Sbdj Siri 108 Nisan Bergerak


Dalam keadaan yang teragak-agak itu, mata saya terpaku ke arah benda bulat yang bergolek-golek ke arah saya. Sebelum benda itu terkena kepala lutut, segera saya tahan dengan telapak tangan. Benda itu tidak bergerak, sebaliknya tegak dengan sendiri sambil mengeluarkan cahaya yang putih. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.


Tamar, aku dah dapat lampu picit," jerit Mat Prai lalu menyuluh ke arah saya. Cahaya dari lampu picit itu terkena pada benda bulat yang tegak di depan saya.

"Tamar batu nisan orang lelaki di depan kamu," pekik Mat Prai.

Saya menarik nafas gementar kerana batu nisan yang bulat itu bergerak dan berpusing. Tanah di depannya kelihatan merkah.

Batu nisan yang terpacak di depan saya terus hilang. Serentak dengan itu terdengar bunyi tapak kaki orang melangkah, datang dari sebelah kanan.

Berpandukan pada cahaya lampu picit Mat Prai, saya terus menggolekkan badan ke arahnya, melanggar apa sahaja yang ada di tanah. Saya dapat menyatukan diri dengan Mat Prai.

"Kau tengok tu," Mat Prai menghalakan muncung lampu picit ke kanan.

Saya terlihat kaki yang bahagian atasnya berbentuk macam kaki gajah. Penuh dengan bulu tebal, tumit kakinya berbentuk agak tajam seperti taji ayam jantan, jari kakinya berjumlah tiga.

Ibu jarinya bulat dan mempunyai lekuk macam lok keris, manakala dua lagi jarinya kelihatan seperti bercantum dan mengeluarkan cairan yang berwarna putih.

Saya mula terhidu bau daun sirih yang baru dipatahkan dari dahannya. Secara mendadak lampu picit Mat Prai tidak menyala.

Kedua belah bahu saya dan Mat Prai seperti ditekan dengan sebatang kayu membuat kami tidak dapat bergerak. Kalau bergerak seluruh sendi terasa sakit.

Kami tiada pilihan, selain dari mengarahkan biji mata kami ke arah kaki besar yang berbulu.

Kaki itu bergerak ke arah longgokan durian di kaki tangga pondok. Puas saya mencari sebelah lagi kaki yang berbulu.

"Puas aku cari sebelah lagi kakinya. Agaknya, memang makhluk ni berkaki satu," bisik Mat Prai.

"Agaknya," saya segera anggukkan kepala.

"Makhluk apa ni?" rungut Mat Prai lagi.

Sebaik sahaja Mat Prai selesai merungut, seluruh kawasan sekitar kami terang macam keadaan terang bulan.

Beberapa ekor kelawar berterbangan di atas kepala kami bersama dengan suara lolongan anjing dan jeritan burung hantu.

BULU

Kaki besar yang berbulu berhenti bergerak. Tempatnya digantikan oleh seekor tupai yang bulunya keperang-perangan.

Besarnya lebih kurang sama besar dengan kambing dara. Mata tupai aneh itu merenung ke arah kami dengan tajam.

Giginya yang tajam dan putih itu dipamerkan ke arah kami, misainya bergerak-gerak. Ekornya digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan.

"Triitttttt..." suara dari tupai aneh itu memekakkan anak telinga kami.

Dalam tempoh beberapa saat sahaja beratus-ratus ekor tupai berwarna hitam terjun dari ranting pokok sekitar kawasan pondok. Semuanya menuju ke arah longgokan durian.

Mulut saya dan Mat Prai ternganga. Memang tidak masuk akal dan sukar dipercayai malah akan jadi bahan ketawa kalau disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di dunia.

Mereka pasti tidak percaya bila diberitahu, ada tupai hitam menjelma waktu malam untuk makan durian yang dilonggokkan.

Tupai-tupai itu hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melenyapkan jumlah durian lebih dari seratus biji.

Semua yang saya lihat membuat badan saya berpeluh dalam lolongan anjing dan nyanyian burung hantu yang memanjang.

"Panggil datuk kamu, aku bimbang kalau tupai-tupai itu menyerang kita," Mat Prai menyuarakan kebimbangannya.

"Nanti dulu," kata saya.

Sebab utama saya tidak mahu memanggil datuk kerana saya tidak dapat bersuara dengan lantang. Tekak saya terasa sakit dan pedih.

