Sbdj Siri 139 Seludup Senjata Untuk Pejuang


Sebaik saja mendengar kata-kata Datuk itu, terpamer senyuman di wajah anak muda. Dengan ramah dia menepuk bahu Datuk dan saya berkali-kali. Kepuasan dan ketenangan dapat saya rasa dari gerak-gerinya.


"Kenapa kamu tak ikut jalan darat? Kenapa kamu pilih jalan laut?" Datuk mengulangi pertanyaan yang tidak berjawab.

"Nanti saya ceritakan. Beri saya masa untuk menghisap rokok," anak muda itu memberi jawapan.

Datuk angguk kepala, lalu memenuhi permintaannya. Dengan tergesa-gesa anak muda mengeluarkan sekotak rokok dari saku seluar. Dicabutnya sebatang.

Setelah diapit ke bibir dan dipasang api dia menyedutnya dalam-dalam. Asap rokok di hembusnya perlahan-lahan.

"Maafkan saya, biar saya habiskan sebatang rokok ni dulu," katanya lalu duduk di bahagian pangkal akar pokok besar yang condong ke laut.

Bau asap rokok kretek yang kurang menyenangkan itu terus menyumbat lubang hidung. Akhirnya, anak muda menghabiskan sebatang rokok.

"Panjang ceritanya kenapa saya ikut laut," anak muda itu memulakan cerita.

Pada masa itu kaki langit kian cerah, matahari sudah pun mengembangkan sayapnya, kabus nipis sudah berkurangan.

"Lain yang dirancang, lain pula jadi. Mula-mula disuruh ikut jalan darat, bila semua persiapan dibuat, disuruh ikut jalan laut, akibatnya saya lambat jumpa tuan," lanjut anak muda itu dengan wajah yang serius.

"Tak mengapa, mungkin ada sebab tertentu yang bapa saudara kamu suruh buat macam tu, soalnya sekarang, kamu sudah pun menjalankan tugasnya."

"Saya faham tuan."

"Usah bertuan dengan aku, umur kamu dengan cucu aku, bezanya tidak jauh. Kamu muda antara lapan hingga sepuluh tahun saja," Datuk memberi saranan kepadanya.

Anak muda itu anggukkan kepala setuju dengan saranan itu.

"Sudah bercakap begini lama, kamu tak perkenalkan diri kamu pada aku?" dalam senyum Datuk bersuara.

"Oh ya, nama saya Nyak Abdul Jabar, orang panggil Nyakbar saja."

"Kalau begitu aku panggil kamu Nyakbar juga, apa macam kamu setuju?"

"Tentulah setuju," anak muda anggukkan kepala.

"Kata bapa saudara saya, pak cik bukan sebarang orang," sambungnya.

"Ah, kamu jangan dengar sangat cakap bapa saudara kamu tu," tingkah Datuk.

Mereka terus ketawa dan saya tumpang tersenyum.

Abdul Jabar dan Datuk merenung ke arah laut, sinar matahari mula meninggi, kicau burung agak berkurangan.

Saya kira dalam tempoh setengah jam lagi, seluruh alam akan terang-benderang.

"Mari kita pergi pak cik, dalam perahu nanti saya cerita kisah sebenar kenapa saya tak ikut jalan darat."

"Silakan, pak cik hanya mengikut saja, pokoknya pak cik mesti berada di tempat yang dijanjikan sebelum pukul lapan pagi."

"Saya faham, pak cik."

Abdul Jabar memulakan langkah menuju ke perahu, lalu diikuti oleh Datuk dan saya. Kami bertiga menolak perahu kecil ke dalam air.

Bila perahu sudah berada di air, saya disuruh naik dulu. Disuruh duduk diam-diam di situ sambil mengimbangi tubuh mengikut rentak gelombang air laut.

Beberapa minit kemudian, Datuk mula naik. Duduk di hujung perahu. Abdul Jabar menolak perahu supaya lajak agak jauh di tengah.

Masa perahu itu bergerak dia melompat ke dalam perahu. Dia duduk di pangkal perahu dengan dayung di tangan.

