Saya Ingat Batuk Sebab Budu Rupanya Positif Covid 19
“Saya sangkakan batuk teruk disebabkan gemar makan budu tapi rupanya ia gejala Covid-19,” kata warga emas, Maimunah Dolah, 72, yang juga bekas pesakit Covid-19.
Maimunah yang berasal dari Kampung Pulau Seratus, di sini, berkata, dia diserang demam beberapa hari selepas Aidilfitri lalu dan batuk berterusan.
“Saya ingatkan sebab banyak makan budu tapi ia datang dengan demam yang membuatkan tubuh berasa lemah dan tidak bermaya.
“Beberapa hari selepas itu, kami penduduk di gugusan pulau di sini diarahkan menjalani ujian calitan di sebuah sekolah tapi saya tidak larat langsung untuk bangkit menyebabkan petugas kesihatan terpaksa datang membuat ujian di rumah sebelum saya disahkan positif Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Maimunah berkata, dia seterusnya dijemput oleh petugas kesihatan dengan menaiki bot menuju ke tanah besar untuk dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa untuk dikuarantin.
Dia yang baru tamat tempoh kuarantin semalam ditemui di Jeti Kok Majid, di sini, selepas dihantar oleh ambulans dan menaiki bot pasukan bomba untuk dibawa pulang ke rumah.
Pengalaman perit sama dialami Wan Noraziah Wan Mohd Nawi, 32, dari Kampung Teluk Renjuna yang tidak menyangka demam dialami anaknya, Che Muhammad Aidil Mustakim Che Mohd Razali, 3, adalah simptom jangkitan wabak itu.
Dia berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu pernah demam panas sehingga kejang menyebabkan dia segera memberi ubat sebelum suhu badan mulai surut.
“Tapi kali ini keadaan demamnya agak berlainan yang mana selepas habis kesan ubat diberi, suhu kembali naik malah demamnya tidak juga kebah sehinggakan tubuh lemah dan berjalan pun terhuyung-hayang.
“Selepas ujian calitan dibuat, anak saya positif Covid-19 dan perlu dibawa ke PKRC. Memandangkan dia masih kecil, saya perlu menemaninya semasa dikuarantin di Pusat Latihan Hospital Tumpat.
“Dalam keadaan saya yang negatif jangkitan, agak risau juga berada dalam kelompok mereka yang positif kerana wabak itu sangat berbahaya malah boleh dikatakan sepanjang masa saya memakai pelitup muka bagi mengelakkan terkena jangkitan dan Alhamdulillah, segalanya selamat malah anak saya juga kembali sihat,” katanya.
sumber: harian metro
The post ‘Saya ingat batuk sebab budu, rupanya positif Covid-19’ appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/saya-ingat-batuk-sebab-budu-rupanya-positif-covid-19/