Selain dari itu, saya jadi terhibur melihat kumpulan tupai yang sudah kekenyangan itu membawa biji-biji durian ke tempat lapang. Biji durian itu dilonggokkan di situ.

Bila kerja itu sudah selesai, kulit-kulit durian pula diusung lalu dilonggokkan dekat biji durian.

Tupai yang berbadan besar tetap melihat gerak-geri anak buahnya sambil berbunyi, seolah-olah mengeluarkan perintah.

Tupai besar itu berdiri dengan ekornya dicacakkan ke tanah. Sekali pandang tupai tersebut kelihatan seperti duduk mencangkung dengan kaki depannya memeluk tubuh.

Anak buahnya meletakkan tujuh ulas isi durian yang cantik di depannya. Bila dia memakan durian tersebut, anak buahnya duduk kaku, seolah-olah memberikan penghormatan padanya.

Bila tupai besar itu selesai makan, biji durian yang diluahkannya segera diambil oleh anak buahnya dan terus ditanam.

Kemudian, salah seekor dari anak buahnya membawa beberapa helai daun sirih hutan yang sudah dicalitkan dengan kapur sirih. Tupai besar itu segera menjilat daun sirih hutan beberapa kali.

Daun sirih yang sudah dijilatnya itu diletakkan di hujung kaki kanannya, sebaik sahaja hujung kaki kanan terkena daun sirih, semua anak buahnya bertempiaran lari lalu mencari dedahan berdekatan. Apa yang saya dengar ialah bunyi suara tupai.

Bila suara tupai tidak kedengaran lagi, saya dan Mat Prai terpandang kaki besar yang berbulu bergerak (dalam keadaan melompat-lompat) akhirnya terus hilang.

Saya dan Mat Prai cuba bangun tetapi ternyata kami tidak terdaya bergerak. Pangkal pinggang terasa sakit, sendi-sendi terasa bisa yang amat sangat.

Saya dapati pelita yang padam dalam pondok menyala kembali. Kulit durian dan biji durian yang berlonggok terus hilang.

Apa yang ada ialah beberapa helai daun sirih yang sudah dicalit dengan kapur berserakan di kawasan pondok.

Dengan sedaya upaya, saya cuba bangun. Usaha saya tidak berhasil. Bila saya berjaya berdiri tegak, tempurung lutut saya terasa lembik dan urat-urat di kaki bagaikan terputus.

Saya mengalami rasa sakit yang amat sangat. Saya terus jatuh menggelepar di sisi Mat Prai.

Apa yang terdaya kami lakukan adalah meniarap di bumi sambil bergerak ke kiri dan ke kanan.

Gerakan tubuh kami tidak ubah macam gerakan ular di atas jalan raya, dengan lain perkataan kami seperti berenang atas daratan.

Saya terus bertempik menyeru nama datuk dengan sekuat hati. Suara saya itu menenggelamkan suara cengkerik dan lolongan anjing.

Selesai sahaja saya bersuara, badan saya terus lemah. Tidak bermaya untuk menegakkan kepala.

Saya letakkan kepala atas tanah. Sayup-sayup saya terdengar bunyi telapak kaki orang berlari ke arah saya.

"Astaghafilrullah, apa dah jadi dengan kamu berdua ni," saya membuka mata melihat datuk berdiri di hujung kepala saya. Mat Prai sudah tidak bergerak langsung.

"Kenapa tak panggil aku di telaga," tambah datuk lagi sambil duduk mencangkung lalu memeriksa setiap urat nadi saya dan urat nadi Mat Prai.

"Aku tak nampak apa-apa yang datang, semuanya macam biasa. Pelik juga, kenapa aku tak dapat mengesan apa yang terjadi di sini," datuk merungut sendirian.

Dia terus mengambil lampu suluh di tangan Mat Prai yang masih menyala.

BALDI

Tanpa membuang masa datuk terus menuju ke perigi kembali. Datang kepada kami semula dengan membawa satu baldi air.

Datuk letakkan baldi yang berisi air di tengah, di antara saya dengan Mat Prai, dia mengambil beberapa helai daun yang hijau.

Dimasukkan ke perut baldi. Datuk mencari ranting kayu lalu air dalam baldi dikacau.

Datuk berhenti mengacau air dalam baldi.

