Sbdj Siri 217 Mayat Berbau Wangi


Para jemaah bagaikan terpukau. Semuanya menjegilkan biji mata. Datuk pun menerpa ke arah lelaki berbaju cekak musang yang sedang membongkok. Kedua-dua belah tangannya menekan perut. Songkok dipakai jatuh ke lantai.


Perlahan-lahan datuk mengurut bahagian belakangnya. Lelaki itu sendawa panjang dan secara beransur-ansur menegakkan tubuhnya. Dia dapat berdiri dengan betul. Tidak terdengar sebarang komen dari para jemaah. Semuanya membisu.

"Saya datang ke sini dengan satu niat."

Lelaki berbaju cekak musang, tidak dapat meneruskan kata-kata. Kelihatan dia sulit menarik dan melepaskan nafas. Daun telinganya yang segar nampak seakan-akan layu. Wajahnya pucat.

"Ceritakan niat kamu," desak si ulama berbadan kecil.

"Saya ke mari mahu bertaubat, mahu minta bimbingan dari Tuk Guru. Saya mahu bertaubat, aaaadddduuuuhhhh..."

Lagi sekali lelaki berbaju cekak musang membongkok sambil menekan-nekan bahagian perut. Terhoyong-hayang ke kiri, ke kanan, macam orang mabuk laut. Tidak dapat mengimbangi badannya.

"Allahh..."

Cukup kuat suara lelaki berbaju cekak musang. Dia menjadi bertambah lemah, sebelum sekujur tubuhnya rebah di lantai, dengan bantuan si ulama berbadan kecil datuk berjaya memangku tubuh lelaki berbaju cekak musang.

Tubuh lelaki itu segera dibaringkan di ruang tengah masjid. Setiap sendi dijamah dan diurut oleh datuk. Mulut si ulama berbadan kecil kelihatan bergerak-gerak. Mungkin membaca ayat-ayat suci, fikir saya.

Apa yang pasti, keresahan dan kebimbangan tetap terpamir di setiap wajah para jemaah. Semuanya cemas semacam.

"Keadaannya berat," Bisik Harun ke telinga saya.

"Iya, macam menanggung sakit yang teruk," balas saya lemah.

Orang di kanan yang mendengar kata-kata saya anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan komen yang saya luahkan. Dan perhatian kembali tertumpu ke arah lelaki berbaju cekak musang yang terlentang di tengah ruang.

Dada di sebalik bajunya nampak berombak, turun naik mengikut tekanan nafas yang tersangkut-sangkut, muka yang pucat mula ditumbuhi bintit-bintit penuh halus, bagaikan menahan rasa sakit yang amat sangat.

Datuk menggunakan segala kepandaiannya untuk mengurangkan derita lelaki berbaju cekak musang, begitu juga dengan si ulama berbadan kecil.

Apa yang menariknya, anak muda empat puluhan yang menemaninya seperti tenggelam punca. Tidak tahu berbuat sesuatu, barangkali dia sendiri tidak tahu perkara semacam itu akan terjadi.

"Tuk guru, saya mahu bertaubat, saya menyesal apa yang saya buat, lepas bertaubat di masjid ini saya mahu ke Mekah," ujar lelaki yang terlentang tercungap-cungap dan terputus-putus.

"Kalau Tuk Guru tak percaya, tanya pada anak saudara saya, wang ke Mekah sudah saya sediakan," sambungnya sambil sepasang mata merenung sayu ke arah anak muda empat puluhan yang anggukkan kepala, mengiakan kata-kata yang dituturkan oleh lelaki itu.

"Bersabar dan bertenanglah," datuk memujuk.

"Sabar, sabar. Allah suka dan kasih pada orang yang mahu bertaubat dan mengaku atas kesalahan yang dilakukan," tutur si ulama berbadan kecil dalam nada suara yang lembut.

PAYAH

Dalam keadaan yang payah itu, lelaki berbaju cekak musang mengerak-gerakkan tangannya mencari tangan si ulama berbadan kecil.

Apa yang tersirat dalam kalbu lelaki itu bagaikan dapat dibaca oleh si ulama berbadan kecil, jari-jemari lelaki berbaju cekak musang segera diramas dengan genggaman penuh erat.

Wajah yang pucat nampak bercahaya kemerah-merahan, ombak di dada yang kencang beransur tenang. Jari jemari si ulama berbadan kecil bagaikan membawa suntikan keyakinan pada lelaki berbaju cekak musang.

