuk bacaan suka suka Bagi mereka yang lemah semangat dan mudah terbayangkan perkara yang tidak sepatutnya anda dinasihatkan untuk tidak meneruskan bacaan Risi...
Budak Maut Rumah Dirempuh Myvi

Budak Maut Rumah Dirempuh Myvi

papar berkaitan - pada 17/2/2019 - jumlah : 332 hits
Seorang kanak kanak perempuan maut selepas rumahnya dirempuh Perodua Myvi yang terbabas kira kira 50 meter dari jalan raya di Kampung Merchong Bebar Pekan semalam lapor Harian Metro nbsp Dalam kejadian yang berlaku pada jam 12 20 tengah har...
6 Tanaman Ini Mampu Turunkan Tagihan Listrik Rumah

6 Tanaman Ini Mampu Turunkan Tagihan Listrik Rumah

papar berkaitan - pada 16/2/2019 - jumlah : 293 hits
Musim kemarau hampir tiba Suhu udara di dalam ruangan tentu akan lebih panas Penggunaan air conditioner atau kipas angin untuk menyejukkan ruangan akan semakin intens Akibatnya tagihan listrik akan membengkak Untuk itu Anda harus memikirkan...
Ikea Batu Kawan Bakal Perkenal Gaya Baharu Kehidupan Di Rumah Menjelang 14 Mac 2019

Ikea Batu Kawan Bakal Perkenal Gaya Baharu Kehidupan Di Rumah Menjelang 14 Mac 2019

papar berkaitan - pada 16/2/2019 - jumlah : 490 hits
Ribuan penyelesaian kelengkapan rumah bilik pameran berinspirasi hidangan ala Sweden yang enak serta pengalaman beli belah di IKEA yang unik menanti penduduk di Utara Malaysia dalam tempoh 26 hari lagi nbsp nbsp PULAU PINANG 15 Februari 201...
Sejak Hamil Anzalna Rupanya Setiap Hari Ke Rumah Pengasuh Sweet Caring Sungguh Layanan Daddy Suaminya

Sejak Hamil Anzalna Rupanya Setiap Hari Ke Rumah Pengasuh Sweet Caring Sungguh Layanan Daddy Suaminya

papar berkaitan - pada 16/2/2019 - jumlah : 881 hits
Sejak hamil aktres Anzalna Nasir ke rumah pengasuh Siapa pengasuhnya Tapi tindakan bapa dan suaminya ini sweet sangat Kasih sayang ayah dan bapa Anzalna yang kini sedang hamil dikelilingi kasih sayang Setelah hamil Anzalna telah dihantar ol...
Akibat Rempuhan Kereta Berkenaan Mereka Dihempap Batu Bata Rumah Yang Runtuh Kereta Myvi Terbabas

Akibat Rempuhan Kereta Berkenaan Mereka Dihempap Batu Bata Rumah Yang Runtuh Kereta Myvi Terbabas

papar berkaitan - pada 17/2/2019 - jumlah : 807 hits
Akibat rempuhan kereta berkenaan mereka dihempap batu bata rumah yang runtuh Kereta Myvi Terbabas Kanak kanak perempuan maut selepas rumahnya dirempuh Perodua Myvi yang terbabas kira kira 50 meter dari jalan raya di Kampung Merchong Bebar P...
Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu

Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Takwim Cuti Persekolahan Tahun 2025 2026

Whatsapp Tak Lagi Sokong Peranti Android Lama Mulai 1 Januari 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Resepi Udang Khamped Padu Mudah Sedap Dan Confirm Licin Pinggan

The Skill Hexagon The Power Of Multifaceted Abilities

Skill Up Steam Curator

Dua Sahabat Makan Ikan Mentah Minum Air Laut Sepanjang Hanyut

Godox Perkenalkan Lampu Led Knowled Ms60r Bi Yang Sangat Fleksibel

Adi Putra Alami Jangkitan Kuman Di Paru Paru Kini Dalam Keadaan Baik