Satu Aspek Mengarang Pantun
Sebuah pantun yang bermutu mengemukakan sesuatu Pemikiran dan berupaya untuk menyentuh emosi. Ia merupakan jalinan yang harmonis di antara penggunaan bahasa dan maksud yang hendak disampaikan.
Secara ringkas NILAI ESTETIKA PANTUN dapat dirumuskan sebagai berikut.
1. Mempunyai rima akhir yang tepat dan sempurna disamping rima tengah dan rima awal.
2. Bilangan sukukata 9-10 setiap baris.
3. Menggunakan unsur alam sebagai pembayang.
4. Menggunakan perkataan Melayu yang asal yang disebut juga sebagai perkataan yang arkitaipal.
5. Menggambarkan budaya tempatan
6. Tidak menggunakan nama orang.
7. Dua baris pembayang dapat membayangkan maksud.
8. Dua baris pembayang mempunyai satu wacana yang berlainan daripada wacana dalam maksud
Ciri-ciri dari nombor 1 hingga 6 mungkin jelas kepada semua. Tetapi perlu dijelaskan sedikit tentang ciri ke 7 dan 8. Ciri yang ke 7 bererti dua baris pembayang tidak bercanggah dengan dua baris maksud. Sebagai contoh sebuah pantun yang menceritakan tentang suasana tenang seharusnya mempunyai pembayang yang juga membawa suasana tenang.
Ada pembayang dan maksud yang bercanggah
Pokok kelapa dipanah petir
Angin kencang pokok pun tumbang
Saya tidak merasa khuatir
Tuan yang pergi sudah pulang.
Di sini dilihat suasana tenang dan tidak khuatir itu tidak sesuai dipadankan dengan pembayang pokok kelapa dipanah petir dan pokok tumbang.Ciri yang ke lapan menekankan adanya kaitan pada dua baris pembayang. Misalnya
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti.
Pembayang ini menceritakan tentang pisang emas yang dibawa belayar dan kemudian masak di atas peti. Ada juga orang menggunakan dua baris pembayang yang tidak ada kaitan antara satu sama lain. misalnya
Pisang emas dibawa belayar
Pergi ke hutan menebang pokok
Di sini dilihat tidak adanya kaitan antarapisang emas yang dibawa belayar dengan perbuatan pergi ke hutan menebang pokok.
begitu ada pantun yang tidak menepati ciri-ciri ini dan boleh dianggap sebagai pantun yang kurang bermutu.
PANTUN BERMASALAH DAN TIDAK MENEPATI PIAWAIAN.
Di sini ditunjukkan pantun-pantun yang tidak menepati piawaian dan tidak boleh digolongkan sebagai pantun yang baik.Contoh-contoh pantun yang digunakan di sini diambil daripada pantun-pantun yang saya perolehi semasa menjadi hakim sayembara menulis pantun (sudah tentu yang tidak menang) dan pantun-pantun yang dihantar untuk dinilai bagi tujuan penerbitan. Nama penulis pantun tidak didedahkan. Seandainya anda adalah penulis pantun-pantun yang saya sebut ini, maafkan saya dan anggaplah ini untuk tujuan pembelajaran dan kebaikan bersama.
Ini serangkap pantun yang dikemukakan dalam satu bengkel penulisan pantun.
Berdagang samprit sampai ke Jawa
Singgah Sumatera beli cendana
Hutan konkrit menyesak jiwa
Hutan hijau sangat berguna.
Mari kita tumpukan kpd dua baris pembayang. Pemantun menggunakan Samprit sejenis kuih untuk dapatkan rima tengah sepadan dengan konkrit. Tetapi samprit ialah kuih moden sedangkan telah dikatakan bahawa pantun lebih indah jika menggunakan perkataan lama.
Justeru itu mari kita cari kuih tradisional yang lebih dekat dengan budaya Melayu. Kuih yang berima dengan konkrit ialah kuih bangkit. Bolehkah kita ganti baris pertama dengan:
“Berjaja kuih bangkit Sampai ke Jawa”.?
Ini kurang sesuai kerana baris pertama sudah menjadi dua belas sukukata sedangkan ciri pantun yang baik mengandungi sembilan sukukata pada satu baris. Seperkara lagi, berjaja kuih menggambarkan seseorang yang membawa kuih di dalam raga dan menjualnya di tempat berdekatan. Biasanya kita dengar orang berjaja kuih, nasi lemak atau hasil kebun. Jika sekiranya seseorang dapat menjual sesuatu sehingga ke Pulau Jawa, maka dia bukanlah seorang penjaja, bahkan seorang saudagar besar, pedagang atau berniaga.
Baris pertama mempunyai lebihan sukukata dan perkataan yang tidak tepat. Perkataan berjaja bolehlah ditukar kepada berniaga lalu baris-baris pembayang menjadi
. Berniaga kuih bangkit sampai ke Jawa
Singgah Sumatera beli cendana
Selain mempunyai dua belas sukukata, masalah baris pertama pembayang ialah ia tidak mempunyai kaitan dengan baris kedua. Apakah hubungan berniaga kuih bangkit dengan membeli cendana? Cendana ialah sejenis pokok yang kayunya berbau harum dan digunakan dalam produk haruman atau wangian. Di peringkat ini kita mencari kaitan antara seorang yang berniaga kuih bangkit akan singgah untuk membeli cendana yang wangi
Soalnya Apa kaitan beli cendana dengan mengusahakan perniagaan kuih bangkit?
Akhirnya saya cadangkan pembayang ditukar kepada::
berdagang songket sampai ke jawa
singgah Sumatera beli cendana
Dengan ini barulah mendapat baris yang sempurna dari segi bilangan sukukata dan hubungan harmonis antara berniaga songket dan beli cendana. Seorang peniaga kain sesuailah kalau dia juga membeli kayu cendana untuk dijadikan minyak wangi.Adalah tidak sesuai kalau dia menjual songket dengan belacan misalnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://zurinahhassan.blogspot.com/2020/06/satu-aspek-mengarang-pantun.html