"Apakah taubat saya mahu di terima oleh Allah, Tuk Guru?" Tanya lelaki itu lagi.

Jari jemari si ulama berbadan kecil terus digenggam dengan kemas. Datuk yang berada disisi hanya membisu, tidak bersuara walaupun sepatah, begitu juga dengan anak muda empat puluhan yang menemaninya.

"Allah itu maha pemurah dan penyayang. Tidak pernah mensia-siakan harapan hambanya yang mahu bertaubat dan menyesali perbuatan yang lalu," jelas si ulama berbadan kecil.

"Maha suci Allah, sesungguhnya aku menyesali perbuatan yang lalu. Sampaikan hajat hamba untuk ke tanah suci," tambah lelaki bercekak musang kian bertenaga.

"Semoga Allah menerima permintaan kamu," entah macamana datuk secara tidak sengaja turut mencelah.

"Allah ampunilah dosaku. Aku datang ke rumahMu kerana mahu bertaubat dan mahu kembali ke pangkal jalan, mahu mendalami agama dengan Tuan Guru ini. Allah yang maha besar, ampunilah dosa hambaMu yang hina ini. Allah yang maha besar, hamba mahu bertaubat, hamba mahu bertaubat, hamba mahu bertaubaaaaaa..," kata-kata tidak mampu diteruskan oleh lelaki berbaju cekak musang.

Dadanya yang tadi nampak berombak kencang, mula beransur lemah dan sepasang kelopak bibirnya yang kering bergerak-gerak. Sepasang matanya merenung jauh seolah-olah menembusi bumbung Masjid Raya terus ke langit.

Dari hujung kedua belah kelopak matanya meleleh air jernih. Lelaki itu berada disaat-saat paling getir.

Melihat keadaan yang amat genting itu, si ulama berbadan kecil segera membisikkan sesuatu kecuping telinga lelaki berbaju cekak musang.

Lagi sekali kelopak bibirnya bergerak-gerak seirama dengan kelopak bibir si ulama berbadan kecil. Sebaik saja bibirnya berhenti bergerak, seluruh tubuhnya kejang dan kaku di tengah ruang masjid.

"Dia sudah meninggalkan kita semua," tutur datuk lalu berdiri.

"Saya sudah menunaikan hajatnya," anak muda empat puluhan bersuara. Wajahnya nampak sedih sekali.

Si ulama berbadan kecil meluruskan badan lelaki berbaju cekak musang yang sudah menjadi mayat. Membetulkan letak kedua belah tangannya ke dada seperti orang qiam.

"Marilah kita berdoa semoga taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya, dia insan mulia, hamba Allah yang berjiwa lohor. Dia mati dalam usahanya bertaubat dan menyerahkan diri pada Allah," kata ulama berbadan kecil sambil menatap wajah lelaki tersebut

PERCAYA

Semua para jemaah seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan mata. Begitu pantas dan tidak masuk akal, semuanya bagaikan mimpi. Datuk termenung merenung lantai. Anak muda empat puluhan yang menemani allahyarham, tidak bersuara, dia juga seperti terkejut.

"Allah memberi rahmat atas si mati kerana meninggal dunia dalam masjid, di depan Tuk Guru pula," seorang jemaah memberikan komentar.

"Dia sudah selamat memenemui Tuhan. Tapi kita yang hidup ini, tidak tahu di mana akan menemui ajal," sahut seorang jemaah lain yang berada tidak jauh dari saya.

"Tanah kubur ajal maut hak Tuhan. Apa yang mustahak ialah sisa-sisa umur yang ada kita isikan dengan amalan, sentiasa bertaubat dan pasrah pada Tuhan," sahut yang lain.

"Soalnya, pernah kah kita bertanya pada diri sendiri, apakah kedatangan kita ke masjid ini, benar-benar ikhlas untuk melakukan suruhan Allah," saya segera menoleh ke arah orang yang berkata. Kami berbalas senyum.

Jauh di sudut hati, saya mula berfikir, kematian lelaki berbaju cekak musang secara tidak langsung menyedarkan para jemaah tentang erti kehidupan dan kematian, tentang erti keinsafan dan penyerahan diri kepada Tuhan.

Dari kata-kata yang diluahkan, mereka secara tidak sedar telah mengkritik diri sendiri.

Si ulama berbadan kecil, anak muda empat puluhan serta ahli jawatan kuasa masjid mengadakan rundingan tergempar. Mencari kata putus untuk menyelesaikan pengkebumian jenazah arwah.