Saya tidak sedar, bila masa dia mengenakan terendak kepalanya.

BELAKANG

Perahu yang didayung terus melawan ombak, terumbang ambing. Tubuh saya juga turut bergerak, tersengguk ke depan, tersengguk ke belakang.

"Kalau dengan perahu ini kita ke Sumatera, alamat kita mati kering. Entah-entah kita bertiga masuk perut ikan Yu," saya luah rasa bimbang kepada Datuk.

Datuk Cuma tersenyum, tetapi Abdul jabar ketawa besar.

"Kita tak akan mati. Ada orang bergayut pada papan sekeping di laut boleh hidup," Abdul Jabar memberi komen. Saya terus gigit bibir.

Abdul Jabar terus mendayung perahu. Pancaran matahari kian terasa, beberapa bahagian tubuh saya mula diruapi peluh halus.

Ombak terus mengalun menatang buih menuju pantai. Perut mula terasa perit dan saya terus sendawa beberapa kali.

Kepala terasa berat dan rasa mahu muntah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Melihat wajah saya pucat dan tidak bermaya, Datuk segera meletakkan tangannya ke batang leher saya.

Jari-jemarinya segera bergerak mencari urat lalu memicitnya. Lebih kurang lima minit Datuk memicit batang leher saya.

Jari-jemarinya terus beralih ke tapak kaki saya. Di situ juga Datuk mencari urat dan memicitnya.

Rasa pedih perut, mahu muntah dan sakit kepala segera hilang. Dua tiga kali kentut.

Abdul Jabar terus ketawakan saya. Muka dan badan saya berpeluh dengan banyaknya, saya kembali bertenaga.

Pada saat itu juga saya menyedari yang Abdul Jabar tidak mendayung ke arah tengah laut tetapi menyusur pantai arah ke selatan.

"Kalau nak naik tongkang kena dayung ke tengah laut Nyakbar, kenapa kamu dayung menyusur pantai. Agaknya kamu tersilap atau terlupa," belum pun sempat saya berkata apa-apa, Datuk sudah pun meluahkan teguran untuk Abdul Jabar.

"Saya tak lupa pak cik, saya tak silap. Sengaja saya buat macam ni."

"Sengaja kamu buat?" Datuk jegilkan biji mata.

"Iya," sahut Abdul Jabar penuh yakin.

Saya lihat Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dia termenung panjang macam memikirkan sesuatu.

Mungkin dia merasakan dirinya sudah dipermainkan atau ditipu oleh nakhoda tongkang dari Aceh.

"Inilah rahsianya saya mahu bagi tahu pak cik," kata anak muda itu sambil memegang pendayung dengan kemas.

"Rahsia apa Nyakbar?"

"Rahsia janji yang tak sama pak cik."

"Aku tak faham dengan cakap kamu Nyakbar."

"Mudah aje pak cik. Bapa saudara saya janji dengan pak cik naik tongkang, nampaknya janji tu dah bertukar."

"Kenapa jadi begitu Nyakbar?" tanya Datuk agak gugup.

Matanya tetap terpaku ke wajah Abdul Jabar yang menggunakan sepenuh tenaga untuk mendayung perahu.

"Tongkang bapa saudara tak jadi pergi ke Belawan, dia suruh saya bawa pak cik ke satu tempat."

"Ke mana?" Datuk segera memotong cakap Abdul Jabar.

"Saya dipesan olek bapa saudara saya supaya jangan memberitahu nama tempat tersebut, kecuali bila sudah sampai."

"Agaknya nak dihantar ke tempat lanun," tingkah saya.

"Boleh jadi tempat lanun, boleh juga jadi tempat orang penyeludup barang," sahut Abdul Jabar.

"Kalau aku dan cucu aku selamat, aku tak kisah, kalau dalam bahaya kamu teruk aku kerjakan Nyakbar," suara Datuk keras, wajahnya nampak garang sekali.