Dalam keadaan yang tidak bermaya itu, saya lihat kelopak bibir datuk bergerak, dia mula mengelilingi kami beberapa kali. Datuk duduk mencangkung menghadapi saya kembali.

"Tamar," katanya.

Saya pun membesarkan kelopak mata dan cuba bersuara tetapi, suara saya tidak mahu keluar. Datuk tetap bersikap tenang.

"Buka mulut kamu Tamar," saya terus membuka mulut, dengan telapak tangan kiri datuk membawa air dari baldi ke mulut saya.

"Telan air ni senafas, Tamar."

Saya buat apa yang datuk suruh. Rasa pedih dan perit di tekak segera hilang.

Kedua belah kaki dan tangan saya dapat digerakkan semula. Tidak terasa sesuatu menekan di belakang. Saya segera menelentang dan melihat langit.

"Tamar," seru datuk lemah.

"Ada apa tuk."

"Hulurkan tangan kamu," saya pun menghulurkan tangan kanan kepadanya.

Tanpa diduga datuk terus menyentap tangan dengan sekuat hati. Kemudian datuk melepaskan tangan saya dengan tiga kali urut dimulai dari pangkal ketiak membawa ke hujung jari.

"Kau duduk diam di sini," datuk mengeluarkan perintah.

Saya akur dengan perintah itu. Datuk segera mendekati Mat Prai. Apa yang telah dilakukan pada saya, itu jugalah yang dilakukan oleh datuk pada Mat Prai.

Usaha datuk berhasil, saya dan Mat Prai dapat duduk.

"Duduk diam-diam, jangan banyak bercakap," suara datuk meninggi di tengah malam yang dingin.

Lolongan anjing masih kedengaran tetapi, suara burung hantu mula berkurangan. Desiran angin malam tetap berlalu dengan lembutnya.

Saya dan Mat Prai mengalami rasa kedinginan. Datuk segera menghidupkan api untuk membuat unggun.

Kulit durian yang kering dicampakkan ke dalam unggun api. Kata datuk, asap dari kulit durian yang kering dapat menghalau nyamuk.

Saya terdengar bunyi buah durian jatuh. Mat Prai berhasrat mahu mengutipnya tetapi, datuk tidak mengizinkan.

Kata datuk biar hari sudah cerah baru buah-buah itu dikutip dan dikumpulkan.

"Kalau buah durian tu, memang hak kamu, takkan buah tu lari ke mana-mana," demikian datuk memberikan alasan bila Mat Prai minta keizinan darinya.

"Ingat, sebagai manusia yang beragama Islam, jangan sekali-kali kita hilang pedoman kerana harta," sambung datuk lagi.

Dan Mat Prai terus mematikan hasrat untuk mengutip buah durian.

Walaupun demikian, setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, Mat Prai tetap nampak resah dan gelisah.

"Sekarang apa yang dah jadi hingga menyebabkan kamu berdua berenang atas bumi," datuk mengajukan pertanyaan.

Biji matanya silih berganti menatap wajah saya dan Mat Prai. Saya tidak berani untuk mengingati peristiwa yang terjadi, saya membuat keputusan untuk menutup mulut.

"Cakap kenapa membisu?" sergah datuk sambil menjegilkan matanya ke arah saya.

Cepat saya menundukkan kepala merenung bumi.

"Ceritakan pada aku Mat Prai," datuk mendekatkan batang hidungnya dengan batang hidung Mat Prai.

Kelihatan hidung mereka seperti berlaga dan mata datuk tetap merenung anak mata Mat Prai.

Saya menarik nafas kelegaan kerana saya sudah arif dengan perangai datuk.

Bila dia berbuat demikian secara tidak langsung datuk cuba menguasai perasaan dan hati Mat Prai melalui pernafasan.

"Ceritakan pada Datuk Alang, Mat," nada suara datuk cukup lembut.

Cuping telinga kanan Mat Prai dihembusnya. Saya lihat Mat Prai menganggukkan kepala dua tiga kali.

PETAH

Kemudian dengan petah Mat Prai mengungkapkan peristiwa yang terjadi pada datuk.

Selesai sahaja Mat Prai bercerita, datuk segera membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan pondok disuluh dan diteliti. Datuk terus duduk di tangga pondok.

Baru dia sedar durian yang berlonggok sudah tiada. Dia melihat daun sirih hutan yang tercalit dengan kapur bertabur di mana-mana.