Agak mengejutkan juga, bila anak muda empat puluhan menarik datuk untuk melibatkan diri dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Di luar sinar matahari kian keras. Jarum pendek jam yang terlekap di dinding masjid menunjukkan ke angka tujuh, manakala jarum panjang menghala ke angka empat. Rasa dingin pagi yang menguasai ruang masjid kian berkurangan.

Para jemaah yang mempunyai atur tugas mula beransur-ansur meninggakan masjid. Lebih dari tiga puluh orang masih bertahan di masjid, bersedia memberikan khidmat, jika diperlukan dalam urusan pengkebumian jenazah.

Setelah berbincang lebih dari sepuluh minit dan atas nasihat si ulama berbadan kecil, ahli jawatan kuasa masjid bersetuju menguruskan pengkebumian jenazah lelaki berbaju cekak musang, termasuk mandi, mengkafankan dan menyembahyangkan. Lelaki itu dikategorikan sebagai "musafir."

"Terima kasih atas perhatian yang diberikan terhadap allahyarham ayah saudara saya. Khidmat bakti yang diberikan untuk mengatasi masaalah ini hanya Allah saja yang membalasnya. Tapi..," Anak muda empat puluhan terdiam, dia kelihatan muram sambil menahan perasaan terharu yang boleh mengundang tangisan.

"Ada apa masalah lain?" susul Pak Imam.

"Ceritakan," si ulama berbadan kecil mendesak. Anak muda empat puluhan terus tersedu. Pak Imam, ulama berbadan kecil dan datuk membiarkan anak muda itu larut dengan masalahnya.

Beberapa orang jemaah yang bersedia membawa mayat ke ruang masjid membatalkan rancangan ntuk sementara waktu.

Semasa saya menarik nafas terhidu bau wangi yang sukar ditentukan jenis bauan, sama ada dari bunga-bungaan atau air wangi-wangian. Arah datangnya sukar dikesan.

"Ada bau wangi Tamar," bisik Harun.

Saya anggukkan kepala.

"Dari mana datangnya, Tamar?"

Macam tadi juga, saya tetap gelengkan kepala.

DIRASAKAN

Apa yang dialami oleh saya dan Harun turut dirasakan oleh orang lain.

Andaian ini saya buat, berdasarkan gerak geri mereka yang menghalakan lubang hidung ke arah masjid sambil menarik nafas dalam-dalam sedangkan mata liar memandang kesana kesini. Ternyata mereka sedang menghidu dan mencari sesuatu.

Si ulama berbadan kecil tahu dari mana bau wangi itu muncul. Dia segera memanggil Pak Imam dan datuk, mereka bercakap-cakap sebentar.

"Tuk guru pasti," Pak Imam bersuara.

"Pasti, kawan kita ini juga setuju," Si ulama berbadan kecil menepuk bahu datuk yang berada di sisinya. Saya lihat datuk anggukkan kepala kepada Pak Imam. Pengakuan dari dua insan itu mempercepatkan tindakan selanjutnya dari Pak Imam.

"Bantu saya," Pak Imam renung wajah datuk.

"Saya faham, biar saya buat," jawap si ulama berbadan kecil.

Datuk yang sepatutnya menjawap tidak dapat berbuat apa-apa. Tindak balas dari si ulama berbadan kecil cukup pantas.

Semasa Pak Imam bersedia mahu membuka kain penutup mayat, si ulama berbadan kecil sudah pun bergerak ke bahagian belakang meninggalkan datuk. Ketika kain penutup mayat baru separuh dibuka, bau wangi semakin merebak.

Dan para jemaah yang masih berada dalam masjid tercengang-cengang. Tanpa disedari oleh sesiapa, si ulama berbadan kecil sudah berdiri di sisi Pak Imam.

"Bagikan kain yang lama pada saya, ambil kain baru ni untuk menutup mayatnya," si ulama berbadan kecil hulurkan kain baru ke tangan Pak Imam untuk menutup jenazah lelaki berbaju cekak musang.

Dan kain lama yang dihulurkan oleh Pak Imam ini berada dalam genggaman ulama berbadan kecil.

"Serahkan pada Tuk Siak." Tutur si ulama berbadan kecil sambil menghulurkan kain lama ke tangan datuk.

"Baik Tuk Guru."