"Rasanya, tidak sampai ke situ pak cik," dengan tenang Abdul Jabar bersuara. Seluruh badannya basah dengan peluh.

"Aku juga fikir begitu," Datuk anggukkan kepala.

Perahu terus meredah ombak, sinar matahari makin garang. Kulit muka saya mula terasa pedih tetapi tubuh terasa segar disentuh bayu laut. Dari jauh kelihatan berbalam sebuah tanjung, juga kelihatan kepulan asap.

"Itulah tempat yang kita nak tuju pak cik."

"Hum, kalau tak silap aku, itu Tanjung Keluang, tak jauh dengan Kuala Panchor," kata Datuk sambil mengedutkan dahi.

Matanya kelihatan mengecil merenung tajam ke arah tanah yang terjulur ke permukaan laut.

TANJUNG

Akhirnya, kami sampai ke pangkalan kecil Tanjung Keluang, terdapat beberapa buah perahu nelayan.

Kerana Datuk pernah datang ke situ dia dapat menceritakan kepada Abdul Jabar serba sedikit tentang tempat tersebut.

Menurut Datuk, kira-kira sepuluh keluarga tinggal di situ, kebanyakannya berasal dari seberang (Sumatera). Mereka datang ke Tanjung Keluang sebelum perang dunia kedua.

Di situ terdapat sebuah surau dan sebuah balai raya. Pada masa itu tidak ada kemudahan asas di tempat tersebut. Bagi mendapatkan air mereka menggali perigi.

Waktu malam mereka menggunakan lampu minyak tanah. Anak-anak mereka bersekolah di Kampung Panchor.

Apa yang menariknya, setiap rumah mempunyai radio yang menggunakan bateri kering.

Mata pencarian mereka ialah ke laut atau menjadi buruh kepada beberapa buah syarikat nelayan di Bagan Panchor. Ada juga yang menjadi peniaga di Pantai Remis, Sungai Batu dan Tuntung.

"Kalau begitu nampaknya, pak cik banyak tahu tempat ini," dari nada suara Abdul Jabar terus mengikat perahu di pengkalan.

"Serba sedikit pak cik tahu, bukan semua," Datuk tatap wajah Abdul Jabar, mereka berbalas senyum.

"Di zaman Belanda jadi raja di Sumatera, tempat ini jadi tempat perlindungan orang dari Aceh, Jambi, Palembang, Deli dan Serdang, mereka ke mari melarikan diri dari ditangkap askar Belanda," Datuk lanjutkan cerita.

Saya dan Datuk mengikut langkah Abdul jabar menuju ke arah sebuah bot usang yang letaknya agak terpencil dengan bot-bot lain.

Sambil berjalan saya terus mengawasi keadaan sekeliling.

"Pak cik," Abdul Jabar berhenti melangkah.

"Orang itu yang akan menguruskan pelayaran pak cik," sambung Abdul Jabar sambil telunjuknya menuding ke arah seorang lelaki yang memakai baju dan seluar ala tentera.

Orang itu menyandarkan tubuh ke batang kelapa sambil menghisap rokok dengan tenang.

Melihat kedatangan kami, lelaki itu bergegas menuju ke arah pelantar kecil yang dibuat dari pelepah kelapa.

Tetapi, empat tiangnya dari batang jambu batu. Tingginya kira-kira dua kaki dari permukaan bumi.

Lelaki itu duduk di pelantar dan cuba melindungi mukanya dari dilihat oleh Datuk dengan merenung ke arah rimbunan pepokok renek di sebelah kiri pelantar, asap rokok yang di luah berkepul di udara.

"Assalamualaikum..." Datuk memberi salam mendahului Abdul Jabar.

"Waalaikumsa..." lelaki berpaling ke arah Datuk.

Dengan serta merta dia bangun. Matanya tidak berkelip merenung Datuk dengan wajah yang serius. Lagaknya seperti berhadapan dengan musuh.

Saya jadi cemas lalu memandang ke arah Abdul Jabar, yang saya lihat juga resah seperti saya. Keselamatan Datuk dan saya dalam bahaya.