"Pelik, aku tak dengar apa yang terjadi, sedangkan jarak pondok dengan perigi tidaklah jauh sangat," datuk mengedutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

"Bukankah masa aku mandi tadi, kamu datang bercakap dengan aku, Mat, kamu bercerita tentang masalah keluarga kamu pada aku," datuk terus bangun.

"Masa Datuk Alang mandi, kami di sini, kami tengah berdepan dengan makhluk ganjil, Datuk Alang tanya si Tamar ni."

"Ya tok, kami berdua tak ke mana-mana."

"Jadi syaitan mana yang menyerupai kamu tadi Mat Prai, aku sudah terpedaya," datuk terus hentakkan kaki ke bumi.

Dengan andang daun kelapa di tangan datuk terus berlari ke perigi. Dinding perigi yang dibuat dari daun rumbia terus dibakar datuk.

Api terus marak menerangi kawasan sekitar pondok durian. Asap berkepul menguasai ruang udara yang dibalut kedinginan malam. Badan datuk berpeluh kena bahang api.

GUGUR

Berpuluh-puluh ekor kelawar berterbangan di atas bumbung pondok. Angin yang bertiup menjatuhkan dedahan dan reranting kering ke bumi. Sesekali terdengar bunyi buah durian gugur.

"Banyaknya kelawar," rungut saya perlahan.

"Biarkan, itu bukan urusan kita," sahut Mat Prai.

Saya merasa pelik. Dari mana kumpulan kelawar itu datang. Suara lolongan anjing kian gamat datang dari arah Pekan Kongsi. Rasa cemas dan takut masih belum reda dari perasaan saya.

"Tak apa, orang tua tu dah datang," Mat Prai luruskan telunjuk menghala ke arah datuk yang datang ke arah kami kembali.

Di tangannya, ada sepotong kayu yang masih berapi. Datuk renung ke arah kelawar yang berlegar-legar di bumbung pondok. Datuk balingkan kayu yang masih berapi itu ke arah kumpulan kelawar.

Aneh, kumpulan kelawar yang berlegar-legar atas bumbung segera berpecah dan terbang menuju ke arah kaki bukit yang berdekatan.

Bukit yang terpegun kaku di malam yang dingin itu kelihatan amat menggerunkan.

Sesekali seperti ada cahaya api di puncak bukit tersebut. Datuk segera mendekati kami.

"Kau orang dengar salakan anjing tu?" tanya datuk.

"Dengar," Mat Prai dan saya menjawab serentak.

"Kamu tahu, anjing-anjing itu menyalak syaitan yang berkeliaran di udara."

"Kenapa syaitan itu berkeliaran tuk?" saya menyoal.

"Nanti lain kali, aku cakapkan dengan kamu, Tamar."

"Hum," saya merasa kecewa dengan kata-kata yang datuk luahkan itu.

Datuk pijak tangga pondok yang bulat. Dia terus duduk dekat Mat Prai.

"Macam mana Datuk Alang?"

"Apa yang macam mana tu, Mat?"

Datuk tatap biji mata Mat Prai yang terkebil-kebil. Dia tidak mahu mengemukakan sebarang pertanyaan lagi.

Memang dia tidak menduga datuk akan mengungkapkan kata-kata demikian.

"Aku tak mahu banyak soal, tak mahu banyak tanya, kita tidur sekarang," suara datuk meninggi dan terus merebahkan badannya.

Tidak sampai lima minit, datuk terus terlelap. Saya dan Mat Prai segera mengikuti jejak langkah datuk.

Antara terlelap dengan tidak, saya terdengar datuk batuk berkali-kali. Kemudian dia bangun. Buat beberapa minit saya berhasil mencelikkan mata.

"Kamu tidur, jangan banyak fikir, Tamar."

"Tuk nak ke mana?"

"Aku nak ke perigi."

Datuk terus menuju ke perigi yang dindingnya sudah menjadi abu. Saya kira datuk mengambil air sembahyang.

Ramalan saya memang tepat, sekembalinya datuk dari perigi dia terus membaca al-Quran.

KEJUT

Malam yang dingin, membuat tidur terasa enak. Saya terus membengkokkan badan. Rasa takut dan bimbang langsung tidak terbayang dalam kepala saya.

"Bangun dah subuh ni," terasa badan saya digoyang berkali-kali.

"Pergi ambil air sembahyang. Orang yang tak sembahyang Subuh, tidurnya diapit syaitan," lanjut datuk lagi.