Datuk segera bergerak ke arah orang yang dimaksudkan. Bila dia kembali semula ke tempat Pak Imam dan si ulama berbadan kecil, jenazah lelaki berbaju cekak musang sudah pun diselimutkan dengan kain baru. Bau wangi beransur kurang, tidak sekuat tadi.

Semua yang berada dalam masjid bagaikan dapat menduga bau wangi itu datangnya dari mayat lelaki berbaju cekak musang. Tetapi, tiada seorang pun yang berani bertanya pada ulama berbadan kecil, Pak Imam atau datuk.

"Tuk guru,"

Anak muda empat puluhan yang hampir dilupakan itu mula bersuara. Perhatian orang yang masih berada dalam masjid kembali tertumpu kepadanya.

"Apa yang boleh saya tolong?"

"Setelah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan, izinkan saya membawa jenazah ayah saudara saya ke Pengkalan Beranda untuk dikebumikan si sana. Ini hajat saya dan hajat arwah."

"Oh..," si ulama berbadan kecil agak terkejut.

Cepat-cepat dia merenung ke arah Pak Imam dan datuk. Dan Pak Imam yang faham dengan maksud renungan si ulama berbadan kecil, melaga-lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.

"Kami tidak keberatan," jawab Pak Imam.

"Kalau begitu kita uruskan jenazah ini dulu, kamu uruskan kenderaan untuk membawa jenazah ke kampungnya. Tak baik jenazah disimpan lama-lama, Islam menyuruh menyegerakan pengkebumian mayat kerana itu perbuatan yang baik," tutur datuk sambil sepasang matanya tertumbuk ke wajah anak muda empat puluhan.

"Tak payah cari kenderaan, saya sediakan."

Seorang jemaah berkulit hitam, berjubah dan berserban hijau muncul di sisi anakmuda empat puluhan. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan. Penuh mesra, bagaikan sudah kenal bertahun-tahun.

'Saya Ali Usman," jawap anak muda empat puluhan.

"Allah mempertemukan kita di rumah-NYA."

"Benar cakap awak. Hanya Allah saja yang membalas budi baik tuan," tutur anak muda empat puluhan. Lelaki berjubah hijau tersenyum. Sepasang mata hitamnya merayap ke wajah saya.

"Soal pengangkutan sudah selesai, apa tunggu lagi. Ingat, kita dilarang melambat-lambatkan pengkebumian jenazah," lembut sekali nada suara si ulama bertubuh kecil.

Saya kira ungkapan itu ditujukan kepada Pak Imam, buktinya sambil bercakap matanya tertumpu ke muka Pak Imam. Semua yang ada di situ anggukkan kepala. Akur dengan seranah si ulama. Jenazah segera di usung ke tempat yang dimaksudkan,

DIBENARKAN

Tidak semua yang berada disitu diajak ke tempat mandi mayat. Hanya orang yang diunjukkan Pak Imam saja yang diizinkan. Entah secara kebetulan atau sememang dipilih, datuk dan saya dibenarkan. Tetapi, Harun tersisih.

"Pergi Tamar, ini peluang kau belajar dan melihat cara-cara memandikan mayat," Harun memberi galakan.

"Ini kesempatan yang baik," balas saya sambil melangkah menuju ketempat mandi mayat.

Semasa memandikan mayat, bau wangi segera menusuk lubang hidung. Wajah mayat nampak bersih dan tenang. Pada hal, sebelum maut datang, wajah orang yang berkenaan nampak seperti menghadapi masalah yang cukup besar.

Semua yang saya lihat dan rasai menimbulkan persoalan dalam hati. Kerja kerja (mandi mayat) yang dilakukan dibawah pengawasan si ulama berbadan kecil.

Bau wangi itu berlanjutan hingga saat mengkafan dilakukan. Semasa disembahyangkan bau wangi tidak pula muncul.

Ganjilnya, tiada seorang pun yang berani bertanya tentang bau wangi itu samaada pada Pak Imam, pada ulama berbadan kecil atau kepada datuk. Bau wangi itu tetap menjadi sesuatu yang misteri di kalangan para jemaah yang masih berada dalam masjid.

Sembahyang jenazah sudah disempurnakan.

Hati kecil saya masih bertanya dan mengharapkan misteri bau wangi itu akan terungkap juga dalam masa yang terdekat. Jenazah diusung untuk dimasukkan kedalam kereta.