"Hai kawan, kita berjumpa juga," lelaki itu menjerit dengan lantang.

Dia menerkam dan memeluk Datuk, sudah tentunya perbuatannya itu amat mengejutkan diri saya. Datuk saya lihat terpampan.

"Ingat saya?"

Dia mengajak Datuk duduk di pelantar.

"Ingat tak saya?" ulang lelaki yang berkulit hitam, bentuk mukanya bujur sirih.

Datuk segera kerutkan dahi dan kening untuk mengingati sesuatu. Perasaan saya terus berdebar, macam mana dia boleh kenal dengan Datuk? Agaknya dia salah orang.

Dengan ekor mata saya jeling lelaki itu, ternyata dia resah selagi Datuk tidak memberi jawapan.

Dia luruskan kaki kanan dan menyeluk saku seluar mengeluarkan pistol jenis browning lalu diletakkan atas lantai pelantar.

Datuk masih lagi kerutkan dahi dan kening. Sepasang kaki saya terasa lenguh. Saya segera duduk di batang kelapa. Abdul Jabar juga turut duduk sama.

HITAM

Lelaki berkulit hitam manis dalam usia 45-50 itu terus mencapai pistol. Muncung pistol dihalakan ke arah kepala Datuk.

Sementara jari telunjuknya ke arah kepala Datuk, jari telunjuknya terus bergerak di sekitar picu pistol.

Darah saya berderau, nyawa Datuk dalam bahaya. Andainya jari telunjuk itu tertarik picu, pasti muncung pistol meluahkan peluru segar ke arah kepala Datuk.

Darah bersemburan dan Datuk jatuh tergolek atas pelantar menjadi mayat.

Anehnya, Datuk tetap tenang menghadapi suasana yang begitu mendebarkan hati saya, mungkin juga hati Abdul Jabar.

"Awak tak ingat saya?" ulang lelaki itu lagi.

Muncung pistolnya tidak juga berubah dari sasarannya. Abdul jabar tunduk merenung pasir. Barangkali dia mengawal perasaan cemas yang berkocak di dadanya.

"Iya, saya ingat sekarang," suara Datuk bergetar.

"Apa yang awak ingat tentang saya?"

"Saudaralah yang menerima wang derma yang saya kumpulkan untuk membantu orang-orang di Tanah Acheh melawan Belanda," tambah Datuk.

Ada senyum terpamer di wajah lelaki berkulit hitam, hanya untuk seketika.

"Betul, saudara masih ingatkan saya," kata lelaki dalam nada suara yang lemah. Keriangan di wajahnya segera bertukar menjadi muram.

"Tetapi awak tidak mahu membantu saya, bila saya menjadi pengikut Wood Barueh menentang Sukarno," sambungnya dengan rasa hampa yang amat sangat.

Perlahan-lahan dia menghalakan muncung pistolnya ke arah tandan buah kelapa gading.

Dia menarik picu pistol dan bunyi tembakan bergema, serentak dengan itu juga dua biji kelapa muda jatuh ke bumi.

"Kamu menyimpan dendam kerana aku tidak menolong kamu?"

"Dendam-mendendam bukan amalan hidup saya. Sama ada awak mahu menolong atau tidak, itu hak awak," jawab lelaki itu lalu memasukkan pistol ke saku seluar kuningnya.

Saya dan Abdul Jabar segera mendekati Datuk dan lelaki berwajah bujur sirih.

"Nama kamu Nyak Sulaiman?" tanya Datuk. Lelaki itu anggukan kepala.

"Sudah kenal, tak perlulah saya perkenalkan," celah Abdul Jabar bersama senyum riang.

"Iya Jabar, ayah saudara kamu menyuruh kamu membawa lelaki ke sini," Nyak Sulaiman menatap wajah Abdul Jabar.

"Iya," angguk Abdul jabar.

"Kamu tahu yang bapa saudara kamu menyuruh aku membawa orang ini ke Sumatera?"

"Itu saya tak tahu."