Saya tidak ada pilihan, sama ada mahu atau tidak, saya terpaksa bangun dan pergi ke perigi untuk mengambil wuduk. Mat Prai lebih dulu bersedia dari saya.

"Dah ambil wuduk?" tanya saya pada Mat Prai.

"Sudah, kau pergi cepat," Mat Prai mendesak.

"Pergilah, tak ada apa yang nak ganggu kamu," datuk terus renung wajah saya.

Dia bagaikan mengerti dengan apa yang ada dalam hati saya. Dalam keadaan takut campur berani, saya menuju ke perigi.

Saya tidak pasti apakah air sembahyang yang saya ambil itu mengikut peraturan atau sebaliknya. Saya berlari ke pondok kembali.

Dan Subuh itu, datuk mengimamkan sembahyang Subuh kami. Selesai berwirid dan membaca doa, datuk memberikan kuliah Subuh yang pendek tetapi amat mengesankan.

Datuk memperkatakan tentang diri manusia yang binasa kerana terlalu cinta pada harta benda dan kekayaan hingga lupa pada tugas seorang hamba terhadap Allah yang mencipta mereka.

"Nampaknya usaha kita tak berjayalah, Datuk Alang?" Mat Prai mengajukan pertanyaan setelah datuk menamatkan kuliah Subuh di pondok durian.

Datuk tersenyum sambil memandang keluar, melihat hari yang mula beransur cerah.

"Masih ada masa untuk berusaha," jawab datuk.

"Hum..." Mat Prai menarik nafas panjang.

Ada rasa kecewa terpamer di wajahnya. Kicau burung menyambut kehadiran matahari pagi mula terdengar. Jalur sinar matahari mula jatuh pada dedaun yang masih ada kesan air embun.

"Aku nak berjalan di seluruh kawasan ni, aku nak mandi embun dan nak buat senaman. Kau ikut aku Tamar."

"Saya macam mana Datuk Alang?" tanya Mat Prai.

"Kau pergi tengok buah durian yang jatuh," Datuk mengeluarkan arahan pada Mat Prai.

Tanpa banyak soal jawab, Mat Prai mematuhi arahan itu.

TINGGI

Matahari kian meninggi, embun di hujung daun yang disentuh cahaya matahari nampak bersinar-sinar, bagaikan ketul berlian di tengah padang.

Datuk terus mandi embun dan melakukan senaman yang gerak-gerinya memperlihatkan unsur silat 'Burung Rajawali'.

Saya cuba mengikutinya. Bila pergerakan itu dilakukan dengan pantas oleh datuk, saya tidak dapat mengikutinya. Saya jadi penonton sahaja.

"Tamar," jerit datuk.

Serentak dengan itu saya melihat seketul kayu yang panjangnya kira-kira dua kaki menuju ke arah saya.

"Tangkap atau elakkan," terdengar lagi suara datuk.

"Oooppp," saya melompat lalu menyambar kayu tersebut.

Terasa badan saya seperti dibawa oleh kayu itu ke kiri, mendekati pokok langsat. Saya tercungap-cungap. Datuk segera mendekati saya sambil ketawa.

"Kamu masih ingat dengan gerak langkah yang aku ajar," datuk terus menepuk bahu saya berkali-kali.

Dengan wajah manis dia mengajak saya mengelilingi dusun durian milik Mat Prai. Terpesona saya melihat buah durian yang bergantungan lebat di dahan.

Beberapa ekor tupai melompat dari ranting ke ranting dengan bebas. Matahari terus memancar.

"Sungai, jernih airnya," jerit saya bila berdiri di tebing sebatang anak sungai.

Anak-anak ikan berenang bebas di celah-celah batu di tengah sungai. Tanpa membuang masa saya menuruni tebing dan terus membasuh muka. Terasa sejuknya meresap ke tulang pipi.

"Sudahlah jangan lama-lama di situ, aku nak sampai cepat ke pondok," tempik datuk dari atas tebing.

Saya segera berlari ke arahnya. Kami meneruskan perjalanan dan terpaksa melintasi kaki bukit yang ditujui oleh kumpulan kelawar malam tadi.

Memang terdapat hutan tebal di situ dengan pokok-pokok besar yang digayuti oleh akar-akar hutan sebesar lengan kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sepuluh tahun. Monyet-monyet liar bergayutan di situ.