Dalam jangkaan saya (mungkin juga pada orang lain) hanya beberapa orang tertentu sahaja yang akan menghantar jenazah ke tanah perkuburan di Pengkalan Beranda.

Antaranya yang saya duga ialah, Pak Imam, si ulama bertubuh kecil dan beberapa orang tertentu. Penghalang utamanya ialah kenderaan.

Anak muda empat puluhan yang menghilangkan diri, sebaik sahaja sembahyang jenazah selesai segera muncul.

"Kemana kamu pergi tadi, jangan kemana-mana selepas ini. Kamu kena jadi kepala jalan," secara sepontan datuk bertanya.

Saya mencari kawan yang membawa kereta dari sini ketempat saya untuk menyampaikan pesan pada orang-orang kampung untuk menyediakan liang lahad," jawab anak muda empat puluhan dalam nada suara separuh tinggi dengan harapan dapat didengar oleh Pak Imam dan si ulama bertubuh kecil.

Hasrat anak muda itu berhasil, buktinya kedua-dua insan yang dihormati menganggukkan kepala.

"Sesiapa yang mahu ke tanah kubur, bolehlah ikut," beritahu Syed Hamid Al Hadad yang berdiri di muka pintu masjid sambil memberi laluan kepada orang yang mengusung jenazah ke kereta di halaman masjid.

"Dengan apa kita nak pergi?" seorang jemaah bertanya.

"Saya sediakan bas dan beberapa buah kereta," jawab Syed Hamid Al-Hadad lalu mengekori orang yang mengusung jenazah bergerak ke luar.

Syed Hamid Al-Hadad dak berbohong selain dari lori kecil yang bumbungnya bertuliskan kalimah Allah untuk membawa jenazah, terdapat sebuah bas yag boleh memuatkan penumpang seramai empat puluh orang di samping beberapa buah kereta jenis Ford dan Austin buatan Eropah. Kerana sudah ada kemudahan, semua para jemaah bersedia untuk pergi.

SINAR

Dalam sinar matahari yang mula garang, (lebih kurang pukul sembilan lebih) anak muda empat puluhan merasa terkejut. Tidak di duga kenalan barunya bersedia melakukan semuanya untuk bapa saudaraya yang sudah menjadi arwah.

"Dengan apa mahu saya balas jasa saudara."

"Ali."

Syed Hamd Al-Hadad memegang lengan anak muda empat puluhan dengan erat sekali sambil menyambung ungkapan-ungkapan yang terhenti.

"Tidak perlu dibalas, apa yang saya lakukan adalah tanggong jawab saya sebagai orang Islam. Allah telah memberikan sedikit kesenangan pada saya dan kesenangan yang sedikit itu harus saya berikan pada orang Islam yang dalam kesusahan."

Anak muda empat puluhan terdiam. Penuh terharu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 217/284

BACA: SBDJ Siri 216: Raja Susuk Mati Di Masjid
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2024/11/mayat-berbau-wangi-sbdj-siri-217.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 216 Raja Susuk Mati Di Masjid

Sbdj Siri 216 Raja Susuk Mati Di Masjid

papar berkaitan - pada 12/11/2024 - jumlah : 97 hits
Suasana dalam Masjid Raya terasa damai Di luar bunyi hon kereta masih galak begitu juga dengan bunyi loceng dan hon motosikal saling meningkah mengusik gegendang telinga Cuaca beransur cerah Datuk kelihatan cukup berminat untuk mengikuti ce...
Ajaran Sesat Puja Mayat

Ajaran Sesat Puja Mayat

papar berkaitan - pada 24/11/2024 - jumlah : 96 hits
KOSMO BANGKOK nbsp Polis menemui 12 mayat yang digunakan oleh seorang ketua ajaran sesat nbsp dalam ritual dan program latihan pengikutnya selepas melakukan serbuan di Kamphaeng Phet Thailand lapor portal berita Thaiger Laman Facebook Kamph...
Polis Temui 12 Mayat Ditanam Berhampiran Kuil Di Bangkok

Polis Temui 12 Mayat Ditanam Berhampiran Kuil Di Bangkok

papar berkaitan - pada 23/11/2024 - jumlah : 110 hits
AGENSIPihak berkuasa memeriksa mayat yang ditemui selepas penggalian semula perkuburan di kawasan kontroversi berkaitan keagamaan atau monastik di daerah Chanu Woralak Buri wilayah Kamphaeng Phet dekat Bangok kelmarin Foto ihsan ThaigerBANG...
Kelantan Mayat Wanita Bertudung Tersangkut Pada Taut