"Sekarang kamu sudah tahu, kalau begitu eloklah kamu tinggalkan kami di sini," tutur Nyak Sulaiman kepada Abdul Jabar.

Tanpa mahu membuang masa, Abdul Jabar hulurkan tangan pada Nyak Sulaiman, kemudian bersalam dengan saya dan Datuk.

Dengan senyum Abdul Jabar atur langkah menuju ke perahunya.

"Dia tu ada pertalian keluarga dengan saya, begitu juga saya dengan Nakhoda Tongkang, kami berasal dari satu moyang," terang Nyak Sulaiman.

Dia juga memberitahu Datuk bahawa nama sebenar Nakhoda Tongkang ialah Amirul, dan di zaman menuntut kemerdekaan dia mengetuai pasukan gerila yang bergerak dari Acheh Timur hingga ke kawasan Acheh Utara.

Bila Indonesia mencapai kemerdekaan dia terus terjun ke dalam dunia dagang dan hasil bekerja keras, dia berjaya membeli dua buah kapal untuk membawa barang dari Singapura ke Tanjung Pinang, Lhok Seumawe dan ke Sigli di Acheh.

Dari situ balik semula ke Pulau Pinang, kerana perniagaan awalnya menggunakan tongkang, dia terus dipanggil Nakhoda Tongkang hingga ke hari ini.

Nyak Sulaiman mengajak saya dan Datuk menjenguk bahagian dalam bot. Saya tersentak dengan apa yang wujud di depan mata saya.

Sesungguhnya bot yang kelihatan usang dan tidak menarik di luar, ternyata berbeza bila berada di dalamnya. Bagaikan bot kepunyaan jutawan.

Semuanya nampak lengkap. Ada bilik tidur, bilik istirahat dan mesyuarat. Keadaan di dalamnya sungguh lapang sekali.

"Ini bukan bot nelayan nak menangkap ikan," komen Datuk setelah duduk di bangku ruang tamu. Nyak Sulaiman anggukkan kepala, setuju dengan pendapat Datuk itu.

"Aku rasa, dulu kau bawa bot lain," tutur Datuk lagi sambil melihat setiap sudut.

"Iya, masa itu botnya kecil. Bot yang awak naik ini, bot orang Belanda, kami curi masa revolusi di Tanjung Periuk.

"Kami ubah suai ikut selera kami, catnya kami tukar, bila revolusi sudah selesai, bot ini diserahkan kepada saya," Nyak Sulaiman berhenti bercakap.

Dia tinggalkan saya dan Datuk di bilik tamu. Nyak Sulaiman masuk ke bilik sebelah, entah apa yang dibuatnya di situ, saya tidak tahu.

TALAM

Nyak Sulaiman keluar dari bilik sebelah dengan menatang talam bersama dua cawan kopi.

"Minum," dia meletakkan talam atas meja.

Kemudian dengan tenang dua cawan kopi di depan saya dan Datuk. Asap nipis berkepul di permukaan cawan

"Minum, kopi asli Acheh, bijinya saya kisar sendiri. Biji-biji kopi ni saya jual sepikul sepuluh ringgit, kepada pengilang di Sungai Batu.

"Pengilang kopi kisar pakai mesin kemudian di jual kepada kedai runcit dan kedai kopi dengan harga sekati tujuh ringgit," sambung Nyak Sulaiman.

"Baunya sudah membuka selera," kata Datuk.

"Maklumlah barang tulen tentulah baik."

"Lagi apa kau bawa dari Sumatera untuk kau jual di sini?" risik Datuk lagi.

"Macam-macam, kalau awak nak orang pun saya boleh carikan," Nyak Sulaiman bergurau.

Datuk ketawa begitu juga dengan Nyak Sulaiman, saya hanya tersenyum saja.

Setelah minum kopi panas, badan rasa segar dan berpeluh. Hembusan bayu dari Selat Melaka yang masuk ke ruang tamu bot membuat saya terasa mengantuk dan menguap panjang.

"Mari saya tunjukkan tempat rahsia di bot ni."