"Hati-hati Tamar," datuk mengingatkan. Saya segera anggukkan kepala.

"Hutan macam ni, jadi sarang binatang buas," lanjut datuk lagi.

Saya anggukkan kepala lagi. Matahari yang memancar agak terik membuat badan saya berpeluh.

TANGAN

Secara mengejut datuk menarik tangan kanan saya ke perdu buluh hutan. Saya jadi cemas dan takut.

"Kenapa tuk?"

"Dalam rimbunan pokok kecil tu, aku macam ternampak pintu gua. Cuba kau pastikan," kata datuk sambil jari telunjuknya mengarah kepada pokok-pokok kecil yang merimbun dan tingginya lebih dari tujuh kaki.

Memang sukar untuk memastikannya. Tetapi, tiupan angin yang menggerakkan reranting dan dedaun lebat itu memberi peluang pada saya untuk merenungnya dengan teliti.

"Apa yang kau nampak, Tamar?"

"Saya nampak macam pintu gua tua."

"Pelik juga ya, selalunya gua pada gunung, bukit yang aku tahu tak ada gua. Tanah bukit tu ditebuk."

"Agaknya, terowong tinggal tuk,” kata saya tenang, tanpa merasa sebarang kecurigaan.

Datuk menggigit bibir sambil menelan air liur. Dia sedang memikirkan sesuatu.

"Boleh jadi juga terowong. Mungkin terowong tu ditebuk oleh askar Jepun masa perang dulu atau ditebuk oleh orang-orang komunis untuk tempat mereka berlindung," itu pendapat datuk.

"Mari kita periksa tuk."

"Jangan terburu-buru," nada suara datuk meninggi.

Dia renung kiri dan kanan. Kemudian dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.

"Lain kali saja kita tengok, Tamar," satu keputusan yang amat mengejutkan dari datuk.

"Mari kita ke pondok Mat Prai," sambungnya lalu menarik tangan saya.

Macam selalu saya tidak akan membantah dengan apa yang datuk katakan.

Kami segera bergerak arah ke utara, menjauhkan diri dari kawasan kaki bukit.

Datuk tidak menyatakan apa-apa kepada saya kenapa dia berbuat demikian.

Berjalan dalam kebun durian yang tidak begitu bersih keadaannya memang menyulitkan. Saya sering terlanggar tunggul dan akar.

"Ikut sana senang tuk."

Datuk berhenti melangkah. Dia dongakkan muka ke langit melihat awan yang bersih. Kesempatan itu saya gunakan untuk duduk di atas tunggul buruk bagi menghilangkan penat.

"Maksud kamu, kita berjalan dalam kebun getah?" soal datuk.

"Ya, tuk."

"Kalau begitu, marilah."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 108/284

BACA: SBDJSiri 107: Makhluk Aneh Di Dusun Durian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/09/siri-bercakap-dengan-jin-108.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 110 Kura Kura Mata Hijau

Sbdj Siri 110 Kura Kura Mata Hijau

papar berkaitan - pada 19/9/2019 - jumlah : 250 hits
Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut Dia menoleh ke arah Datuk dan saya dengan wajah yang pucat Dia kelihatan berada di dalam keadaan serba salah Mat Prai seperti enggan meneruskan langkah dia seperti mahu berpatah balik ke pondok du...
Sbdj Siri 106 Harimau Sembunyi Kuku

Sbdj Siri 106 Harimau Sembunyi Kuku

papar berkaitan - pada 5/9/2019 - jumlah : 169 hits
Buat seketika tidak terucap sepatah kata dari kelopak bibir kami bertiga Datuk memicit micit pangkal pahanya mungkin dia lenguh kerana terlalu lama duduk Saya mengarahkan sepasang mata ke arah halaman rumah yang dipancar matahari Hati bagai...
Sbdj Siri 105 Mandi Di Ambang Pintu

Sbdj Siri 105 Mandi Di Ambang Pintu

papar berkaitan - pada 4/9/2019 - jumlah : 274 hits
Sebaik sahaja air sejuk berlari di kerongkong urat saraf di setiap sendi badan terasa seperti disentap sentap Serentak dengan itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di telinga macam bunyi petir Cawan di tangan terlepas lalu jatuh di atas la...
Sbdj Siri 109 Ilmu Suhaimi Keraba