Kelantan Mayat Wanita Bertudung Tersangkut Pada Taut

papar berkaitan - pada 16/11/2024 - jumlah : 100 hits
Siti Rohana Idrisam hmetro com my nbsp MAYAT wanita yang ditemukan terlekat di taut milik pemancing terapung berhampiran sungai kelantan di Kampung Gaung Pendek di sini FOTO Nik Abdullah Nik Omar Kota Bharu Mayat wanita ditemukan terapung d...
Serba Wangi Lancar Kempen Sejati Produk Red Rice Mix Thai Hom Mali Terbaharu

Serba Wangi Lancar Kempen Sejati Produk Red Rice Mix Thai Hom Mali Terbaharu

papar berkaitan - pada 11/11/2024 - jumlah : 114 hits
Syarikat Serba Wangi Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan pelancaran kempen Tanggungjawab Sosial Korporat terbaharu mereka Sejati bersama pengenalan produk baharu di bawah jenama Songhe Red Rice Mix Thai Hom Mali Kempen Sejati yang dibawaka...
Tiga Tahun Simpan Mayat Ibu Dalam Peti Sejuk Beku

Tiga Tahun Simpan Mayat Ibu Dalam Peti Sejuk Beku

papar berkaitan - pada 12/11/2024 - jumlah : 166 hits
Mayat seorang wanita berusia 80 an yang dipercayai telah dibunuh anaknya tiga tahun lalu ditemukan disimpan di dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Jalan Klang Lama Suspek seorang warga tempatan berusia 53 tahun telah ditahan untuk sias...
Isu Lahad Datu Gambar Mayat Penceroboh Di Belasah Sampai Mati

Isu Lahad Datu Gambar Mayat Penceroboh Di Belasah Sampai Mati

papar berkaitan - pada 25/11/2024 - jumlah : 100 hits
Puluhan penduduk membelasah hingga mati seorang lelaki bersenjata M16 yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis di Kampung Sri Jaya Siminul Semporna malam tadi Dalam insiden awal pagi ini seorang le...
Mayat Mangsa Lemas Ditemui Tersangkut Pada Jaring Kira Kira 300 Meter Dari Rumah Rakit Di Jeti Chenor

Mayat Mangsa Lemas Ditemui Tersangkut Pada Jaring Kira Kira 300 Meter Dari Rumah Rakit Di Jeti Chenor

papar berkaitan - pada 26/11/2024 - jumlah : 76 hits
MARAN Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan Chenor yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang Ahad lalu ditemui lemas tengah hari tadi Mayat mangsa ditemui tersangkut pada jaring kira kira 300 meter da...
Siri Terbaru Di Viu Di Hatiku Ada Kamu Kisah Tentang Bah

Siri Terbaru Di Viu Di Hatiku Ada Kamu Kisah Tentang Bah

papar berkaitan - pada 19/11/2024 - jumlah : 91 hits
Series ongoing dekat Viu yang based on novel Di Hatiku Ada Kamu Kisah pasal balas dendam Arrange marriage antara Rian dan Adif Sebenarnya adif ni dia ade mission dia kahwin dengan Rian salah satu dari mission dia nk menjatuhkan company bapa...
Addressing Flaws In Mrt3 S Strategy

Yoursay Will Anything Come Out Of Ayer Keroh Accident Probe

Makan Tengah Hari Di Jeti Nelayan Kesang

Comment On Nasihat Untuk Mereka Yang Ingin Berkunjung Ke Sungai Kedondong Batang Kali Selangor By Zul

Merry Christmas And Happy New Year

Hiking Gunung Bubu Gerik

We Didn T Force Staff To Attend Xmas Do Says Ministry

Mengalahkan Kami Yang Non Muslim Marion Caunter Dikritik Netizen Gara Gara Sambut Perayaan Krismas


echo '';
Kenapa Sambutan Krismas Disebut Sebagai Hari Natal

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Wanita Milik Kaiden Slot Akasia TV3

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Curang Tanpa Niat Slot Megadrama Astro Ria

5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11


Empat Cara Mengawal Kemarahan

Jihad Membela Fitnah Pas

Lembaga Kursus Untuk Profesional Guna Meningkatkan Teknik Komunikasi

Kaya Homemade Sukatan Untuk Stok Seminggu

Surah Adh Dhuha

Pulau Besar Melaka Aktiviti Menarik Dan Lokasi