"Tempat rahsia?" Datuk jegilkan biji mata.

"Iya, mari ikut saya."

Nyak Sulaiman segera menarik tangan Datuk menuju ke tempat rahsia. Saya hanya mengekori dari belakang.

Nyak Sulaiman menunjukkan tempat menyimpan senjata api, tempat menyimpan barang-barang keperluan seharian untuk diseludupkan ke Sumatera semasa merebut kemerdekaan dari Belanda.

Tempat rahsia ini dibuat di bahagian lantai, dindingnya dilapisi dengan zink dan penutupnya dari papan yang menyerupai lantai, sukar membezakan antara penutup tempat rahsia dengan lantai bot.

Sekali pandang kelihatan sama, tidak ada siapa yang dapat menduga bahawa di bawah lantai yang dipijak itu tersembunyi khazanah yang berharga yang sukar dapat dikesan oleh Tentera Laut Belanda.

Saya tetap memuji, mengagumi orang yang mereka cipta tempat khas itu.

"Sekarang, tempat ini tak digunakan lagi?" soal Datuk.

"Kamu masih membantu orang-orang Daud Berawih yang mahu mendirikan Republik Islam Acheh atau ringkasnya RIA?"

Nyak Sulaiman tidak menjawab pertanyaan yang Datuk ajukan kepadanya. Sebaliknya dia menarik tangan kanan Datuk menuju ke bucu bot.

Dengan menggunakan besi bulat sebesar ibu jari yang bahagian hujungnya bengkok dan tajam, dengan senyum dia memanfaatkan besi itu untuk mencungkil sekeping papan berlidah.

Setelah papan sekeping itu dicabut dari tempatnya, apa saya lihat tersusun sepuluh pucuk rifle panjang, sekarang rifle itu tidak digunakan lagi.

Rifle jenis ini amat popular semasa perang dunia kedua dan di zaman darurat. Di samping itu terdapat lima pucuk senapang kampung laras satu.

Lima dari sepuluh bom tangan dan peluru ditempatkan di situ. Saya lihat Datuk menarik nafas panjang, entah apa yang Datuk fikirkan, saya sendiri pun tidak tahu.

"Sekarang awak dah tahu apa yang saya buat," kata Nyak Sulaiman sambil mengenakan papan sekeping di tempat asalnya.

Dengan menggunakan besi bengkok, dia mencantumkan lidah papan hingga rapat dan kejap.

Dengan kata-kata yang diucapkan oleh Nyak Sulaiman itu, fahamlah Datuk bahawa Nyak Sulaiman masih menyokong perjuangan untuk menegakkan RIA (sekitar awal enam puluhan).

Saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang serba salah. Datuk sebenarnya tidak mahu terjebak dalam situasi yang tidak menyenangkan ini.

"Dari mana kau dapat semua senjata ini?"

"Dari Thailand, Burma, India semuanya dibekalkan orang anggota RIA, saya hanya menyeludupkan sahaja."

"Aku masuk perangkap," Datuk mengeluh.

"Maksud awak?"

"Aku tak mahu terlibat dalam hal yang merugikan ini. Aku sudah melihat saudara-saudaraku melawan Belanda, kemudian saudara-saudara itu berperang sesama sendiri. Kenapa tak bersatu di bawah pimpinan Sukarno," Datuk gelengkan kepala.

Nyak Sulaiman menggigit bibir, kemudian menelan air liur. Wajah Datuk ditatapnya penuh simpati.

"Usah bimbang, awak tak akan menghadapi apa-apa masalah. Awak selamat," Nyak Sulaiman meluahkan janji kepada Datuk.

Dia bergegas menuju ke bahagian enjin. Beberapa saat kemudian bot mula meraung.

BERGERAK

Di saat bot mula bergerak, lima orang lelaki melompat ke atas bot. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu muncul.

Bagi mengetahui keadaan sebenar, saya terus menuju ke tempat enjin. Di situ kelima-lima lelaki itu mengelilingi Nyak Sulaiman.

Mereka mendengar arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Nyak Sulaiman dengan tenang.