Sbdj Siri 109 Ilmu Suhaimi Keraba

papar berkaitan - pada 16/9/2019 - jumlah : 309 hits
Saya dan Datuk terpaksa mengubah haluan jalan Kami terus ke kawasan kebun getah Keadaannya cukup bersih tidak sesemak dusun durian Mat Prai Di celah celah nirai getah itu di tanam dengan pokok koko yang tingginya baru separas lutut orang tu...
Sbdj Siri 107 Makhluk Aneh Di Dusun Durian

Sbdj Siri 107 Makhluk Aneh Di Dusun Durian

papar berkaitan - pada 6/9/2019 - jumlah : 236 hits
Waktu saya dan Datuk berangkat ke Prai nenek menghantar kami ke perhentian bas di pekan kecil Nenek membekalkan buah tangan untuk keluarga Mat Prai dua biji buah air serta beberapa bungkus tapai pulut Buat saya dan Datuk nenek bekalkan nasi...
Miris Masyarakat Berebut Foto Selfie Dengan Batu Nisan Bj Habibie

Miris Masyarakat Berebut Foto Selfie Dengan Batu Nisan Bj Habibie

papar berkaitan - pada 15/9/2019 - jumlah : 603 hits
Pada tanggal 11 September 2019 kemarin Indonesia berduka atas kepergian salah satu tokoh Nasional serta mantan Presiden ke 3 Republik Indonesia B J Habibie Beliau meninggal dunia di RSPAD Gatot Subroto dan dikuburkan pada tanggal 12 Septemb...
Spesifikasi Siri Iphone 11 Tertiris Tiada Lagi 3d Touch

Spesifikasi Siri Iphone 11 Tertiris Tiada Lagi 3d Touch

papar berkaitan - pada 5/9/2019 - jumlah : 259 hits
Ura ura mengatakan yang iaitu iPhone 11 iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max The new iPhone product to be pushed by the Apple conference on September 10th So here some specs Xiaomishka Hari ini spesifikasi asas bagi ketiga tiga telefon pinta...
Cara Buat Nisan Nira Ataupun Nisan Kerek Di Terengganu

Cara Buat Nisan Nira Ataupun Nisan Kerek Di Terengganu

papar berkaitan - pada 3/9/2019 - jumlah : 557 hits
Semasa lawatan Media ke Terengganu tempoh hari saya dan rakan rakan yang lain berkesempatan melihat sendiri bagaimana cara pembuatan Nisan Nira atau lebih dikenali sebagai Nisan Kerek bagi penduduk tempatan di syarikat Manis Sokmo Enterpris...
Gedung Kpk Tiba Tiba Gelap Pegawai Keluar Bawa Bendera Kuning Batu Nisan

Gedung Kpk Tiba Tiba Gelap Pegawai Keluar Bawa Bendera Kuning Batu Nisan

papar berkaitan - pada 18/9/2019 - jumlah : 168 hits
Suasana gedung Merah Putih Komisi Pemberantasan Korupsi tiba tiba berubah sekitar pukul 19 00 WIB atau selepas azan Isya Lampu di halaman yang biasanya tetap menyala hingga dini hari tiba tiba mati
Ismail Seru Pm Terus Angkat Cadangan Jadikan Bm Bahasa Kedua Asean

Lirik Lagu Hati Meraung Danial Ismail

Dr M S Lawyer Why Did Pm Keep Silent On Rushed Prosecution In 2018

Pas Mocks Madani Gov T After Pmx Loosely Faulted Rushed Flawed Trials Of High Profile Cases Post 2018 Ge

Some 2018 Cases Rushed Flawed And Tainted By Venom Enmity Pm

Ismail Sabri Ajak Pemimpin Asean Berucap Dalam Bahasa Melayu Di Sidang Kemuncak 2024 Di Malaysia

Arsenal Selesa Tewaskan Crystal Palace Kali Kedua

Lirik Lagu Mesin Waktu Budi Doremi


echo '';
10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Cinta Bukan Milik Kita Slot Samarinda TV3

6 Tapak Buangan Produk Manusia Yang Bersaiz Gergasi

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11


Bantuan Awal Persekolahan Peluasan Bap Kepada Pelajar Tingkatan Enam Pertama Kali Dilaksanakan

Resepi Nasi Ayam Pandan Yang Mudah Dan Sedap

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu

Tremendous Nadi Collaboration

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Sah Kes Najib Razak Cacat