Menyedari kedatangan saya dan Datuk, Nyak Sulaiman terus bersuara:

"Usah bimbang mereka semua adalah anak buah saya."

"Begitu," kata Datuk dengan senyum.

"Kamu uruskan perjalanan ini," tutur Nyak Sulaiman kepada salah seorang anak buahnya.

Tanpa banyak cakap, anak buah yang telah diberikan tugas terus mengendalikan perjalanan yang sudah ditetapkan haluan dan arahnya.

Bot terus membelah ombak. Saya dan Datuk dibawa oleh Nyak Sulaiman ke ruang tamu kembali. Kami di layan dengan baik.

Kira-kira satu setengah jam perjalanan di laut yang tidak kelihatan tanah tepi, saya terasa mual, isi perut terasa mahu keluar.

Mungkin semuanya ini berpunca dari bot yang terlalu kuat dilambung ombak.

Bagi mengatasi masalah itu, saya rebahkan diri di bangku tanpa mempedulikan Datuk dan Nyak Sulaiman yang rancak berborak.

Mungkin menyedari keadaan saya tidak begitu baik, Datuk segera mengurut tiap sendi saya.

Akhirnya dia mengurut bahagian perut hingga badan saya berpeluh. Kemudian Datuk suruh saya minum segelas air setengah masak.

Rasa mual segera hilang, saya kembali bertenaga, dapat melihat ombak laut yang beralun dalam sinaran matahari yang kian meninggi.

Sayup-sayup saya melihat kapal dagang yang besar bergerak di permukaan laut.

"Bersedia," jerit Nyak Sulaiman sekuat hati, bila melihat bot laju menghampiri bot yang kami naiki.

"Awak berdua tenang saja," sambungnya lagi lalu keluar ke bahagian atas bot.

Empat orang anak buahnya segera mengikuti Nyak Sulaiman.

"Perlahankan," jerit Nyak Sulaiman lagi.

Bot yang kami naiki mula memperlahankan lajunya. Dan bot yang mendatang segera mendekati bot kami.

"Matikan enjin dan campakkan sauh," dengan mudah arahan yang dikeluarkan oleh Nyak Sulaiman dipatuhi oleh anak buahnya.

Bahagian tepi bot kami bertemu dengan bahagian tepi bot pendatang. Bentuk bot yang mendatang itu agak kecil dari bot milik Nyak Sulaiman.

Dua orang lelaki berpakaian seperti nelayan melompat ke atas bot Nyak Sulaiman.

Bercakap dengan Nyak Sulaiman. Saya dan Datuk berpandangan, rasa cemas dan takut tetap bersarang dalam dada saya.

Mana tahu, kalau Nyak Sulaiman menyerahkan saya dengan Datuk kepada nelayan tersebut.

Setelah berbincang agak lama, Nyak Sulaiman membawa kedua orang nelayan ke tempat rifle.

Dia serahkan rifle, senapang kampung dan bom tangan kepada dua orang lelaki itu.

Dengan pantas dua lelaki itu membawa senjata api ke dalam botnya lalu diletakkan di tempat khas di bahagian perut bot yang kemudian ditutup dengan papan lapis.

Di atas papan lapis diletakkan hasil ikan dan alat-alat kelengkapan menangkap ikan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 139/284

BACA: SBDJ Siri 138: Ular Kepala Buaya
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2020/05/siri-bercakap-dengan-jin-139.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 140 Lawi Ayam Pembelah Perut

Sbdj Siri 140 Lawi Ayam Pembelah Perut

papar berkaitan - pada 19/5/2020 - jumlah : 235 hits
Nyak Sulaiman bercakap dengan salah seorang daripada nelayan tersebut Selesai bercakap nelayan itu menghulur sampul surat berwarna kuning kepada Nyak Sulaiman Mereka berdakapan dan bersalaman Enjin bot nelayan bergerak gerak Sinar matahari ...
Sbdj Siri 143 Cahaya Misteri Dari Laut

Sbdj Siri 143 Cahaya Misteri Dari Laut

papar berkaitan - pada 23/5/2020 - jumlah : 380 hits
Saya lihat Datuk berada dalam keadaan serba salah Berkali kali dia merenung ke arah laut Nyak Sulaiman meraba cuping telinga kirinya berkali kali Sesekali dia menggigit bibir Nyak Sulaiman resah semacam Saya ingatkan makhluk ganjil tidak ka...
Sbdj Siri 142 Gadis Jelita Jilat Darah

Sbdj Siri 142 Gadis Jelita Jilat Darah

papar berkaitan - pada 22/5/2020 - jumlah : 505 hits
Melihat keadaan yang ngeri dan menakutkan itu saya segera membaca surah AL IKHLAS sebanyak tiga kali berturut turut Saya segera melompat dari atas katil untuk keluar Saya terlanggar dinding dan terus jatuh Saya kembali berada di alam nyata ...
Polis Marin Rampas 4 300 Helai Tudung Seludup Dari Thailand

Polis Marin Rampas 4 300 Helai Tudung Seludup Dari Thailand

papar berkaitan - pada 12/5/2020 - jumlah : 290 hits
KOTA BHARU 11 Mei Pasukan Polis Marin mengagalkan cubaan menyeludup masuk 4 300 helai tudung jenis bersulam dan bermanik dari Thailand bernilai RM71 380 dari sebuah kereta di kawasan sebuah rumah kosong dekat Kampung Simpangan Tumpat semala...
Paru Paru Suami Dijangkiti Kuman Wanita Dedahkan Bahaya Hisap Rokok Seludup

Paru Paru Suami Dijangkiti Kuman Wanita Dedahkan Bahaya Hisap Rokok Seludup

papar berkaitan - pada 16/5/2020 - jumlah : 616 hits
Rokok secara amnya memang berbahaya namun kecenderungan orang ramai yang memilih untuk menghisap rokok seludup berbanding rokok biasa dek kerana harganya yang murah sebenarnya lebih membahayakan Seorang wanita Tasha Naz menerusi Facebook be...
Lelaki Indonesia Ditahan Dipercayai Cuba Seludup 500 Karton Rokok

Lelaki Indonesia Ditahan Dipercayai Cuba Seludup 500 Karton Rokok

papar berkaitan - pada 21/5/2020 - jumlah : 351 hits
POLIS menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai cuba menyeludup 500 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM50 000 di sebuah stesen minyak di Jalan Felda Gugusan Adela dekat Kota Tinggi pagi tadi Ketua Polis Daerah Kota Tinggi S...
Guardian Malaysia Lancar Siri Thermal Eksklusif Tokidoki Yang Unik

Guardian Malaysia Lancar Siri Thermal Eksklusif Tokidoki Yang Unik

papar berkaitan - pada 4/5/2020 - jumlah : 470 hits
Hi Korang Berikutan kejayaan Siri Kembara hasil kolaborasi dengan tokidoki jenama gaya hidup antarabangsa yang terkenal dan ikonik pada Oktober lalu Guardian Malaysia hari ini melancarkan promosi terbaru Siri Thermal Eksklusif tokidoki Anna...
34 Termasuk 6 Kanak Kanak Ditahan Seludup Ke Thailand

34 Termasuk 6 Kanak Kanak Ditahan Seludup Ke Thailand

papar berkaitan - pada 10/5/2020 - jumlah : 419 hits
BERITA HARIAN Lokasi kejadian yang menyebabkan 34 rakyat Thailand termasuk enam kanak kanak ditahan SONGKHLA Gara gara tidak mahu menjalani proses saringan kesihatan 34 rakyat Thailand termasuk enam kanak kanak ditahan kerana menyeludup mas...
Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Sah Kes Najib Razak Cacat

Icac Found No Case Rahman Dahlan Defends Musa S Appointment

Slot Qris Explained The Key To Faster And Safer Gaming Transactions

Tenure Of Sabah Sarawak S Top Judge Extended Says Source

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu


echo '';
Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3


Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut